Ikuti Kami:

Kenali Lebih Rapat Watak Dalam ‘The King: Eternal Monarch’, Rating Episod Pertama Cipta Sejarah Di Saluran SBS!

Kenali Lebih Rapat Watak Dalam ‘The King: Eternal Monarch’, Rating Episod Pertama Cipta Sejarah Di Saluran SBS!

Penulis skrip K-Drama terkenal iaitu Kim Eun-sook kembali dengan drama fantasi terbaru iaitu “The King: Eternal Monarch” menerusi SBS dan Netflix. Bukan itu sahaja, drama ini menandakan kepulangan pelakon terkenal Lee Min-ho selepas tamat latihan khidmat ketenteraannya. Mesti semua tak sabar nak tengok kan?

Drama ini mengisahkan tentang dua dunia selari di mana Korea dengan Perlembagaan Diraja dan Korea zaman sekarang. Raja Lee Gon berusaha melawan anasir jahat dan cuba untuk menutup gerbang di antara dua dunia tersebut manakala detektif Jung Tae-eul bekerja keras untuk menyelamatkan nyawa orang ramai.

Karakter “The King: Eternal Monarch”

1. Maharaja Lee Gon (Lee Min-ho)

Merupakan generasi ketiga institusi diraja di Kerajaan Corea iaitu sebuah negara yang merupakan dunia selari dengan Republik Korea Selatan. Bukan sahaja dibekalkan dengan wajah yang tampan, lelaki ini turut cemerlang dalam pelbagai bidang termasuklah sukan dan akademik. Lantas, menjadikan Lee Gon sebagai seorang pemimpin yang sempurna tanpa cela.

Kematian ayahnya yang berlaku di hadapan matanya sendiri akibat dendam pak cik saudaranya menyebabkan raja tersebut cuba mencari siapakah penyelamat misteri yang menyelamatkan dirinya semasa kejadian genting tersebut. Dengan berbekalkan satu klu iaitu tag nama seorang polis, Lee Gon menghabiskan masanya membesar untuk menjejaki wanita itu.

lee minho the king: eternal monarch

2. Detektif Jung Tae-eul dan Luna (Kim Go-eun)

Dalam kehidupan di Republik Korea Selatan, Jung Tae-eul merupakan seorang detektif hebat selain merupakan seorang jurulatih Taekwondo di sebuah sekolah menengah. Ini adalah atas pengaruh ayahnya yang memiliki sebuah studio seni mempertahankan diri tersebut.

Manakala Luna yang berasal daripada Kerajaan Corea hanyalah seorang anak yatim yang sudah terbiasa melakukan semua perkara dengan sendirinya sejak daripada kecil lagi. Dalam kesusahan hidupnya itu, dia dibebani pula dengan berita sakit kanser dan hanya mempunyai masa 3 bulan untuk hidup namun kehadiran Geumyang memberikan sinar harapan kepada hidupnya yang gelap.

Jung Tae-eul yang tanpa sengaja bertemu muka dengan Lee Gon dalam episod awal ini nyata terkejut kerana lelaki itu sepertinya sangat mengenali dirinya walhal mereka tidak pernah bersua muka.

kim goeun the king: eternal monarch

3. Ketua Pengawal Diraja Jo Young dan pekerja perkhidmatan awam Jo Eun-seob (Woo Do-hwan)

Jo Young merupakan bayang-bayang kepada Raja Lee Gon kerana di mana ada pemimpin itu, di situ ada dia. Kehidupan lelaki itu hanya berdasarkan kepada tugasnya melindungi raja tersebut yang sudah dianggap seperti adik-beradik dan rakan kerana mereka berdua membesar bersama.

Jo Eun-seob pula sedang menjalani latihan khidmat ketenteraan dengan bertugas sebagai pekerja perkhidmatan awam. Lain dengan karakternya daripada dunia selari, lelaki ini adalah sangat optimistik dan ceria. Dia juga membesar dengan rapat bersama Jung Tae-eul dan menganggap wanita itu sebagai kakaknya sendiri.

woo dohwan the king: eternal monarch

4. Detektif Kang Shin-jae (Kim Kyung-nam)

Lelaki yang mengambil serius tanggungjawabnya sebagai seorang polis ini sering mengalami mimpi pelik sejak daripada kecil lagi sehingga membuatkan dia mempunyai banyak persoalan mengenainya. Mula mengenali Jung Tae-eul sejak daripada sekolah lagi, mereka berdua adalah sahabat yang bergantung antara satu sama lain.

Walaupun sering mendapat pujian daripada orang ramai kerana rupanya yang tampan tetapi dalam diam lelaki ini sering tertanya-tanya sama ada Jung Tae-eul juga merasakan bahawa dialah lelaki paling kacak. Kerana baginya, wanita itu adalah yang paling menawan di matanya. Namun dia tahu, rakan baiknya itu tidak mempunyai perasaan yang sama melalui pandangan matanya yang kosong.

kim kyungnam the king: eternal monarch

5. Perdana Menteri Gu Seo-ryeong (Jung Eun-chae)

Selain merupakan perdana menteri termuda yang menyandang gelaran penting ini, dia juga adalah wanita pertama dipilih untuk jawatan tersebut di Kerajaan Corea. Kerana personalitinya yang bercita-cita tinggi, Gu Seo-ryeong tidak teragak-agak untuk berkahwin dengan ahli politik terkenal supaya mendapat tapak dalam bidang tersebut. Setelah mencapai apa yang dimahukan, dia mengakhiri hubungan tersebut dengan penceraian dan mula mengejar lelaki lain yang paling berkuasa di negara tersebut.

Walaupun sering ‘menggunakan’ hubungannya dengan Lee Gon untuk kepentingan sendiri tetapi wanita ini kadang-kadang menonjolkan sifat ambil beratnya. Namun semuanya mula berubah apabila raja itu mempunyai wanita lain dalam hidupnya sehingga membuatkan Gu Seo-ryung mula tenggelam dengan api cemburu dan memulakan misi jahatnya.

jung eunchae the king: eternal monarch

6. Putera Geumyang Lee Lim (Lee Jung-jin)

Lelaki ini adalah pak cik saudara kepada Lee Gon dan merupakan dalang utama dalam pembunuhan adiknya sendiri. Selepas melarikan diri daripada Kerajaan Corea dan memasuki dunia selarinya iaitu Republik Korea Selatan, lelaki ini hidup sebagai seorang yang hebat dalam ilmu pedang.

Disebabkan oleh ketamakannya untuk memiliki ​Manpasikjeok, gerbang di antara dunia selari yang sangat berbeza telah dibuka dan ianya merubah ketetapan kehidupan yang zahir. Membawa karakter yang sama di dalam kedua-dua dunia, awan gelap yang sentiasa mengikutinya tak pernah gagal untuk merosakkan kehidupan orang lain.

lee jungjin the king: eternal monarch

Rating episod perdana rekod sejarah

Menurut Nielsen Korea, episod perdana drama “The King: Eternal Monarch” dengan mudah meraih purata rating 10.1% dan 11.4%. Secara tak langsung mencipta sejarah di saluran SBS sebagai drama dengan rating tertinggi untuk episod pertamanya bagi slot Jumaat-Sabtu.

Ranking untuk rekod tersebut sebelum ini telah dihuni oleh drama seperti “The Fiery Priest” (10.4%), “Vagabond” (10.4%) dan “Hyena” (10.3%). Nampak gayanya, drama lakonan Lee Min-ho dan Kim Go-eun ini tak mustahil akan meraih rating yang lebih tinggi untuk episod seterusnya sekiranya ia berjaya mengekalkan momentum memberangsangkan seperti ini.

Episod pertama nampak menarik, tak sabar tak tengok episod kedua malam ini!

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...