Selepas Park Seo-joon dan V BTS, seorang lagi ahli ‘Wooga Squad’ iaitu Choi Woo-shik telah terpalit dengan khabar angin percintaan.
Baru-baru ini, seorang netizen telah memuat naik foto Choi Woo-shik yang didakwa sedang keluar dating dengan teman wanitanya di Jepun.
Untuk pengetahuan, wanita yang dilihat bersama pelakon lelaki itu adalah Jung Ju-hee, seorang model yang lahir pada tahun 1994 dan mempunyai ketinggian mengagumkan mencecah 174 cm.
Apa yang menarik perhatian, sebelum ini, Jung Ju-hee pernah dilihat bergambar dengan Jennie BLACKPINK dan xooos di acara Calvin Klein, masing-masing merupakan kekasih khabar angin V BTS dan Park Seo-joon.
Oleh itu, terdapat spekulasi bahawa Jennie, xooos dan Jung Ju-hee mula menjadi kawan rapat selepas bercinta dengan tiga kawan baik dari ‘Wooga Squad’ tersebut.
Bagaimanapun, masih belum ada apa-apa respon dari agensi Choi Woo-shik mengenai khabar angin berkenaan.
Kalau betul, semoga berbahagia!