Ikuti Kami:

[REVIEW] ‘Deliver Us From Evil’ Tonjol Kehebatan Lakonan Hwang Jungmin & Lee Jungjae, Tonton Di Pawagam Kini

[REVIEW] ‘Deliver Us From Evil’ Tonjol Kehebatan Lakonan Hwang Jungmin & Lee Jungjae, Tonton Di Pawagam Kini

Tak dinafikan bahawa filem gangster dan juga pembunuhan yang dihasilkan di Korea sering membuatkan penontonnya teruja dan tak senang duduk. Sama juga dengan filem “Deliver Us From Evil” yang baru sahaja memulakan tayangan di panggung tempatan sejak 17 September lepas.

“Deliver Us From Evil” membawa kisah seorang pembunuh kontrak In-nam (Hwang Jung-min) yang mahu bersara selepas menyelesaikan tugasan terakhirnya. Namun tanpa disangka, rancangannya itu berubah selepas diheret sekali dalam satu kes penculikan di Thailand. Pun begitu, keadaan menjadi huru-hara apabila adik kepada mangsa terakhirnya iaitu Ray (Lee Jung-jae) kini juga sedang memburu lelaki itu untuk membalas dendam atas kematian abangnya.

[Amaran SPOILER]

Pembunuh upahan bertemu dengan ‘penyembelih’ tiada simpati

In-nam yang nekad mahu berpindah ke Panama untuk menjalani kehidupan baru selepas bersara terpaksa melupakan niatnya itu apabila dia mengubah keputusan tersebut bagi menyelamatkan seseorang yang telah diculik di Bangkok. Keputusan itu dibuat selepas mengetahui mangsa tersebut mempunyai kaitan dengannya sekaligus membongkar satu rahsia yang sudah lama disimpan.

filem deliver us from evil

Tapi misi tersebut nampaknya menjadi semakin sukar selepas dia kini turut diburu oleh ‘si penyembelih’ Ray yang bermatian ingin membalas dendam atas kematian abangnya. Terkenal kerana menyiat mangsanya dalam keadaan tergantung kaki di atas dan kepala di bawah, In-nam terpaksa melarikan diri daripada kegilaan lelaki itu dan dalam masa yang sama meneruskan misi menyelamatnya.

Padat dengan aksi

Seperti apa yang digambarkan, filem ini dipenuhi dengan pelbagai babak aksi. Daripada pertempuran dengan pistol dan sniper sehingga ke pertarungan klasik menggunakan pisau sembelih. Sesiapa yang geli atau pun tidak tahan dengan aksi mengerikan ini, dicadangkan supaya tidak menontonnya. Walaupun tidak menonjolkannya secara terangan namun bunyi tusukan pisau dan darah merembes keluar sahaja sudah mampu membuatkan penonton tak senang duduk.

filem deliver us from evil

Bahkan penggunaan ‘slow-mo’ dalam beberapa babak pertempuran ini juga berjaya menghidupkan lagi ketegangannya sehingga penonton berdebar. Lagi best sebab ianya diterajui oleh pelakon hebat iaitu Hwang Jung-min dan Lee Jung-jae. Memang menjadi habis lakonan mereka berdua, tak sangka kombinasi hebat semasa “New World” masih lagi kekal hebat sehingga ke “Deliver Us From Evil” ini. Nampak betul kejahatan Ray apabila melihat mata Lee Jung-jae yang tiada perasaan langsung apabila menikam mangsanya selain tenang sahaja apabila bermandi darah.

Diselit babak humor dan menyentuh hati

Mungkin tak mahu ianya hanya dipenuhi babak aksi, “Deliver Us From Evil” turut menyelitkan beberapa babak kelakar menerusi kemunculan Yui (Park Jung-min), seorang lelaki transgender yang membantu In-nam semasa dia di Thailand. Lelaki ini ternyata berjaya menghidupkan lagi filem ini selain memberi sentuhan yang unik dalam situasi genting dan menyesakkan.

filem deliver us from evil

Bukan itu sahaja, walaupun In-nam merupakan seorang yang tidak berperasaan memandangkan dia merupakan seorang pembunuh upahan tetapi terdapat juga beberapa babak yang membuktikan bahawa lelaki ini sebenarnya mempunya perasaan seperti manusia biasa. Pastinya penonton juga akan tersentuh melihat sisi lembutnya semasa menjaga kanak-kanak mangsa penculikan tersebut.

Pengakhiran yang boleh diagak

Rasanya kalau baca daripada sinopsis sahaja ataupun daripada tayangan awal filem ini, penonton sudah boleh mengagak pengakhirannya seperti apa. Namun begitu, hal ini tidak menjejaskan langsung pengalaman menonton mahupun perasaan teruja ingin mengetahui apa yang akan berlau seterusnya sehingga ke penghujung filem.

Tiada apa yang terlalu negatif mengenai “Deliver Us From Evil” melainkan terdapat juga babak yang tidak masuk akal seperti tembakan bertalu-talu namun kedua watak utama tetap mampu melaluinya tanpa kecederaan yang parah langsung. Malah letupan bom pun nampak tidak realistik dek impak yang langsung tidak menjejaskan mereka. Sedikit tidak masuk akal di situ kan?

filem deliver us from evil

Malah mungkin juga ada penonton yang akan mempertikaikan latar belakang di sebalik hubungan Ray dan abangnya sehingga dia sanggup memburu In-nam sehingga ke Thailand. Keutuhan hubungan mereka nampak agak pelik sedangkan kedua adik-beradik itu dikhabarkan sudah lama terputus hubungan.

[SPOILER Tamat]

Apa pun, jangan lepaskan peluang untuk menonton kehebatan lakonan Hwang Jung-min dan Lee Jung-jae menerusi “Deliver Us From Evil”. Cepat serbu wayang berdekatan sekarang!

Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ FacebookTwitter dan Instagram KimchiDaily untuk mendapatkan berita Korea paling latest yang sensasi.

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...