Baru sahaja ditayangkan tapi drama “True Beauty” sudah pun menerima pelbagai komen daripada penonton.
Drama ini membawa kisah Im Joo-kyung (Moon Ga-young) yang berasa sangat tidak yakin dengan penampilannya lantas menggunakan bantuan solekan untuk kelihatan cantik di mata dunia. Dia kemudiannya berjumpa dengan Lee Su-ho (Cha Eun-woo) iaitu seorang lelaki yang menyimpan luka jauh di lubuk hatinya. Bersama, mereka mengubah diri dan berkembang dengan berkongsi rahsia antara satu sama lain.
Menerusi episod pertamanya, Im Joo-kyung digambarkan sebagai seorang yang tidak cantik sejak daripada kecil lagi. Malah kata-kata saudara mengenai wajahnya itu berterusan sehingga ke sekolah menengah di mana dia terus dibuli oleh ‘geng popular’ di sekolahnya pula. Bahkan disebabkan hal itu, gadis ini hampir menamatkan nyawanya sendiri sebelum diselamatkan oleh seorang lelaki kacak bernama Lee Su-ho.
Nekad mahu mengubah penampilannya, Im Joo-kyung mula mempelajari selok-belok mengenai solekan dan mula tampil dengan penampilan baru selepas berpindah sekolah. Mendapat reaksi 180 darjah berlainan daripada sebelumnya, gadis itu terus mendapat jolokan ‘goddess’ oleh rakan sekolah barunya.
Pun begitu, rata-rata penonton meluahkan rasa bahawa plot drama itu terlalu klise dan ‘over’. Mana mungkin semua orang akan membulat mata dan memberi jolokan nama sedemikian rupa hanya kerana melihat gadis cantik.
Tak cukup dengan itu, ramai yang menyamakan plot drama adaptasi webtoon ini dengan “My ID Is Gangnam Beauty” di mana seorang pelajar kolej mula mendapat perhatian ramai selepas menjalani pembedahan plastik. Lagi nampak sama plotnya apabila Cha Eun-woo turut memainkan peranan sebagai hero yang dingin dalan kedua-dua drama ini.
Apa pun, walaupun terselit beberapa komen kritikan namun episod awal “True Beauty” ternyata popular dalam kalangan penonton K-Drama. Ini kerana ia berjaya memperolehi rating yang baik iaitu 3.573% untuk episod pertama dan sedikit menaik pada episod seterusnya dengan catatan 3.626%.
Korang yang dah menonton, best tak “True Beauty”? Klise ke okay sahaja?
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook, Twitter dan Instagram KimchiDaily untuk mendapatkan berita Korea paling latest yang sensasi.