Sebelum ini, rancangan ‘Unanswered Questions’ telah mengeluarkan sedutan pendek mengenai satu episod istimewa yang dirakam untuk mengkaji kematian Sulli. Kalau anda ingat, pelakon wanita ini telah nekad mengambil nyawanya sendiri lebih kurang sebulan lepas di kediamannya.
Kelmarin, rancangan dokumentari ini telah menayangkan rakaman penuh kepada episod itu dan mereka menceritakan dengan lebih mendalam mengenai insiden menyedihkan tersebut. Menakutkan kerana program ini mendedahkan realiti mengejutkan di sebalik ‘budaya kebencian’ yang berleluasa dalam masyarakat terutamanya dalam industri hiburan di Korea.
Antara inti pati program itu ialah perbincangan mengenai kejahatan secara atas talian yang dihadapi oleh Sulli saban hari sebagai seorang selebriti. Beberapa wartawan telah mengambil peluang ini dan menemubual beberapa netizen yang pernah meninggalkan komen jahat kepada gadis itu. Tapi memeranjatkan apabila tiada seorang pun daripada mereka yang menyesal dengan perbuatan itu dan memberikan reaksi yang memalukan.
Pembenci A: Awak tahu, Kalaulah hal ini berlaku pada 10 minggu yang lepas, saya pasti akan meminta maaf berkali-kali tetapi saya telah meninggalkan perbuatan ini lebih daripada beratus minggu yang lepas. Apa yang awak nak saya buat jika awak bertanyakan hal ini sekarang?
Wartawan: Tetapi kami percaya bahawa komen yang ditinggalkan mengenai bahagian tubuh badan Sulli jelas mempunyai niat jahat dan boleh dikatakan sebagai gangguan seksual.
Pembenci A: Jadi kalau ia memang mempunyai niat jahat? Saya cuma maksudkan bahawa dia sudah cukup cantik dan dia tak perlu melakukan perkara sedemikian yang boleh merosakkan kecantikannya.
Wartawan: Adakah awak rasa dia melakukan gaya seperti ini secara sengaja?
Pembenci A: Ada alasan lain ke kenapa dia bergaya sedemikian?
Wartawan: Ada keperluan ke awak meninggalkan pendapat sendiri pada entri Instagramnya itu?
Pembenci A: Apa? Adakah awak peminat dia? Saya bukannya tinggalkan komen kepada awak!
Seorang netizen lain yang turut meninggalkan komen berbentuk gangguan seksual terhadap Sulli sebelum ini turut ditemu bual. Dia yang menulis komen mengenai lurah dada gadis itu bagaimanapun mengatakan bahawa dia hanya bergurau. Dia juga menegaskan bahawa dia tidak sangka gurauan seperti itu boleh memberikan impak kepada Sulli.
“Ia hanyalah gurauan. Memang Sulli seorang perempuan tetapi saya sangkakan dia mempunyai semangat lebih daripada seorang lelaki. Jadi saya merasakan walaupun saya meninggalkan komen sedemikian, dia tidak akan peduli pun. Sejujurnya, saya rasakan komen buruk adalah lebih kepada ‘Pergi mati’ atau pun lebih teruk daripada itu. Awak tahu? Saya tak rasakan dia mengalami kesusahan kerana beberapa komen berbentuk seksual. Lagipun, ini yang saya rasakan mengenai selebriti. Mereka tak sepatutnya mendapat kasih sayang dan perhatian sahaja, mereka juga perlu bertahan dengan komen berniat jahat. Sebagai balasan, mereka mendapat kehidupan yang terbaik. Dengan baju berjenama, kereta mahal dan semua yang baik?”
Bagi netizen ini pula yang pernah ‘menyerang’ Sulli dengan alasan bahawa dia merupakan seorang yang dahagakan perhatian. Dia menambah bahawa selebriti seharusnya menerima segala kebencian dan perkara negatif kerana itu adalah lumrah pekerjaan mereka.
“Ya, saya panggil dia sebagai seorang yang dahagakan perhatian. Dia sepatutnya mengaku bahawa dia mahukan perhatian dan ia bukannya satu kebencian kerana saya tak suruh pun dia pergi mati. Saya tak peduli langsung pun dengan kehidupannya. Macam mana awak boleh jadi selebriti jika awak tidak kuat semangat. Awak kena sentiasa menunjukkan diri di hadapan orang yang ramai.”
Lebih mengejutkan apabila ada seorang Youtuber yang menggunakan nama Bepon telah tular selepas kematian Sulli kerana kononnya mengakui bahawa dia adalah bekas teman lelaki gadis itu. Dalam video yang sudah dipadam itu, lelaki itu menangisi permergian Sulli dan mengucapkan selamat tinggal kepadanya.
Pun begitu, dalam temu bual bersama ‘Unanswered Questions’, Bepon menegaskan bahawa selebriti yang tidak mampu menanggung komen jahat seharusnya meninggalkan industri seni sahaja.
“Saya bukan mahu menghina Sulli dalam apa cara sekali pun. Video itu sebenarnya bertujuan untuk menghormati pemergiannya. Saya membuat keputusan untuk melakukannya sedikit berlainan daripada video tribut yang lain. Saya tak sangka ia akan menjadi hal yang besar.
“Saya ada sesuatu yang ingin saya sampaikan mengenai komen jahat, bolehkah saya nyatakannya? Saya tak rasa ia adalah bagus bagi selebriti untuk beremosi kerana komen-komen sedemikian. Ia harga bagi sebuah kemasyhuran jadi mereka perlu menghadapinya. Sejujurnya, jikalau terasa dengan komen buruk, mungkin anda perlu mencari pekerjaan lain. Jangan jadi selebriti.”
Selepas episod ‘Unaswered Questions’ ini disiarkan, ramai netizen yang terkejut dengan sikap tidak endah para pembenci ini. Mereka juga melahirkan rasa kecewa kerana setiap orang yang meninggalkan komen jahat itu langsung tidak rasa bersalah walhal Sulli telah mengambil nyawanya sendiri kerana hal itu.
Sumber: Koreaboo