Cerita seram Korea pun boleh tahan mengerikan sekarang ini! Tapi selalunya untuk tidak menakutkan sangat penonton, pasti sesetengah naskhah akan menerapkan sedikit elemen komedi di dalamnya. Contohnya ialah drama “Psychopath Diary” yang sedang ditayangkan di kaca televisyen sekarang ini. Tapi yang menariknya apabila penonton dapat melihat bagaimana seseorang itu berkelakuan berdasarkan kepada cara dia dilayan.
Sebelum mendapat amnesia, Yook Dongshik (Yoon Shiyoon) adalah seorang yang sangat penakut sehinggakan dia tidak mampu untuk melindungi dirinya sendiri. Walaupun ketika dia dituduh melakukan kesalahan besar dalam laporan syarikat, dia hanya mendiamkan diri dan menerima sahaja dakwaan tersebut meskipun ia telah menggugat kariernya. Kerana terlalu marah, dia mengambil keputusan untuk membunuh diri tetapi telampau takut untuk mengambil nyawanya sendiri. Selepas itu, kehidupannya berubah kepada sesuatu yang tidak dijangka langsung.
Dongshik mengalami amnesia selepas dia dilanggar oleh sebuah kereta peronda polis ketika sedang melarikan diri daripada tempat pembunuhan di mana dia tanpa sengaja telah menjadi saksi kejadian kejam tersebut. Kerana takut lelaki itu ingat kembali bahawa dia yang telah melanggarnya tanpa sengaja, pegawai polis Shim Bokyung (Jung Insun) telah membantunya kembali mengatur hidup lelaki itu seperti normal. Wanita itu turut memulangkan diari pembunuh tersebut kepada Dongshik kerana menyangka itu adalah miliknya. Kerana hilang ingatan, lelaki itu benar-benar menyangka bahawa dia adalah pembunuh tersebut berdasarkan isi kandungan diari itu.
“Psychopath Diary” ditayangkan pada setiap Rabu dan Khamis di saluran tvN!