Baru-baru ini, kami berpeluang menyertai sidang media “Squid Game 3” dan korang pastinya tak mahu terlepas mendengar segala cerita mengenainya.
“Squid Game” bakal menutup tirainya dengan musim ketiga dan terakhir yang akan ditayangkan pada 27 Jun di Netflix.
Jangkaan menaik
Menjelang tayangan tersebut, pengarah siri Hwang Dong-hyuk bersama pelakon utama membuka mulut mengenai apa yang peminat boleh jangkakan, termasuk bagaimana mereka menangani kelemahan musim 2serta kebocoran spoiler yang tular sebelum musim baru bermula.
Musim 3 bermula selepas peristiwa musim 2, memfokuskan kepada Gi-hun (lakonan Lee Jung-jae) yang bergelut selepas cubaan pemberontakannya gagal. Dalam masa sama, Frontman (Lee Byung-hun) yang menyamar sebagai peserta pada musim 2 kembali sebagai dalang kejam di sebalik permainan maut itu, mencetuskan pertembungan besar dengan Gi-hun.
Lee Byung-hun menjelaskan dinamika antara dua watak itu dalam sidang media di Yongsan, Seoul.
Gi-hun berputus asa setelah menyaksikan kematian sahabatnya di tangan Frontman. Tapi dia kembali bangkit, mahu runtuhkan sistem ini sambil tetap percaya pada nilai kemanusiaan. Melihat tekad Gi-hun, Frontman juga mula merancang strategi baharu. Jika musim 2 dan 3 dianggap sebagai satu cerita berterusan, musim 3 adalah kemuncak dan penutup. Dari sudut dramatik, ia akan terasa sangat sengit. Inilah kisah di mana pertembungan sebenar antara Frontman dan Gi-hun akan tercetus.
Penuh persoalan
Pengarah Hwang Dong-hyuk pula menegaskan bahawa “Squid Game” tidak memberikan jawapan mutlak, tetapi lebih kepada persoalan,
Bukan untuk menyampaikan mesej seperti ‘Beginilah cara anda harus berfikir.’ Apa yang saya ingin sampaikan melalui Musim 2 dan 3 ialah persoalan: Dalam dunia kapitalis hari ini yang dipenuhi persaingan keterlaluan dan rangsangan keinginan manusia yang tak berkesudahan, bolehkah kita mencipta masa depan yang lebih baik? Bolehkan kita wariskan dunia yang lebih mampan kepada generasi akan datang?
Kemungkinan musim baru
Walaupun musim pertama mendapat sambutan luar biasa dan memenangi Primetime Emmy, musim 2 menerima ulasan bercampur-campur. Ada yang mengkritik rentaknya perlahan dan jalan ceritanya yang tidak kemas. Pengarah itu mengakui,
Seperti yang diketahui ramai, musim 2 dan 3 ditulis dan dirakam serentak. Kami tidak boleh mengubah musim 3 berdasarkan reaksi musim 2. Tapi saya percaya kekecewaan yang timbul akan terubat apabila mereka menonton musim 3.
Mengenai masa depan francais, katanya,
Saya tiada rancangan untuk Musim 4. Itu telah dibincangkan dan dipersetujui bersama Netflix semasa penggambaran Musim 3. Bila anda menontonnya, anda akan faham, musim 4 mungkin boleh dibuat, tapi tak semestinya perlu. Tapi itu tak bermakna saya tak akan kembali kepada ‘Squid Game’ di masa depan. Saya juga mempertimbangkan kemungkinan buat spin-off.
Spoiler tak dijangka
Sementara itu, pelakon Park Sung-hoon dan Park Gyu-young terlibat dalam kontroversi media sosial antara musim 2 dan 3. Park Sung-hoon dikritik kerana berkongsi kandungan lucah berkaitan “Squid Game”, dan Park Gyu-young pula memuat naik spoiler besar yang memberi bayangan watak lakonan Lee Jin-wook mungkin masih hidup.
Mengulas isu spoiler itu, Hwang Dong-hyuk berkata,
Saya anggap itu sebagai insiden malang dan biarkan sahaja. Saya harap penonton anggap ia kesilapan kecil. Masih banyak kejutan dalam siri ini yang tak akan rosak hanya kerana spoiler itu.
Saksikan kesemua 6 episod “Squid Game 3” di Netflix sekarang!
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook, Twitter, Instagram dan Telegram KimchiDaily untuk mendapatkan berita Korea paling latest yang sensasi.