Ikuti Kami:

Kucing Jadi Manusia, Drama Fantasi Romantik ‘Meow: The Secret Boy’ Mula Dengan Rating Rendah

Kucing Jadi Manusia, Drama Fantasi Romantik ‘Meow: The Secret Boy’ Mula Dengan Rating Rendah

Episod awal “Meow: The Secret Boy”

Seorang wanita muda bernama Kim Solah (Shin Yeeun) telah membawa pulang seekor kucing putih yang comel ke rumahnya meskipun tidak berapa gemar dengan haiwan peliharaan itu. Dia percaya bahawa di dalam dunia ini terdapat dua jenis manusia iaitu orang yang sukakan anjing atau pun orang yang sukakan kucing.

Solah mempunyai hubungan ‘teman tapi mesra’ dengan Lee Jaeseon (Seo Jihoon) yang sangat menyukai kucing bahkan dialah yang menghadiahkan kucing putih itu kepada Solah. Wanita itu nyata keliru dengan lelaki tersebut yang seperti menyukainya daripada cara dia melayannya tetapi pada akhirnya Jaeseon meninggalkan Solah untuk perempuan lain.

Lebih merunsingkan apabila kucing yang dihadiahkan itu sebenarnya adalah untuk teman wanita Jaeseon tetapi terpaksa membatalkan hasratnya itu kerana kekasihnya telah meminta putus daripadanya. Alergik terhadap kucing, Jaeseon akhirnya menyerahkan kucing tersebut kepada Solah kerana sedar wanita itu pasti menerimanya tanpa sebarang persoalan.

Si kucing tersebut (Kim Myungsoo) pula sebenarnya adalah manusia dalam diam. Haiwan ini asyik mempunyai bayangan mengenai kehidupannya sebagai manusia. Kucing putih tersebut hanya bertukar kepada manusia apabila tiada sesiapa yang melihatnya. Kelakar melihat telatahnya apabila cuba mendalami dunia sebagai manusia dan bukannya haiwan.

Walaupun tidak boleh selalu menjelma sebagai manusia tetapi tiap kali kucing tersebut menjadi orang, pasti ia berlaku dalam waktu yang pelik. Seperti apabila dia berjaya membantu menghantar ayah Solah menaiki ambulans selepas dia pengsan kerana serangan jantung.

Solah juga berada dalam dilema selepas mendapat tahu bahawa ayahnya kini sudah mempunyai wanita baru di dalam hidupnya dan telah berpindah ke kampung untuk meneruskan hidup mereka. Disebabkan oleh itu, dia berpindah ke tempat baru yang kebetulan bersebelahan dengan kafe milik Jaeseon.

Cerita ini menjadi kian menarik apabila kucing putih itu yang kini dinamakan sebagai Hongjo sudah mula menyukai Solah namun berasa sedih apabila melihat keakraban wanita itu dan pemilik kafe tersebut. Mereka juga sudah beberapa kali melihat kelibat Hongjo dalam badan manusianya tetapi menyangka dia hanyalah seorang lelaki yang tinggal di kawasan yang sama.

Walaubagaimanapun, Solah terperanjat apabila melihat patung yang diberikan kepada lelaki misteri itu yang pernah menyelamatkannya kini berada dalam rumahnya kembali. Meminta bantuan Jaeseon, kedua mereka mula mencari lelaki itu di merata tempat. Dalam pada itu, semasa Solah dan Jaeseon mula intim, situasi itu telah diganggu oleh Hongjo yang muncul dalam badan manusianya.

Rating rendah

Cerita fantasi romantik ini ternyata berjaya membuatkan ramai orang yang tersenyum simpul melihat komelan kucing putih tersebut bersama tuannya, Solah. Drama ini tidak seberat naskhah thriller atau pun misteri, tetapi ia mampu meringankan stres penonton kerana plotnya yang ringan dan menghiburkan.

Pun begitu, “Meow: The Secret Boy” hanya mampu meraih rating sederhana pada episod awalnya dengan catatan 3.6% dan 2.8% sahaja. Lantas meletakkannya di tempat terakhir dalam slot tersebut berbanding dengan drama lain seperti “Memorist”, “Find Me In Your Memory”. Rating tersebut jatuh sedikit kepada 1.6% dan 1.8% pada episod kedua, mungkin kerana drama popular “Hospital Playlist” turut menyertai persaingan dalam slot tersebut pada hari Khamis.

Sekiranya anda peminat drama fantasi yang dipenuhi dengan kisah romantik, jangan lupa untuk menyaksikan “Meow: The Secret Boy” pada setiap Rabu dan Khamis di saluran KBS!

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...