[REVIEW] ‘Peninsula’ Kurang Menyengat Berbanding ‘Train To Busan’?, Tonton Di Pawagam Kini & Nilai Sendiri

review train to busan presents: peninsula

Sekian lama menanti, akhirnya sampai juga sekuel “Train To Busan” iaitu “Peninsula”. Sudah pun ditayangkan sejak 16 Julai lalu, cepat serbu panggung wayang terdekat bagi merasai sekali lagi keseraman apabila dikejar oleh ribuan zombi.

Peninggalan tragedi “Train To Busan”

Selepas 4 tahun berlalu, Korea Selatan yang kini dikenali sebagai ‘Peninsula’ seperti padang jarak padang terkukur. Hanya puluhan ribu zombi yang menghuninya selepas kejadian mengerikan yang berlaku dalam “Train To Busan”. Kesemua manusia yang sempat diselamatkan telah dibawa keluar ke Hong Kong sebelum pintu sempadan ke negara tersebut ditutup terus daripada membenarkan orang lain keluar.

[Amaran SPOILER]

Dalam “Peninsula”, cerita ini memberi fokus kepada bekas tentera Jung-seok (Kang Dong-won) yang kehilangan kakak dan anak saudaranya kepada zombi yang menyerang ketika mereka dalam kapal ke Hong Kong. Daripada situ, lelaki tersebut hidup sebagai pelarian di tempat baru sebelum didekati oleh sekumpulan gangster yang memberikan tugasan khas kepada dia dan beberapa orang Korea yang lain.

train to busan presents: peninsula

Mudah sahaja! Mereka berempat cuma perlu mendapatkan trak dipenuhi dengan duit yang kini tersadai di sekitar Myeongdong dan membawanya ke pelabuhan Incheon untuk dibawa pulang ke Hong Kong. Walaubagaimanapun siapa sangka Peninsula yang hanya dihuni oleh zombi itu sebenarnya menyimpan ramai lagi manusia yang tidak dapat lari keluar sebelum Korea dikuarantinkan buat selamanya.

Selepas trak yang dicari telah dirampas oleh Unit 613 iaitu kumpulan manusia yang melanggar batas manusia, Jung-seok mendapat bantuan daripada keluarga yang tersadai di ‘Peninsula’ iaitu si ibu (Lee Jung-hyun), dua orang anak perempuan Joon-i (Lee Re) dan Yoo-jin (Lee Ye-won) serta seorang tentera tua, Kim (Kwon Hae-hyo).

train to busan presents: peninsula

Dapatkah mereke selesaikan misi tersebut selain menyelamatkan daripada serangan zombi mahupun manusia sendiri? Saksikan!

Jauh ke belakang daripada “Train To Busan”

Daripada hujung tahun lepas lagi kita telah digembar-gemburkan dengan kemunculan kembali premis “Train To Busan”. Kalau anda ingat, filem zombi ini telah mencipta fenomena di seluruh dunia apabila ia ditayangkan pada tahun 2016. Bahkan pelakon Gong Yoo, Jung Yu-mi dan Ma Dong-seok berjaya menempa nama dalam industri perfileman Korea selepas naskhah epik ini.

Dek kehebatan filem pertamanya, ramai yang dah tak sabar dan teruja untuk menonton “Peninsula” meskipun menampilkan barisan pelakon lain yang tak kurang hebatnya. Daripada mutu lakonan, Kang Dong-won dan Lee Jung-hyun berjaya menonjolkan watak lakonan mereka dengan baik tetapi sepertinya hampir keseluruhan premis ini boleh dikatakan agak menghampakan.

train to busan presents: peninsula

Plot rojak dan banyak babak klise

Selepas menonton “Peninsula” selama 1 jam 56 minit, dapat disimpulkan bahawa plot yang disajikan agak sukar disimpulkan sebenarnya. Daripada babak awal yang melompat ke 4 tahun kemudiannya, nampak seperti ia disunting tanpa tujuan yang pasti. Misi hanya satu iaitu dapatkan trak berisi duit tersebut dan kembali ke pelabuhan Incheon namun filem ini sepertinya dipenuhi dengan babak ‘filler’ sahaja bagi mengisi durasi standard 2 jam untuk filem.

Rasanya babak ‘fast and furious’ yang menghiasi “Peninsula” membuatkan rasa adrenalin itu menurun pada akhirnya kerana penonton bosan dengan perlumbaan dan stunt digunakan sama sahaja. Bahkan efek grafik yang digunakan juga tidaklah ‘smooth’ sangat lantas membuatkan kita berasa seperti sedang menonton filem animasi.

train to busan presents: peninsula

Selain itu, terdapat juga adegan beremosi yang sepertinya ‘dipaksa’ dan sebenarnya langsung tidak menjentik hati penonton. Bukan itu sahaja, dinamik di antara karakter terutamanya Jung-seok dan keluarga kecil yang ditemuinya itu nampak longgar. Tidak seperti keserasian di antara kesemua watak dalam “Train To Busan” meskipun ada sahaja watak yang hanya bertemu ketika insiden serangan zombi dalam kereta api tersebut.

train to busan presents: peninsula

Sejujurnya, “Peninsula” sedikit menghampakan. Tindakan pihak promosi yang mengagungkan filem sekuel ini sama hebat dengan “Train To Busan” membuatkan ramai yang meletakkan harapan yang tinggi. Tapi semakin tinggi kita berdiri, semakin sakit apabila kita jatuh. Sepertinya itulah metafora yang boleh menggambarkan premis filem zombi ini.

Ini adalah review jujur berdasarkan pemerhatian sendiri tapi kalau nak pastikan betul ke apa yang admin membebel panjang ini, apa kata anda serbu panggung wayang berdekatan sekarang juga untuk menonton dengan mata sendiri filem “Peninsula”. Mungkin anda ada pendapat yang lain daripada review ini 🙂

Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ FacebookTwitter dan Instagram KimchiDaily untuk mendapatkan berita Korea paling latest yang sensasi.

1 komen

Leave a Reply