Sudah beberapa bulan ditangguh, nampaknya “Sponsor” sekali lagi terpalit kontroversi mengenai barisan pelakonnya.
Meskipun dipromosikan sebagai teraju utama bersama Han Chae-young sebelum ini tapi sepertinya Lee Ji-hoon sudah diturunkan pangkat ke hero kedua sahaja kini.
Spekulasi ini bermula apabila syarikat produksi untuk “Sponsor” iaitu Victory Contents memuat naik teraju utama serta informasi mengenai drama tersebut baru-baru ini. Namun gambar Koo Ja-sung yang diletak bersama Han Chae-young sedangkan lelaki itu hanyalah pelakon lelaki kedua utama sebelum ini.
Bukan itu sahaja, susunan nama barisan pelakon naskhah berkenaan turut berubah apabila menjengah ke laman Naver “Sponsor”. Nama pertama ialah Han Chae-young, diikuti oleh Koo Ja-sung sebelum Lee Ji-hoon diletakkan di tempat ketiga. Biasanya pelakon utama seperti Han Chae-young akan disusun di hadapan namun nama Koo Ja-sung mendahului nama Lee Ji-hoon sekaligus menguatkan teori bahawa teraju utama drama itu sudah pun ditukar.
Tidak pasti mengenai alasan pihak produksi “Sponsor”, namun ramai menebak ianya berlaku berikutan kontroversi yang dialami Lee Ji-hoon beberapa bulan lalu. Di mana dia dituduh membawa rakan yang kemudiannya bergaduh bersama seorang staf di set penggambaran selain penulis asal “Sponsor” yang mendakwa lelaki itu asyik meminta bahagian yang lebih banyak hingga penulis itu ditukar kepada yang baru.
Walaubagaimanapun, Victory Contents serta Lee Ji-hoon telah menjelaskan mengenai salah faham yang berlaku selain memohon maaf kerana menimbulkan kerisauan buat semua.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat menyelar tindakan syarikat produksi itu kerana mengenepikan Lee Ji-hoon tanpa alasan yang kukuh.
Setakat ini, tiada penjelasan lanjut mengenai isu ini dari pihak produksi “Sponsor” mahupun Lee Ji-hoon.
Dalam pada itu, “Sponsor” ialah drama romantik mengenai 4 individu yang mencari sponsor dengan cara tersendiri bagi memenuhi kemahuan yang diinginkan. Drama ini disahkan akan menemui semua pada 23 Februari ini di iHQ dan MBN.
Macam-macam betul..
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook, Twitter, Instagram dan Telegram KimchiDaily untuk mendapatkan berita Korea paling latest yang sensasi.