Nama BTS tidak perlu lagi disebut atau diterangkan kerana boleh dikatakan ramai rakyat Malaysia yang mengetahui tentang kewujudan kumpulan K-Pop popular ini. Mula dikenali hanya di Korea tetapi berjaya menembusi sehingga ke pasaran muzik Amerika selepas beberapa tahun menceburkan diri dalam industri seni. Bukan sahaja mengeluarkan lagu bersama artis barat seperti Halsey dan Becky G, mereka juga berjaya merangkul beberapa anugerah penting di Amerika sekaligus membuktikan populariti mereka di peringkat global.
Punyalah popular sehingga kumpulan ini berjaya menyumbang banyak wang kepada negara mereka sendiri. Menurut laporan The Hollywood Reporter, BTS telah menyumbang sebanyak AS$4.5 bilion (bersamaan dengan RM18.8 juta) kepada pendapatan per kapita (GDP) Korea Selatan!
Antara sumbangan yang didapati daripada BTS ialah menerusi penjualan tiket konsert jelajah mereka yang sentiasa ‘sold out’ setiap kali diadakan. Selain itu, mereka turut menyumbang kepada ekonomi negara melalui industri pelancongan dan barangan berjenama bernilai AS$130 juta termasuk buku, pakaian, kosmetik dan patung mainan. Fuh!
Kalau anda nak tahu, setiap seorang daripada 13 pelancong asing yang berkunjung ke Korea pada tahun 2017 adalah disebabkan oleh BTS! Hal ini menjadikan kumpulan itu sebagai antara faktor utama yang membawa ramai pelancong memenuhi negara itu tak kira musim sama ada musim panas, sejuk, bunga ataupun luruh.
Sejak 26 Ogos hingga 27 September 2019, kumpulan itu turut mengungguli carta industri K-pop secara keseluruhan yang menilai prestasi dari segi aktiviti media, komunikasi dan banyak lagi. Berdasarkan carta oleh Korea Institute of Corporate Reputation, BTS menduduki tangga pertama dan diikuti dengan kumpulan wanita popular iaitu TWICE!
Patutlah kerajaan Korea sayang dengan BTS, siap jadikan mereka sebagai duta untuk mempromosikan bandar Seoul kepada pelancong asing. Pandai kerajaan Korea!
Sumber: Gempak