Ikuti Kami:

Pelbagai Drama Baru Untuk Tahun 2020, Netflix Jadi ‘Rumah’ Kepada Kandungan Korea Terbaik!

Pelbagai Drama Baru Untuk Tahun 2020, Netflix Jadi ‘Rumah’ Kepada Kandungan Korea Terbaik!

Kandungan Korea mempunyai pengikut yang ramai di seluruh dunia dan Netflix menggunakan kesempatan dan peluang ini untuk menjadi ‘rumah’ kepada kandungan daripada negara ini dan menghasilkan naskhah yang terbaik untuk semua peminat. Begitulah perkongsian Minyoung Kim iaitu Timbalan Presiden kepada Kandungan Korea di laman penstriman popular Netflix menerusi sebuah temu bual eksklusif bersamanya.

Kandungan Korea membawa emosi yang mendalam, tak kiralah genre romantik atau pun keluarga. Malahan nilai yang diterapkan di dalam plotnya senang difahami oleh peminat Malaysia. Dengan populariti yang dimiliki oleh K-Pop, K-Beauty dan K-Style, ianya juga secara tak langsung telah menarik peminat untuk turut memberi peluang kepada K-Drama.

Naskhah yang dinantikan untuk tahun 2020

Rugal (28 Mac)

Kang Gibeom (Choi Jinhyuk) ialah seorang detektif yang mempunyai masa depan yang cerah di unit jenayah keganasan dan tidak dijangka bahawa kini, dia adalah suspek utama dalam kes pembunuhan isterinya. Lebih mengejutkan apabila matanya telah dicederakan dengan pisau cukur oleh kumpulan pengganas ARGOS selepas dia menyaksikan pembunuhan itu dengan mata kepalanya sendiri. Hiba dengan keadaan hidupnya yang berubah dalam sekelip mata, pengarah kepada Rugal iaitu sebuah organisasi khas yang ditubuhkan untuk menghapuskan ARGOS telah datang dan mengambilnya sebagai ahli.

Choi Geuncheol (Park Sungwoong) juga memberikan Gibeom sepasang mata buatan selepas dia menyertai Rugal. Selepas selesai sahaja pembedahan itu, lelaki itu memulakan hidupnya sebagai senjata manusia dengan matanya yang mempunyai kuasa luar biasa. Dia berjanji akan membalas dendam terhadap ARGOS kerana merosakkan hidupnya.

Rugal

Time To Hunt (10 April)

Dalam sebuah bandar dystopian yang lenggang, Junseok yang baru sahaja dilepaskan daripada penjara sudah mula merencana langkah kehidupannya selepas itu. Nekad untuk memulakan hidup baru bersama rakan-rakannya iaitu Jangho, Kihoon dan Sangsoo tetapi semuanya menjadi huru-hara apabila mereka semua dikejar oleh seorang lelaki yang tidak dikenali. Bolehkan empat sekawan ini terlepas daripada bahaya?

Time to Hunt

Extracurricular (29 April)

Drama ini membawa kisah sekumpulan pelajar sekolah menengah yang memilih jalan jenayah untuk mendapatkan duit sehingga mengancam ramai orang kerana pilihan mereka itu. Oh Jisoo (Kim Donghee) telah melakukan kesalahan yang sangat teruk hanya kerana mahu membuat duit bagi menampung pelajarannya secara sendiri.

Seo Minhee (Jung Dabin) seorang pembuli juga turut terlibat dengan jenayah Jisoo, begitu juga dengan rakan sekolah lelaki itu iaitu Bae Gyuri (Park Joohyun). Keputusan yang salah ini membawa mereka semua kepada kancah kesan yang tidak membolehkan mereka untuk berpatah balik. Hanya kehidupan jenayah dan penuh keganasan yang menanti mereka.

Extracurricular

The King: Eternal Monarch (April 2020)

Sebuah drama romantik fantasi yang membawa genre itu ke dimensi yang lain. Ia mengisahkan hubungan di antara dua dunia selari yang sangatlah berbeza hakikatnya. Raja Lee Gon (Lee Minho) mencari cara untuk menutup pintu gerbang di antara dua dimensi ini manakala pegawai polis iaitu Jung Taeeul (Kim Goeun) hanya mahu menyelamatkan orang lain dan melindungi nyawa orang yang disayanginya.

the king: eternal monarch

It’s Okay Not To Be Okay (Jun 2020)

Kisah romantik luar biasa antara dua individu yang cuba untuk merawat luka emosi dan psikologi masing-masing. Moon Gangtae (Kim Sohyun) merupakan seorang penjaga yang bekerja di wad psikiatrik dan tidak percaya dengan cinta. Lelaki ini dengan diamnya membawa beban hidup dan memberikan sepenuh perhatian untuk menjaga abangnya yang kurang upaya. Go Moonyoung (Seo Yeji) ialah seorang penulis buku kanak-kanak yang langsung tiada pengetahuan mengenai cinta. Sangat popular dalam kalangan rakan sebayanya tapi seorang yang antisosial dan tidak peduli mengenai hal orang lain.

it's okay not to be okay

Netflix teruja dengan nama dan percubaan baru

Daripada kesemua naskhah yang bakal diterbitkan ini, Minyoung Kim nyata teruja dengan penghasilan drama remaja sekolah iaitu “Extracurricular”. Lebih mengagumkan kerana ianya telah ditulis oleh seorang penulis skrip baru dan bakal menggegarkan dunia drama Korea dengan idea hebatnya menerusi naskhah ini. Bahkan wanita ini sendiri serta Netflix meluahkan rasa tidak sabar untuk berkongsi cerita ini dan melihat reaksi penonton terhadapnya.

Filem “Time To Hunt” juga merupakan buah tangan Netflix asal dalam bahasa Korea pertama selepas kali terakhir melakukannya menerusi filem popular iaitu “Okja”. Cerita empat sekawan yang melalui kesusahan bersama ini sudah pasti akan menarik perhatian ramai penonton yang sukakan drama aksi dan misteri.

Kandungan Korea akan terus popular

Minyoung Kim juga berharap agar fenomena K-Drama dan K-Filem ini akan terus berkembang pada masa akan datang kerana Netflix baru sahaja memulakan langkah mereka bagi mempelosori lagi genre ini. Selain itu mereka turut berjanji akan menyediakan naskhah yang unik dan sesuai dengan permintaan penonton. Bukan itu sahaja, Netflix turut berharap dengan inisiatif yang diambil ini akan membawa penonton yang tidak pernah menonton sebarang kandungan Korea supaya mula merasai pengalamannya menerusi naskhah yang digarap oleh mereka. Dengan ini, ia akan menambah lagi peminat dan mengembangkan lagi kandungan Korea di laman penstriman mereka.

my holo love

Salah satu lagi yang menarik mengenai kandungan Korea di Netflix ialah mereka tidak mengehadkan sesuatu naskhah kepada format yang sama. Bagi yang sudah biasa dengan drama Korea, sudah pasti tahu bahawa jumlah episod standard ialah 16. Tetapi menerusi Netflix, mereka menghasilkan sesuatu naskhah mengikut keperluan jalan ceritanya sendiri. Tak kisahlah dalam bentuk filem atau pun drama, dan sama ada 6 episod mahupun 12 episod.

Bagi semua yang meminati kandungan Korea yang berbagai, jangan lupa untuk langgani Netflix bagi menjadi orang pertama yang melihat naskhah hebat daripada mereka!

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...