Anda pernah dengar tak kisah pembunuh bersiri Hwaseong yang menggemparkan Korea pada sekitar 1980-an? Kisah di mana seorang lelaki yang melakukan pembunuhan kejam dengan memperkosa dan kemudiannya menjerut leher mangsa-mangsanya sebelum dicampak ke lorong gelap ataupun ke dalam sawah padi. Kesemua mangsa diserang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Sadis betul!
Kalau anda perasan, kisah sadis ini turut diselitkan dalam drama ‘Signal’ yang mendapat rating yang tinggi semasa tayangannya pada tahun 2016 dan filem ‘Memories Of Murder’ lakonan Song Kangho yang turut terkesan di hati penonton sebagai intipati cerita.
Sudah hampir 30 tahun jenayah ini berlaku namun pembunuh bersiri itu masih belum dapat ditangkap dan kes ini kekal misteri. Tapi berita gembira untuk semua yang menantikan keadilan kepada semua mangsa dalam kes ini apabila sumber daripada balai polis Gyeonggi Nambu menyatakan bahawa mereka telah mengehadkan suspek utama kes pembunuhan itu. Bukti yang ada telah membawa kepada seorang lelaki berusia 50-an yang sedang menjalani hukuman penjara kerana merogol dan membunuh untuk kes lain.
“Pada sekitar Julai tahun ini, kami telah menghantar bukti kepada Jabatan Forensik Negara, dan keputusannya menunjukkan DNA suspek menyamai dua daripada 10 orang mangsa,” kata pihak polis itu.
Sebaik saja terbukti bahawa DNA itu positif, polis membuka semula kes penyiasatan dan menghantar bukti lain kepada Jabatan Forensik Negara untuk dianalisis. Namun begitu, mengikut Kod Prosedur Jenayah semasa pembunuhan bersiri ‘Hwaseong’ itu berlaku, had penyiasatan adalah sehingga 2006 sahaja. Sekiranya dapat dibuktikan bahawa tertuduh adalah suspek, dia mungkin terlepas daripada perbicaraan melainkan parlimen di Korea bersidang dan memanjangkan lagi tempoh had penyiasatan tersebut.
Haraplah keadilan berpihak kepada semua mangsa dan ahli keluarga yang terlibat. Bukan sahaja ahli keluarga mangsa yang mahukan penutup kepada kes ini, bahkan seluruh rakyat Korea mahukan misteri kes ini diselesaikan supaya roh mangsa tenang di sana.
Sumber: Kmania