Ikuti Kami:

Highlight Kisah ‘Panas’ Industri Hiburan Korea Sepanjang Tahun 2019!

Highlight Kisah ‘Panas’ Industri Hiburan Korea Sepanjang Tahun 2019!

Tahun 2019 sudah pun hampir meninggalkan kita. Boleh dikatakan tahun ini merupakan tahun yang agak ‘huru-hara’ dalam industri hiburan Korea. Ada berita gembira dan tak kurang juga berita sedih. Mari kita ikuti highlight tahun 2019 bagi industri hiburan Korea!

Pemergian Mengejut Sulli

Siapa sangka gadis yang kelihatan ceria ini akhirnya mengambil keputusan untuk menamatkan nyawanya sendiri pada Oktober tahun ini. Selepas gagal dihubungi untuk menghadiri rakaman “Night Of Hate Comments”, pengurus Sulli telah melawat rumah kediamannya namun tidak menyangka bahawa dia bakal menemui gadis berusia 25 tahun itu dalam keadaan tidak bernyawa.

sulli

Walaupun tidak mengetahui punca sebenar dia tekad membunuh diri tetapi ramai netizen  menebak bahawa Sulli terkesan dengan komen negatif yang ditinggalkan oleh orang ramai secara atas talian. Pernah mengakui bahawa dia mempunyai masalah kerisauan melampau, kenalannya juga tidak menyangka bahawa dia akan membuat keputusan drastik itu selepas melihat selebriti itu kembali ceria beberapa bulan sebelum kematiannya.

Di samping itu, beberapa ahli bomba yang menyebarkan berita kematian Sulli ke media sosial telah pun digantung tugas dan dikenakan tindakan disiplin yang sewajarnya. Penggubal undang-undang juga telah berusaha memperkenalkan ‘Akta Sulli’ bagi memerangi buli siber yang kian parah sehingga mampu meragut nyawa orang lain.

Goo Hara Ditemui Mati Di Kediamannya

Selepas lebih sebulan Sulli pergi, rakan baiknya iaitu Goo Hara turut mengikut jejak langkah rakannya itu. Walaupun sudah berjanji dengan mendiang untuk teruskan hidup dengan bahagia tapi nampaknya selebriti itu gagal mengotakan janjinya.

Mayat gadis itu ditemui oleh pembantu rumahnya sekitar jam 6 petang di kediamannya. Walaubagaimanapun, punca kematian tidak didedahkan kepada orang ramai selain nota yang ditemui juga disimpan rahsia.

Hara pernah melalui fasa sedih apabila dia didera oleh bekas teman lelakinya selain menerima ugutan bahawa video seksual mereka akan disebarkan kepada orang ramai. Jadi, ramai membuat spekulasi bahawa itu adalah punca utama dia mengambil nyawanya sendiri. Selain, dia juga merupakan antara selebriti yang sering menerima komen negatif di atas talian oleh golongan pembenci.

Pasangan Sejoli ‘Song-Song’ Putus Akhirnya

Ingatkan panas sehingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Begitulah yang mampu digambarkan mengenai perkahwinan antara selebriti popular iaitu Song Hyegyo dan Song Joongki. Netizen nyata terkejut dengan perpisahan ini kerana mereka kelihatan bahagia sepanjang dua tahun perkahwinan mereka.

song hyekyo dan song joongki

Lebih romantik apabila pasangan ini dikatakan mula bercinta semasa penggambaran drama meletup iaitu “Descendants Of The Sun” dan dikhabarkan bahawa Song Joongki juga merupakan peminat tegar Song Hyegyo sebelum mereka berlakon bersama.

Pun begitu, tiada siapa yang mengetahui apakah cerita sebenar di sebalik perpisahan pasangan ideal ini. Walaupun bermacam-macam spekulasi yang timbul tetapi mereka berdua lebih senang mendiamkan diri dan terus menjalani kehidupan masing-masing.

Kemelut Penceraian Pasangan Ahn Jaehyun Dan Gu Hyesun

Mula berjumpa semasa di set penggambaran drama “Blood”, tak sangka perhubungan rakan sekerja itu akan bercambah sehingga ke gerbang perkahwinan. Meskipun muda daripada Gu Hyesun namun Ahn Jaehyun berjaya menambat hati isterinya itu semasa mereka baru berkenalan.

Disebabkan hubungan romantik pasangan ini, ramai netizen yang melahirkan rasa cemburu mereka. Bahkan, kedua mereka tak pernah langsung tak berhubung antara satu sama lain dalam masa sehari. Walaupun sibuk dengan hal kerja, mereka tetap akan meluangkan masa bersembang dan juga berbalas mesej.

gu hyesun dan ahn jaehyun

Angin tiada, ribut tiada, tiba-tiba berita mengenai penceraian pasangan itu habis tersebar ke seluruh pelosok media sosial. Rata-rata netizen keliru dengan perkhabaran ini kerana tidak pernah sekali pun pasangan romantik ini menayangkan masalah rumah tangga di khalayak umum.

Gu Hyesun menuduh suaminya curang dengan pelakon wanita lain, manakala Ahn Jaehyun pula mendedahkan bahawa isterinya itu terlampau obsesif sehingga menyesakkan nafasnya. Walaubagaimanapun, tiada siapa yang tahu cerita pihak mana yang benar. Kedua pelakon itu kini sedang dalam proses menguruskan penceraian mereka.

Kes Penyebaran Video Seksual Melibatkan Selebriti Lelaki Popular

Manusia bertopengkan syaitan! Di hadapan kamera berlagak seperti lelaki yang baik tetapi dalam diam, beberapa selebriti lelaki telah didedahkan melakukan perbuatan terkutuk kepada ramai wanita. Selebriti yang terlibat ialah Jung Joonyoung, Choi Jonghoon dan beberapa selebriti lain yang tidak didedahkan identiti mereka. Dikhabarkan bahawa Seungri bekas ahli kumpulan Big Bang juga turut bersekongkol dengan mereka ini.

Kedua selebriti ini didapati telah merogol seorang wanita di luar kesedaran (mabuk) secara beramai-ramai sekitar Mac 2016 di Daegu. Semasa mereka melakukan perbuatan terkutuk itu, beberapa orang yang lain telah merakamkan kejadian tersebut dan turut merogol mangsa secara bergilir-gilir selepas itu. Lagi teruk apabila mereka berkongsi rakaman tersebut di dalam sebuah ruang sembang dalam aplikasi KakaoTalk selain turut menggunakan kata-kata kesat terhadap kesemua mangsa itu.

jung joonyoung dan choi jonghoon dijatuhkan hukuman penjara

Mahkamah telah memutuskan bahawa Jung Joonyoung akan dipenjarakan selama 6 tahun dan Choi Jonghoon pula selama 5 tahun atas kesalahan melakukan serangan seksual ke atas individu yang tiada daya untuk melawan. Mereka juga bakal melalui program pemulihan keganasan seksual selama 80 jam. Selain itu, kedua-dua mereka tidak dibenarkan untuk bekerja untuk organisasi yang berkaitan dengan kanak-kanak dan remaja.

Filem ‘Parasite’ Jadi Buah Mulut Seluruh Dunia

Mulanya hanya menerima pujian daripada netizen Korea, tetapi filem ini terus mencuri perhatian ramai apabila pintunya dibuka di seluruh pawagam di serata dunia. Filem ini berterusan mendapat pujian melambung kerana plotnya yang unik selain turut menerima anugerah berprestij iaitu Palme d’Or di Cannes Film Festival dan banyak lagi!

Kepada yang tak tahu, filem ini mengisahkan tentang keluarga Kim Kitaek, seorang pemandu yang mempunyai seorang isteri dan dua orang anak berusia belasan tahun dan mereka sekeluarga tinggal di sebuah bilik bawah tanah yang kotor dan tidak sepatutnya dihuni oleh manusia. Kehidupan mereka mula berubah apabila anak lelaki mereka berkaya menjadi tutor di rumah orang kaya dan seorang demi seorang, mereka mula bekerja di rumah tersebut dengan menggunakan taktik kotor.

Wendy Red Velvet Cedera Teruk Akibat Kecuaian Staf SBS

Tidak dijangka latihan untuk festival muzik SBS yang sepatutnya menggembirakan bertukar tragedi apabila Wendy (Red Velvet) telah terjatuh daripada platform yang tinggi akibat suasana yang gelap semasa latihan lagu “Speechless” daripada runut bunyi filem Aladdin. Mengejutkan apabila gadis berusia 25 tahun itu didedahkan telah mengalami kecederaan serius di mana antaranya ialah retak di bahagian pipi, pinggul kanan dan pergelangan tangan kanannya. Selepas kejadian malang itu, dia terus digegaskan ke hospital untuk rawatan intensif.

wendy cedera teruk

Menurut kakitangan di tempat kejadian, gadis itu hanya menurut arahan skrip dan diminta bergerak menuruni tangga daripada terowong di tingkat dua. Tetapi tidak sedar bahawa tangga yang dikatakan itu sebenarnya tidak berada di tempat yang sepatutnya lantas membuatkan Wendy jatuh serta-merta ke bawah, setinggi 2.5 meter.

Ramai peminat meluahkan rasa kesal kerana stesen penyiaran SBS hanya mengeluarkan kenyataan maaf selepas dua hari kejadian itu berlaku. Malah mereka meneruskan festival itu seperti tiada apa-apa serius yang berlaku.

‘When The Camellia Blooms’ Jadi Drama TOP Tahun Ini

Drama lakonan Gong Hyojin memang tidak pernah menghampakan! “When The Camellia Blooms” mendapat pujian melambung daripada pengkritik dan juga peminat drama. Mungkin kerana plotnya yang segar serta karakternya yang sangat kasihan, ramai yang turut terkesan dengan naskhah ini. Selain itu, kehebatan lakonan teraju utamanya iaitu Gong Hyojin dan Kang Haneul yang tidak dapat disangkal lagi!

drama kegemaran 2019

Bagi yang tidak mengetahui, drama ini mengisahkan tentang Dong Baek (Gong Hyojin) yang memiliki sebuah bar dan dia sering menjadi punca prejudis orang di sekelilingnya. Terdapat dua watak lelaki utama yang merebut cinta Dongbaek iaitu Hwang Yongshik (Kang Haneul), merupakan seorang pegawai polis yang sangat mencintai wanita itu dan tidak malu untuk meluahkan perasaannya itu. Kang Jongryul (Kim Jisuk) pula merupakan seorang pemain besbol popular dan adalah cinta pertama Dongbaek. Tetapi dia sudah pun berkahwin dengan seorang selebriti media sosial namun kembali menagih cinta Dongbaek dan mahu bersama-sama membesarkan anak mereka.

Drama ini juga mencatatkan rating paling tinggi untuk drama mini siri yang ditayangkan untuk tahun 2019! Hebat!

Tahun 2019 dah hampir tamat, nantikan banyak lagi gosip terbaru serta pelbagai lagi drama dan filem best daripada industri hiburan Korea pada tahun 2020!

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...