Ikuti Kami:

Kisah Curang & Khianat, ‘The World Of The Married’ Pecah Rekod JTBC Dengan Rating Episod Awal Terbaik!

Kisah Curang & Khianat, ‘The World Of The Married’ Pecah Rekod JTBC Dengan Rating Episod Awal Terbaik!

Semua mesti ingat dengan drama “VIP” yang pernah ditayangkan pada tahun lepas kan? Kisah kecurangan si suami dan si isteri yang tertipu dengan janji manis sepanjang berkahwin. Jikalau anda sukakan drama tersebut, sudah pasti anda turut akan tak senang duduk menonton drama terbaru JTBC iaitu “The World Of Married” ini.

Tayangan awal “The World Of Married”

Ji Sunwoo (Kim Heeae) ialah seorang doktor perubatan keluarga. Mempunyai suami, Lee Taeo (Park Haejoon) dan seorang anak lelaki, kehidupan wanita ini adalah sangat sempurna. Tetapi panas tidak sampai ke petang apabila wanita hebat ini telah dikhianati oleh suaminya sendiri serta orang terdekat.

Kesemuanya nampak indah sehinggalah pada suatu hari dia terperasan ada sehelai rambut panjang lain di skarfnya. Sunwoo mula membayangkan bahawa suaminya sebenarnya mempunyai perempuan simpanan. Apabila meluahkan mengenai kerisauannya kepada rakan baiknya iaitu Dr Seol Myungseok (Chae Gookhee), namun wanita itu menolak dan mengatakan bahawa dia hanya berfikir perkara yang bukan-bukan.

episod pertama the world of married

Disebabkan masih ragu-ragu, Sunwoo telah mengikuti Taeoh untuk berhadapan dengan lelaki itu dan berasa malu apabila suaminya telah ke hospital yang menempatkan ibunya. Tambahan pula, suaminya habis jam kerja jam 5 petang tetapi hanya sampai rumah lebih kurang 7 petang. Suaminya menjelaskan bahawa dia sering ke hospital untuk melawat ibunya sejak Januari lagi. Namun bahagia Sunwoo hanya sementara apabila jururawat di situ mengatakan bahawa pasti ibunya akan gembira kerana anak lelakinya sudah lama tidak melawat dan hanya bersembang di telefon sahaja.

Menggunakan khidmat salah seorang pesakitnya iaitu Hyeonseo (Shim Hyunwoo), wanita itu memintanya mengekori segala gerak-geri suaminya. Daripada situ dia mendapat maklumat bahawa suaminya ada ke sebuah perumahan mewah dan meluangkan masa yang lama di sana. Meskipun tidak mendapat gambaran wajah skandal suaminya dengan jelas, dia mengetahui maklumat nombor pendaftaran kereta wanita itu.

episod pertama the world of married

Semasa di sambutan parti hari jadi Taeoh, Sunwoo sudah boleh bau suaminya itu curang bersama dengan Dakyeong (Han Seohee) iaitu anak kepada pesakitnya, Sunkyung (Uhm Hyojung) yang merupakan bekas Miss Korea. Menerusi informasi Hyeonseo, wanita itu mendapatkan kunci kereta suaminya dengan alasan untuk mendapatkan kamera walhal dia mahu menggali isi beg yang disorokkan oleh lelaki tersebut. Daripada situ, dia dapat menyelongkar pelbagai barangan peribadi seperti pakaian dalam, kondom dan barangan bilik mandi.

Lebih memeranjatkan apabila kesemua rakan yang dikenalinya seperti Myungseok sebenarnya tahu mengenai hubungan sulit suaminya. Mereka semua menipu dia hidup-hidup meskipun mengakui sebagai teman baiknya. Myungseok jugalah yang memaklumkan kepada Taeoh bahawa isterinya seperti sudah dapat menghidu kecurangannya selain memberi kemas kini waktu pulang Sunwoo hampir setiap hari.

Dokyeong dan Taeoh juga dalam diam memegang tangan masing-masing meskipun berada di tempat umum. Lagi pula, Dokyeong meminta kekasihnya itu supaya meninggalkan Sunwoo selain melakukan adegan intim yang dalam diam sebenarnya telah dirakam oleh seorang lagi pesakit Sunwoo iaitu Dongshik. Sunwoo jadi tak tentu arah apabila perempuan simpanan suaminya telah datang ke tempat kerjanya untuk mendapatkan rawatan. Mengejutkan apabila gadis itu kini sedang mengandung dan dia semakin kecewa dengan aturan hidupnya.

episod pertama the world of married

Pecah rekod episod perdana di saluran JTBC

Selepas kembali ke dunia K-Drama selepas 4 tahun, lakonan Kim Heeae nyata tidak menghampakan. Melihatkan dunianya yang sempurna hancur dek pengkhianatan suaminya dan kenalannya, membuatkan dia berubah menjadi wanita yang lain.

Plotnya yang mendebarkan membuatkan semua penonton tak senang duduk dan menggelegak melihat kecurangan suaminya itu dengan gadis muda. Drama ini berjaya meraih rekod terbaik bagi saluran JTBC sebagai episod pertama dengan rating terbaik. Ianya berjaya mencatatkan rating sebanyak 6.3%. Bahkan episod keduanya meloncat lebih tinggi apabila ia menghampiri dua angka iaitu 9.98%!

Saksikan rahsia demi rahsia rumah tangga ini terbongkar dalam episod akan datang!

Sumber

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...