Mesti ramai kan yang tengah layan drama “Lovely Runner” sekarang?
Untuk pengetahuan, “Lovely Runner” yang diterajui Byeon Woo-seok dan Kim Hye-yoon, mengisahkan tentang seorang gadis bernama Im Sol yang kembali ke masa silam untuk menyelamatkan Ryu Sun-jae, seorang penyanyi idola yang ingin mengambil nyawanya sendiri.
Terbaru menurut laporan, media mendedahkan bahawa pada mulanya, “Lovely Runner” bukanlah drama yang dinanti-nantikan dalam pasaran sehingga mengambil masa 3 tahun untuk dihasilkan.
Tambahan, beberapa pelakon lelaki dilapor telah menolak tawaran untuk muncul dalam drama ini kerana menyangka ia hanyalah kisah cinta peminat K-Pop yang tidak terbalas.
Setelah melalui pelbagai kesukaran, Byeon Woo-seok satu-satunya yang bersetuju untuk membintangi naskhah ini dan penerbitan drama tersebut akhirnya bermula.
Nampaknya, Byeon Woo-seok membuat pilihan tepat kerana “Lovely Runner” berjaya menerima komen positif dari penonton dan meraih rating memuaskan mencecah 4.5%.