Seperti biasa laman penstriman Netflix pasti tidak akan ketinggalan dalam menghasilkan kandungan Korea yang terbaik dan unik bagi semua peminat K-Drama. Terbaru, mereka dikhabarkan bakal menghasilkan satu drama fantasi bertajuk “Hellbound” di mana ia membawa kisah malaikat yang mempunyai kuasa luar biasa muncul secara tiba-tiba dan mengheret manusia ke neraka.
Laman penstriman pilihan ramai itu juga telah mengesahkan barisan pelakon utama untuk naskhah hebat ini. Antara daripada mereka ialah Yoo Ah-in, Park Jung-min, Kim Hyun-joo, Won Jin-ah dan Yang Ik-jun.
Yoo Ah-in diberikan tanggungjawab untuk menggalas watak Jeong Jin-su iaitu seorang pemimpin berkarisma dan misteri di Gereja New Truth. Selepas kemunculan para malaikat itu, gereja ini mengemudi perang keagamaan dan menyatakan bahawa kehadiran makhluk tersebut adalah ketentuan ilahi.
Park Jung-min pula membawa watak Bae Yeong-jae iaitu seorang produser di stesen penyiaran yang menjalankan siasatan ke atas Gereja New Truth. Manakala Kim Hyun-joo bakal berlakon sebagai Min Hye-jin, seorang peguam bijak yang cuba menentang gereja dan pengikutnya yang taksub.
Won Jin-ah akan membawa watak sebagai Hong Ji-yeong iaitu isteri kepada Bae Young-jae dan juga pengikut setia Gereja New Truth yang kalah dengan godaan yang mengasyikkan. Selain itu, Yang Ik-jun pula disahkan bakal membawa watak Jin Gyung-hun iaitu seorang detektif yang bertugas untuk membongkar mengenai kemunculan malaikat maut itu.
Belum ditetapkan lagi tarikh tayangannya, namun semua orang sudah teruja apabila mendengarkan plot ini selain tak sangka bahawa kesemua pelakon hebat ini berkumpul dalam naskhah yang sama.
Saksikan “Hellbound” eksklusif di Netflix!
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook, Twitter dan Instagram KimchiDaily untuk mendapatkan berita Korea paling latest yang sensasi.