Ikuti Kami:

Lawan Stigma Masyarakat, Ini 10 K-Drama Berjaya ‘Buka Minda’ Penonton

Lawan Stigma Masyarakat, Ini 10 K-Drama Berjaya ‘Buka Minda’ Penonton

Jika dilihat pada tahap keterbukaan pihak produksi perfileman dan drama Korea, kita dapat menilai bagaimana mereka sering mengetengahkan konsep atau tema yang memberi mesej yang mampu diterima penonton. Kesedaran mengenai isu semasa yang berbangkit dalam kalangan penonton seperti orang kurang upaya, kes pembunuhan diri dan juga kes yang lain, dilihat makin meluas dan berjaya memecahkan stigma penonton dan masyarakat luar. Jom kita tengok antara beberapa drama Korea yang berjaya ‘membuka minda’ penonton.

1. Extraordinary Attorney Woo

Drama bersiri ini mengisahkan seorang peguam wanita yang didiagnosis dengan autism pada usia muda. Jenis cerita dan kesedaran melalui drama ini telah membawa ‘cahaya’ positif kepada komuniti autism terutamanya di Korea Selatan. Daya fikiran dan semangat watak Woo Young-woo berjaya dipapar dengan baik, terutamanya melalui interaksi bersama orang sekeliling. Autism adalah topik yang perlu lebih diketengahkan dalam perbincangan sosial dan masyarakat, dan ini hanyalah adalah satu langkah kecil yang berjaya dilaksanakan.

2. It’s Okay To Not Be Okay

Moon Kang-tae lakonan Kim Soo-hyun yang bekerja sebagai penjaga di sebuah hospital psikiatri, bertemu dengan Go Moon-young lakonan Seo Ye-ji, penulis buku kanak-kanak bersiri ‘dark humour’. Kang Tae pula mempunyai seorang abang autistik iaitu Moon Sang-tae lakonan Oh Jung-se. Perceritaan drama bersiri ini mempamerkan pelbagai watak yang mengetengahkan isu kesihatan mental. Setiap watak juga mempamerkan cara mereka tersendiri dalam mengatasi kesukaran dalam menghadapi kesihatan mental. Pendedahan seperti ini sangat penting dalam memerangi stigma yang hadir dalam kalangan individu yang berhadapan dengan kesihatan mental. Ia sekaligus menunjukkan bahawa ianya sangat penting untuk mendapatkan bantuan apabila kita sedang memerlukan.

3. Our Blues

Drama “Our Blues” ialah drama bersiri yang dibintangi Han Ji-min, Kim Woo-bin, Lee Byung-hun, Shin Min-ah, Cha Seung-won, Lee Jung-eun, Kim Hye-ja dan ramai lagi. Drama ini menunjukkan pelbagai pendekatan masalah dan isu kehidupan sebenar yang dipamerkan oleh watak-watak. Begitu banyak topik dan isu yang didedahkan dalam drama ini, seperti ketidakupayaan, kemurungan, ibu bapa tunggal, dan juga kes keguguran. Isu lain yang disentuh ialah kehamilan dalam kalangan remaja dan bagaimana dua remaja terbabit iaitu Bang Yeong-joo lakonan Roh Yoon-seo dan Bae Hyun-sung lakonan Jung Hyeon memutuskan untuk menjaga bayi mereka. Dalam stigma masyarakat Korea, pandangan mengenai isu kehamilan remaja sangat dipandang rendah. Tetapi dalam drama “Our Blues”, ia sedikit sebanyak memberikan sedikit kesedaran dan kebenaran bahawa kes seperti ini benar-benar berlaku dan terdapat pelbagai pilihan untuk menangani situasi seperti ini.

4. It’s Okay That’s Love

Drama ini sememangnya berjaya meletakkan penonton dalam emosi yang turun naik.. Kisah ini membincangkan isu penyakit mental dan percintaan, yang boleh dikaitkan dengan realiti kehidupan masyarakat. “It’s Okay, That’s Love” mempunyai kisah cinta yang hebat, tetapi ia turut menyerlahkan kepentingan kesihatan mental, menerusi watak utama yang dilakonkan oleh Jo In-sung. Dia memainkan watak Jang Jae-yeol, seorang pengarang yang mengalami penyakit skizofrenia dan menyedari bahawa dia memerlukan bantuan apabila sudah dewasa. Dia berkongsi isu ini kepada Ji Hae-soo lakonan Gong Hyo-jin, dan terus mendapatkan bantuan yang dia perlukan. Sokongan dan keterbukaan yang ditunjukkan dalam drama ini sangat penting untuk membantu mengurangkan stigma yang menyelubungi kesihatan mental terutamanya di Korea.

5. The Universe’s Star

Apabila Byul Yi lakonan Ji Woo, meninggal dunia dalam kemalangan kereta yang tragis, dia menjadi malaikat maut. Byul Yi merupakan peminat tegar Woo Joo lakonan Suho, seorang penyanyi terkenal. Dia menghabiskan hari-harinya sebagai malaikat maut dan terus meminati Woo Joo. Sepanjang penceritaan drama itu, Woo Jo merupakan seorang penyanyi yang tidak begitu popular dan sedang bergelut membuat lagu hit untuk mendapatkan semula popularitinya. Dia juga mengalami kemurungan yang memerlukan dirinya mengambil ubat.

Drama ini memberi tumpuan kepada kesan negatif terhadap tekanan yang dialami oleh idola terkemuka dan penyakit mental merupakan realiti yang dialami ramai idola. Kekalahan, perasaan rendah diri, kemurungan, dan perasaan tidak bahagia secara keseluruhan adalah semua perkara yang dilalui oleh ramai idola. Siri ini memaparkan jatuh bangun kehidupan idola, mendedahkan bahawa kesihatan mental adalah perjuangan dengan diri sendiri dan ianya harus diperdebatkan.

6. Good Doctor

“Good Doctor” dibintangi Joo Won sebagai Park Shi-on, seorang doktor yang menghidap autisme. Walaupun dia dianggap mempunyai tahap pemikiran seperti kanak-kanak berusia 10 tahun, dia seorang yang genius dan menjadi pakar bedah kanak-kanak yang berjaya. Dia dimasukkan ke hospital bersama Kim Do-han lakonan Joo Sang-wook, seorang lagi pakar bedah kanak-kanak.

“Good Doctor” adalah salah satu drama pertama yang mempunyai watak autistik sebagai peneraju utama. Begitu juga dengan “Extraordinary Attorney Woo”, Park Shi-on juga seorang yang genius. Park Shi-on mempunyai banyak daya tarikan dan wataknya memberikan ruang dan peluang untuk topik ini dibahaskan. Siri ini sangat digemari sehinggakan terdapat juga ‘spin-off’ di Amerika Syarikat yang telah disiarkan. Kejayaan itu dilihat sebagai pencapaian besar dalam membawa kesedaran mengenai autism.

7.  The World Of The Married

Ji Sun-woo lakonan Kim Hee-ae merupakan seorang doktor perubatan keluarga. Dia berkahwin dengan Lee Tae-Oh lakonan Park Hae-Joon dan mereka mempunyai seorang anak lelaki. Kisah ini bermula apabila Jin Sun-woo menyangkakan bahawa dia sudah mempunyai segala-galanya, termasuk kerjaya dan keluarga bahagia, tetapi dia dikhianati oleh suaminya sendiri.

Sementara itu, suaminya Lee Tae-Oh yang ingin mengejar impiannya sebagai pengarah filem terkenal. Dia menjalankan perniagaan hiburan dengan menyangkakan bahawa hubungan sulitnya boleh dirahsiakan walaupun dia masih mencintai isterinya. Drama ini mula mendapat kepuasan penonton apabila isterinya bertindak untuk membalas dendam dan tidak membiarkan dirinya ditindas begitu sahaja. Drama ini sedikit sebanyak berjaya memecahkan stigma masyarakat di mana, seorang isteri tidak boleh bertindak melawan suami walaupun dia curangi disebabkan oleh pangkat seorang suami. Pembawaan watak Jin Sun-woo berjaya membuka minda penonton untuk terus mempertahankan hak dan maruah sebagai seorang isteri daripada orang ketiga.

8. Save Me

Seo Ye-ji membawa Im Sang-mi dengan baik sekali apabila watak tersebut berjaya memberi kesan di hati penonton. Seo Ye-ji meletakkan begitu banyak peranan dalam membawa sentuhan watak lembut sehingga ke watak penuh keganasan. Drama ini benar-benar menetapkan tema yang menyayat hati apabila sebuah keluarga dipecah belah dan dimusnahkan oleh kumpulan ajaran sesat.

“Save Me” benar-benar dapat melukiskan gambaran yang jelas tentang kumpulan ajaran sesat tersebut mengambil kesempatan ke atas kumpulan bawahan yang terluka. Kawalan kumpulan ajaran sesat tersebut ke atas ahli-ahlinya adalah menakutkan dan menyedihkan, yang sememangnya boleh dikaitkan dengan kehidupan sebenar. Dengan menggunakan taktik ketakutan, hukuman, dan pemisahan dari dunia luar, kumpulan ajaran sesat itu dapat mewujudkan kesedaran baru dalam kalangan masyarakat bagaimana kumpulan bawahan yang tidak berkuasa sering dijadikan mangsa untuk kebaikkan sendiri.

9. Mother 

Terdapat banyak drama yang mempunyai plot penceritaan yang hampir sama, namun drama ini semestinya memberikan sentuhan plot yang berlainan. Drama ini mengisahkan rasa kasih sayang seorang wanita kepada seorang kanak-kanak yang bukan anak kandungnya, malah sanggup mempertaruhkan nyawanya untuk menyelamatkan anak itu, yang dalam bahaya maut daripada ibunya sendiri.

Drama ini mendalami topik sensitif seperti penderaan fizikal, keibuan dan trauma di zaman kanak-kanak. Plot penceritaannya dilihat berjaya menyentuh sensitiviti penonton kerana ia turut berkaitan dengan realiti kehidupan. Dalam realiti kehidupan, juga terdapat seorang ibu yang tidak mampu menzahirkan rasa sayang terhadap anak sendiri namun orang sekeliling yang mengambil berat dek kerana sifat kemanusiaan.

10. 18 Again

Drama menuntun hati ini dilihat berjaya meninggalkan kesan di hati penonton. Rata-rata dalam kalangan penonton berkata drama ini mampu dikaitkan dengan realiti kehidupan sendiri. Drama bersiri ini mengisahkan Hong Dae-young lakonan Yoon Sang-hyun dan Lee Do-hyun, di samping Kim Ha-neul yang memegang watak isteri iaitu Jung Da -jung. Kisah kekeluargaan yang dianggap sebagai konflik realiti terutamanya apabila Hong Dae-young dan Jung Da-jung yang menghadapi tekanan kewangan ditambah pula dengan masalah dalaman keluarga.

Keinginan Hong Dae-young yang ingin kembali ke zaman mudanya akibat terlalu banyak impian yang masih belum dikecapi akibat mempunyai anak di usia muda. Keinginan itu tercapai apabila pada suatu hari, Hong Dae-young kembali dalam badannya sewaktu remaja. Dalam keseronokkan Hong Dae-young yang ingin kembali muda, dia juga sedar bahawa dia mempunyai banyak kesalahan sebagai seorang bapa dan suami. Ekoran daripada itu, dia cuba membetulkan kembali kesilapannya selagi masih mempunyai peluang.

Menerusi drama ini, penonton dapat melihat kepentingan untuk tidak terlalu mementingkan kemahuan sendiri dan cuba untuk menjalankan tanggungjawab dengan baik terutamanya sebagai seorang ketua keluarga. Penonton mulai sedar bahawa, tidak semua masa silam perlu dikesali kerana pentingnya untuk kekal fokus terhadap kehidupan yang sekarang.

Antara semua drama yang tersenarai, yang mana satu kegemaran korang?

Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ FacebookTwitterInstagram dan Telegram KimchiDaily untuk mendapatkan berita Korea paling latest yang sensasi.

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...