Semua peminat K-Drama pastinya mengenali Lee Seunggi kan? Seorang pelakon berkarisma dan menjadi kegilaan ramai wanita di luar sana. Tambahan pula, drama popular lakonannya iaitu “Vagabond” berjaya membuktikan bahawa dia merupakan seorang pelakon yang sangat versatil dan mampu membawa pelbagai watak tanpa sebarang masalah.
Kepada yang tidak tahu, Lee Seunggi sebenarnya memulakan karier seninya sebagai seorang penyanyi dan turut menerima gelaran ‘Putera Balada’ kerana lagu nyanyiannya sering menjadi siulan orang Korea. Namun begitu, kini dia lebih selesa bergelar sebagai seorang pelakon selepas mula popular menerusi drama “Shining Inheritance”.
Sudah pun berlakon dalam banyak projek dan mendapat kepercayaan daripada banyak pengarah terkenal, Lee Seunggi berterusan mencabar dirinya dalam bidang lakonan. Mesti ramai yang ingin tahu, watak lakonannya dalam naskhah manakah yang menjadi kegemaran lelaki kacak itu.
Pelakon lelaki itu tidak berfikir dua kali dan memilih watak ‘Lee Jaeha’ dalam drama “The King 2 Hearts” di mana dia berlakon sebagai seorang raja. Katanya,“Drama itu merupakan satu titik perubahan dalam karier lakonan saya dan ia juga mengubah pandangan orang ramai tentang Lee Seunggi sebagai seorang pelakon.”
Nampaknya drama yang ditayangkan pada tahun 2012 itu menjadi pilihan hati Lee Seunggi. Mungkin juga kerana dia berlakon dengan heroin hebat iaitu Ha Jiwon?
Sumber: KstarLive