Ikuti Kami:

Tinggal 1 Episod Lagi, Penonton Berteka-Teki Kesudahan Hubungan Romantik Dalam ‘Hospital Playlist’

Tinggal 1 Episod Lagi, Penonton Berteka-Teki Kesudahan Hubungan Romantik Dalam ‘Hospital Playlist’

Tinggal hanya satu episod sahaja lagi dan semestinya ramai yang berdebar menantikan kesudahan “Hospital Playlist”. Episod terbaru drama perubatan ini berjaya merekodkan rating terbaiknya dengan catatan 13.1%. Hebat!

Walaupun drama ini menyajikan pelbagai tema seperti kekeluargaan, persahabatan dan kesihatan tetapi para penonton nyata berdebar menantikan kesudahan kepada hubungan cinta kelima-lima sahabat tersebut.

Cinta pertama Ik-jun iaitu Song-hwa

Song-hwa (Jeon Mi-do) merupakan seorang wanita yang sempurna daripada segala aspek, mungkin disebabkan itu ramai lelaki yang jatuh cinta dengannya. Seperti yang semua tahu Seok-hyung (Kim Dae-myung) pernah mengakui bahawa dia mencintai Song-hwa suatu ketika dahulu tetapi ditolak mentah-mentah mungkin kerana persahabatan mereka.

Pun begitu, terdapat dua lelaki tampan yang sedang berebut hati doktor pembedahan neuro itu iaitu Ik-jun dan Chi-hong. Setelah lebih 20 tahun berkawan rapat, siapa sangka bahawa Ik-jun sudah lama menaruh hati pada Song-hwa bahkan dia turut menyukai wanita tersebut pada waktu yang sama dengan Seok-hyung tetapi memilih untuk mendiamkan diri.

pasangan dalam hospital playlist

Tetapi kini, lelaki itu kelihatan gelisah dan tidak senang duduk apabila menyedari dia mempunyai persaingan hebat dalam memiliki hati Song-hwa iaitu doktor residen di bawah kelolaan wanita itu iaitu Chi-hong. Bahkan Ik-jun kini langsung tidak segan untuk mengaku bahawa dia mempunyai perasaan pada wanita tersebut sehingga membuatkan dia jadi tidak tentu arah.

Daripada komen penonton, nampak gayanya ramai yang menyokong Ik-jun dan Song-hwa supaya melangkah ke hubungan yang lebih serius. Maafkan kami Chi-hong!

Jun-wan bercinta dengan Ik-sun secara sorok-sorok

Hebat sungguh Jun-wan (Jung Kyung-ho) kerana berani mengorat adik kepada rakan baiknya sendiri iaitu Ik-jun. Mungkin takut dihambat oleh abangnya, lelaki itu dan Ik-sun terpaksa merahsiakan perhubungan tersebut daripada pengetahuan semua orang. Kelakar betul bila lihat mereka cuba berlakon seperti tiada apa-apa di hadapan Ik-jun!

Dalam sekeras-keras hati Jun-wan, rata-rata penonton tersentuh melihat lelaki itu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk membahagiakan teman wanitanya sampai tak kisah berpisah untuk 3 tahun bagi menunggu Ik-sun habis belajar. Malahan doktor pakar jantung itu juga tidak mengungkit hal kahwin kerana mengetahui wanita tersebut tidak mempunyai niat untuk berumah tangga dalam masa terdekat ini.

pasangan dalam hospital playlist

Kesemua penonton berharap agar kedua pasangan ini dapat mengharungi segala dugaan kerana hubungan mereka yang terlampau berharga dan kecomelan pasangan ini!

Min-ha yang tak segan mengakui perasaannya pada Seok-hyung

Berbeza betul perangai kedua watak ini, Seok-hyung yang pemalu manakala Min-ha yang berterus-terang. Daripada awal lagi, memang doktor wanita ini dah tunjukkan bahawa dia memang sukakan profesornya itu. Tambahan pula, sifat Seok-hyung yang lembut semasa merawat pesakit membuatkan hati Min-ha sentiasa berdegup kencang.

Apabila doktor lelaki itu memberikan kata-kata semangat sewaktu Min-ha melalui saat genting sebagai seorang doktor, wanita itu semakin pasti dengan perasaan cintanya dan terus lepaskan ‘bom’ kepada lelaki itu. Mungkin malu tetapi Seok-hyung nampaknya seperti cuba buat-buat tak faham dengan luahan perasaan doktor di bawah jagaannya itu.

pasangan dalam hospital playlist

Yang pasti, penonton semua berdoa keras agar kedua-dua doktor ini akan bersatu pada akhirnya!

Hubungan misteri Jeong-won dan Gyeo-ul

Pasangan yang paling membuatkan penonton tak senang duduk ialah di antara Jeong-won dan Gyeo-ul. Walaupun pada awalnya wanita ini merasakan bahawa dia hanya bertepuk sebelah tangan tetapi Jeong-won sepertinya dah bagi respons positif sejak beberapa episod kebelakangan ini.

Pun begitu, doktor pakar kanak-kanak itu nampaknya nekad dalam mengejar impiannya sebagai paderi dan bakal ke Sepanyol untuk belajar dalam bidang itu. Jung Ro-sa bermati-matian ingin menghalang keinginan anaknya itu dan telah meminta bantuan Gyeo-ul supaya mematahkan mimpi Jeong-won.

pasangan dalam hospital playlist

Ada yang kata Jeong-won kelihatan cemburu apabila Gyeo-ul dikhabarkan sudah mempunyai teman lelaki tetapi ada juga yang rasa profesor itu hanya menganggap wanita itu sebagai doktor yang bagus kerana kesungguhannya untuk belajar. Tak pastilah bagaimana pengakhiran mereka nanti, runsing!

Pening betul memikirkan hubungan kesemua watak ini. Mungkin juga tiada babak romantik untuk musim ini kerana musim kedua “Hospital Playlist” sudah pun di dalam pembikinan. Ramai yang menebak bahawa kisah cinta kelima-lima doktor ini akan dikupas dengan lanjut dalam sekuelnya nanti.

Stres fikir!

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...