Ikuti Kami:

Mengujakan! Sebab MESTI Tonton Filem Dystopian Thriller ‘Time To Hunt’ Di Netflix

Mengujakan! Sebab MESTI Tonton Filem Dystopian Thriller ‘Time To Hunt’ Di Netflix

Filem “Time To Hunt” nyata istimewa kerana ia mengangkat latar belakang dunia dystopian yang menjangkau akal fikiran penonton. Elemen futuristik yang menjadi premis kepada naskhah ini membuatkan semua seperti berada di dunia yang berbeza, ditambah pula dengan persekitaran yang kelihatan canggih dan simbahan warna-warni yang menghiasi bandar di dalamnya.

Misi rompakan bertukar thriller

Kisah bermula apabila Jun-seok (Lee Je-hoon) dibebaskan daripada penjara kerana ditangkap merompak pada beberapa tahun lepas. Kepulangannya itu disambut dua rakan baiknya iaitu Jang-ho (Ahn Jae-hong) dan Ki-hoon (Choi Woo-shik) yang juga merupakan rakan subahat dalam rompakan yang sama namun mereka berjaya meloloskan diri daripada ditangkap.

Meskipun baru sahaha melihat dunia luar yang sudah berubah sejak dia dipenjarakan, Jun-seok memulakan misi gilanya untuk merompak satu lubuk perjudian bagi mengubah nasibnya dan juga rakan rapatnya. Disangka bahawa semuanya berjalan dengan lancar tetapi maut mula menghampiri apabila mereka kini menjadi buruan seorang pembunuh bersiri bernama Han.

netflix time to hunt

Dipilih untuk ditayangkan di Berlin International Film Festival

Punyalah hebat filem ini apabila ia telah pun dipilih untuk ditayangkan di Berlin International Film Festival meskipun belum lagi membuka pintunya di Korea. Kesemua pelakon utama meluahkan rasa teruja kerana dapat duduk bersama dengan penonton di festival tersebut bagi menyaksikan filem itu. Kata Lee Je-hoon, ia adalah satu memori yang tidak dapat dilupakan!

Bahkan penonton di sekeliling mereka memberikan sokongan yang sangat padu dan nampak benar-benar menyukai “Time To Hunt”. Lantas, membuatkan kesemua mereka tidak dapat melupakan perasaan bangga berjalan di karpet merah dan memberikan ucapan di atas pentas utama sambil diiringi tepukan gemuruh semua pengunjung di festival tersebut.

netflix time to hunt

Karakter ‘Han’ yang misteri sehingga ke akhirnya

Apabila ditanya karakter mana yang mereka mahu lakonkan sekiranya diberi peluang untuk membuat pilihan, majoriti daripada mereka memilih watak Han yang didukung oleh pelakon Park Hae-soo. Tak pelik kerana watak ini yang penuh misteri membuatkan penonton terus tertanya-tanya sehinggalah filem ini habis ditayangkan.

Menurut Choi Woo-shik, aura misteri yang ditonjolkan oleh Han menunjukkan bahawa dia adalah seorang yang sangat berkuasa. Karisma yang dimiliki oleh karakter tersebut membuatkannya teringin untuk membawa watak sedemikian kerana walaupun tidak mengutarakan sebarang perkataan pun, penonton sudah menggigil ketakutan melihat pembawaan dirinya.

netflix time to hunt

Babak buruan yang mendebarkan

Meskipun banyak babak yang mendebarkan penonton tetapi Lee Je-hoon memilih adegan Jun-seok, Ki-hoon dan Jang-ho bertemu dengan Han buat pertama kalinya di tempat letak kereta bawah tanah sebagai satu proses rakaman yang mengujakan.

Bagi menyempurnakan babak ini, mereka mengambil masa yang lama untuk melengkapkan rakaman dan terpaksa melawan cuaca yang sejuk sehingga ke akhirnya. Para pelakon sendiri berasa berdebar dan menggigil semasa merakamkan adegan kejar-mengejar ini. Sepertinya mereka benar-benar bakal mati di tangan Han yang lengkap bersenjata sekiranya gagal melarikan diri!

netflix time to hunt

Senimatografi dunia dystopian yang nampak nyata

“Time To Hunt” nyata berjaya menghidupkan elemen dunia dystopian yang menjadi tema utama dalam filem ini. Penonton disajikan dengan pelbagai item futuristik seperti kereta yang nampak canggih berbanding dunia biasa selain kebanyakan bangunannya dipenuhi dengan lukisan grafiti melambangkan kebebasan penduduk dunia itu.

Bahkan pihak produksi menitik beratkan penghasilan muzik untuk naskhah ini di mana rata-rata runut bunyi membawa tema hip-hop dan upbeat. “Time To Hunt” mampu menghidupan dunia ini dan melangkaui jangkaan penonton dengan setiap perincian pada karakter dan juga sekelilingnya.

netflix time to hunt

Bagi merealisasikan imaginasi mengenai dunia ini, pengarah filem ini telah ke beberapa negara seperti Amerika Selatan dan melawat kawasan yang tidak membangun bagi mendapatkan inspirasi untuk pembikinan “Time To Hunt”. Bukan itu sahaja, pihak produksi turut menjadikan kawasan berkenaan di US dan Afrika sebagai rujukan tambahan. Mengagumkan!

Kepada yang belum menonton, cepat langgan Netflix dan saksikan filem mendebarkan “Time To Hunt” sekarang!

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...