Semakin banyak banyak cerita Korea best yang sedang ditayangkan sekarang ini di kaca televisyen. Disebabkan kemajuan teknologi, orang luar daripada Korea pun sudah boleh menonton setiap episod drama kegemaran mereka dengan pantas. Siap dah ada sari kata bahasa Inggeris dan bahasa Melayu lagi!
Banyak juga cerita sekarang ini yang mengetengahkan muka baru sebagai teraju utama sesuatu naskhah. Kononnya, ingin memberikan nafas segar kepada industri drama di Korea. Walaubagaimanapun, kebanyakan peminat drama masih mahu melihat pelakon kegemaran mereka beraksi di hadapan kamera. Bakat orang lama ini lain auranya daripada orang baru.
Sinopsis
Sama juga dengan drama “VIP” yang baru sahaja ditayangkan di saluran SBS. Naskhah bertemakan melodrama ini mengisahkan tentang rahsia tersembunyi oleh sebuah pasukan yang menguruskan klien VIP di sebuah pusat membeli-belah terkenal. Na Jungsun (Jang Nara) merupakan seorang ahli pasukan itu dan mempunyai bakat bercakap yang baik selain sangat cekap dalam melakukan kerjanya. Dia juga hidup bahagia dengan suaminya iaitu Park Sungjoon (Lee Sangyoon) yang juga merupakan ketua pasukannya.
Tapi tidak disangka apabila satu mesej misteri yang diterimanya mendakwa bahawa suami tercintanya itu mempunyai hubungan sulit bersama salah seorang ahli lain pasukan itu. Na Jungsun mula mengesyaki suaminya dan cuba membongkarkan rahsia kecurangannya itu. Dalam usahanya mencari keadilan, dia turut tanpa sengaja membongkar rahsia lain mengenai tiap-tiap rakan sekerjanya.
Rating memuaskan
Walaupun baru masuk dua episod, tetapi “VIP” telah pun menjadi drama dengan jumlah penonton teramai bagi slot tayangan malam Isnin-Selasa. Naskhah ini juga telah mendapat rating tertinggi berbanding drama lain yang ditayangkan dalam slot yang sama. Menurut Nielsen Korea, drama ini mendapat rating purata 6.5% dan 7.6% untuk seluruh negara bagi episod keduanya.
“VIP” turut berjaya mendapat rating yang baik di sekitar kawasan metropolitan Seoul di mana purata rekodnya ialah 6.9% dan 8.2% dan pada satu masa semasa tayangannya, ia telah mencecah 9.4%.
Seronok betul dapat lihat Jang Nara, Lee Sangyoon dan juga Lee Chungah kembali beraksi! Mereka ini memang pelakon senior yang berbakat besar. Dah lah plot tentang suami curang, mesti macam thrill sahaja apabila si isteri dapat korek rahsia suaminya kan? Kepada sesiapa yang sukakan cerita melodrama macam “VIP”, jangan lupa tonton tahu! Drama ini ditayangkan pada setiap Isnin dan Selasa di saluran SBS.