Ikuti Kami:

[Review] Masuk Episod Ke-4, ‘Hospital Playlist’ Picu Pelbagai Perasaan Penonton & Rating Kian Hampiri 10%!

[Review] Masuk Episod Ke-4, ‘Hospital Playlist’ Picu Pelbagai Perasaan Penonton & Rating Kian Hampiri 10%!

Sebelum ditayangkan lagi, ramai yang meluahkan rasa tak sabar nak tonton drama “Hospital Playlist” kerana ianya dibarisi dengan nama-nama yang hebat seperti Yoo Yeonseok, Jo Jungsuk, Jung Kyungho, Kim Daemyung dan Jeon Mido. Tak cukup itu, naskhah ini digarap oleh pengarah dan penulis yang popular kerana drama siri “Reply” dan “Prison Playbook”.

Sudah 4 episod ditayangkan dan rating drama ini semakin meningkat pada saban episod. Mula dengan 6.33% pada episod pertama dan ianya naik kepada 7.75% semasa episod keduanya. Pada episod ketiga, “Hospital Playlist” mencatatkan rating sebanyak 8.56% dan mula menghampiri ke dua angka iaitu 9.8% semasa tayangan episod keempatnya. Rasanya, kalau drama ini berterusan mengekalkan prestasinya ini, tidak mustahil ia kan cecah angka 10% pada episod seterusnya!

Latar belakang setiap watak ‘dibongkarkan’ setiap episod

Jeongwon, si daif yang hati tisu

Jeongwon (Yoo Yeonseok) meskipun dilahirkan sebagai orang kaya dan pewaris kepada hospital tetapi lelaki tersebut sering tidak mempunyai wang dalam akaun banknya dan terpaksa hidup dengan belas ihsan orang lain. Rupanya dalam diam dia telah berlagak sebagai bantuan ‘Daddy Long Legs’ yang sering memberikan dana bagi pesakit yang memerlukan dan tiada siapa yang tahu mengani hal ini langsung.

Yang kelakarnya, kesemua abang dan kakaknya merupakan paderi dan biarawati dan hanya dia seorang sahaja yang menyimpang menjadi doktor. Pun begitu, dia kini sedang berusaha untuk menjadi paderi juga namun telah dimarahi oleh ibunya. Jeongwon juga terkenal sebagai seorang yang tidak kisah langsung mengenai wanita tetapi adakah seorang doktor residen iaitu Gyeoul berjaya memenangi hati lelaki itu? Nantikan!

Junwan, ‘keras tetapi lembut’

Junwan (Jung Kyungho) pula merupakan seorang yang terkenal sebagai doktor yang ‘kering hati’ dalam kalangan kakitangan hospital tesebut. Cakap tak pernah berlapik langsung walaupun dengan pesakit tak kiralah tua atau pun muda, main bedal sahaja! Tetapi dalam diam lelaki ini sentiasa memberikan kata-kata semangat kepada keluarga pesakit seperti ibu muda yang takut akan kehilangan anaknya yang masih lagi bayi. Sampaikan dia terima sahaja kertas jampi yang kononnya akan memastikan pembedahan tersebut selamat kerana dia tahu ianya akan membuatkan ibu itu lebih tenang.

Seperti yang semua tahu, Junwan tiada tuah langsung dalam kisah cintanya. Dalam episod pertama pun dia dah tinggalkan kekasihnya terkontang-kanting dek tak tahan dengan sikapnya yang suka memandu di bawah pengaruh alkohol. Walaupun ramai yang menebak bahawa Junwan ada hati dengan Songhwa, tetapi episod semalam membuktikan bahawa dia mungkin ada perasaan dengan adik Ikjun iaitu si tentera wanita Iksun. Sanggup ‘drive’ jauh kononnya nak makan jjajangmyeon sedap tetapi sebenarnya…. Kita tunggu dan lihat!

drama hospital playlist

Songhwa yang tiada cela

Songhwa merupakan titik tengah kepada persahabatan lima sekawan itu yang mula mengikat hubungan sejak daripada sekolah perubatan lagi. Doktor wanita ini dibayangkan sebagai seorang yang sangat sempurna dan tiada cela langsung. Dalam seminggu, dia mempunyai jadual yang penuh dengan memberi syarahan, melakukan pembedahan penting, menyemak tesis pelajar di bawahnya, menyertai persidangan namun masih mampu untuk meluangkan masa untuk diri sendiri dengan berkhemah dan memanjat bukit pada hujung minggu. Fuhh!

Geram betul bila teringat teman lelakinya sanggup skandal dengan perempuan lain walhal dah dapat kekasih yang cantik dan sempurna macam Songhwa. Padan muka apabila Junwan datang dan ‘basuh’ lelaki itu, berani sakitkan hati BFF dia! Dan kini nampaknya bunga-bunga cinta sepertinya mula mekar di antara doktor wanita itu dengan doktor residen Ahn Chihong yang juga merupakan lepasan askar. Lelaki itu yang hanya menerima sahaja apabila dimarahi oleh Songhwa dan dalam diam menghadiahkan sepasang kasut baru kepada wanita itu membuatkan penonton menyokong hubungan mereka!

drama hospital playlist

Tersingkap rahsia Seokhyung sebagai anak mak

Semua mesti tertanya-tanya kenapa Seokhyung macam manja terlebih dengan maknya sampai nak makan pun mesti akan ‘report’ dahulu. Rupanya, dalam keluarganya kini hanya tinggal dia dan emaknya sahaja. Kalau anda nak tahu, lelaki ini sebenarnya tak kamceng langsung dengan maknya dahulu tetapi selepas adik perempuannya mati, sikapnya itu mula berubah. Lagi menyakitkan apabila ayah yang sepatutnya menjadi idola rupanya mempunyai perempuan simpanan dan perkara ini sudah diketahui lama oleh ibunya.

Daripada situ, Seokhyung mula melayan ibunya dengan lebih baik dan sentiasa memastikan wanita tua itu tidak berasa keseorangan. Pun begitu, kisah penceraiannya juga masih belum tersingkap lagi dan membuatkan ramai penonton yang tertanya-tanya. Tak cukup dengan itu, lelaki ini dikataka sudah melupakan Songhwa sebagai cinta pertamanya tetapi adakah benar pengakuannya itu?

drama hospital playlist

Ikjun, daripada ‘bapa tunggal kepada ‘bapa tunggal’ sebenar

Daripada awal episod awal lagi, penonton dapat lihat bahawa Ikjun sepertinya hidup seorang diri bersama anak lelakinya iaitu Woojoo. Ramai yang anggap dia sebagai bapa tunggal tetapi sangkaan itu meleset kerana rupanya isterinya kini berada di Jerman untuk urusan kerja dan pasangan itu sudah bertahun tinggal berasingan. Sangkakan bahawa semuanya baik sahaja, tetapi hidup Ikjun musnah apabila isterinya kembali ke Korea hanya untuk meminta cerai.

Masalah hidupnya itu langsung tidak menjejaskan tugasannya sebagai seorang doktor. Nama Ikjun tak asing langsung di dalam hospital itu bahkan dia mengenali semua kakitangan termasuklah pesakit yang dirawatnya. Mengagumkan kerana walaupun lelaki tersebut terkenal sikap ‘main-main’ tetapi dia mempunyai emosi yang sangat mendalam. Sama juga apabila dia meminta supaya pembedahan pesakitnya ditangguhkan sehingga ke selepas tengah malam kerana tidak mahu anak si mati itu terpaksa menyambut ‘Hari Kanak-kanak’ pada setiap tahun sambil teringatkan kematian ayahnya.

drama hospital playlist

Ramai juga menebak bahawa cinta pertama Songhwa sebenarnya adalah Ikjun kerana pandangan mata wanita itu semasa mereka berlatih band bersama-sama. Sejauh manakah kebenaran itu, sama-sama kita tunggu!

Kenapalah tayang satu episod sahaja seminggu, penatlah macam ini! Tapi penonton kena ingat bahawa pengarah drama ini terkenal dengan ‘plot twist’ yang di luar kotak, jadi tak semestinya apa yang kita jangkakan itu bakal terjadi!

Sumber: Herald Pop

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...