Ikuti Kami:

Jururawat Sekolah Lawan ‘Jeli’ Jahat Guna Pistol Mainan, Tonton 6 Episod ‘The School Nurse Files’ Di Netflix Kini

Jururawat Sekolah Lawan ‘Jeli’ Jahat Guna Pistol Mainan, Tonton 6 Episod ‘The School Nurse Files’ Di Netflix Kini

Selepas sekian lama menanti, akhirnya “The School Nurse Files” telah membuka pintunya di Netflix. Seronok rasanya nak tengok lakonan Jung Yu-mi dan Nam Joo-hyuk dalam drama fantasi ini.

Sinopsis “The School Nurse Files”

Tugas sebagai jururawat di sekolah mungkin nampak biasa tetapi Ahn Eun-young (Jung Yu-mi) hidup dalam dunia yang pelik namun menawan kerana dia dianugerahkan dengan kebolehan istimewa – mampu melihat makhluk ghaib dalam bentuk jeli yang berwarna-warni. Setiap daripada kita dikelilingi oleh makhluk lembik ini yang dihasilkan daripada keinginan manusia.

Hadir dalam pelbagai bentuk yang unik dan banyak personaliti, sesiapa yang ‘dihantui’ oleh jeli ini akan mengalami nasib malang dan ditimpa perkara buruk. Menggunakan ‘senjata’ istimewa iaitu pedang mainan berwarna pelangi dan pistol mainan, Eun-young terus melawan jeli ini dalam diam. Pun begitu, pada mata kasar orang lain, jururawat itu hanya kelihatan pelik kerana asyik menghuyung-hayangkan tangan dan kaki pada ruangan yang kosong.

netflix the school nurse files

Pada suatu hari, seorang guru sastera Cina iaitu Hong In-pyo (Nam Joo-hyuk) tanpa sengaja telah mengalihkan batu pusaka dalam bawah tanah sekolah tersebut sehingga membuatkan setiap pelajar dan kakitangan ‘diserang’ jeli yang besar dan berbahaya. Meskipun mempunyai kuasa yang hebat tetapi Eun-young mendapati bahawa lawannya adalah terlampau kuat daripada tenaga yang dimilikinya.

Tak sangka bahawa guru sastera Cina itu sebenarnya adalah pembantu dalam diam kerana apabila Eun-young menggenggam erat tangannya, tenaganya pasti akan ‘dicaj’ semula. Menggunakan kelebihan lelaki itu sebagai ‘power bank’ peribadinya, mereka berdua bergabung tenaga untuk melawan kesemua jeli yang menghuni dan memporak-perandakan sekolah tersebut.

Sempena tayangan yang bermakna ini, Jung Yu-mi, Nam Joo-hyuk, pengarah Lee Kyoung-mi dan penulis Chung Se-rang telah duduk bersama bagi menjawab soalan cepu mas mengenai pembikinan “The School Nurse Files”.

Plot unik tarik perhatian Jung Yu-mi dan Nam Joo-hyuk

Kata Jung Yu-mi,

Sinopsisnya adalah mempesonakan. Kisahnya adalah baru dan mengujakan dan saya mula membayangkan cara untuk menonjolkannya dalam lakonan saya. Malah, saya suka beberapa episod berlainan ini boleh digabungkan dalam satu penceritaan yang besar.

Kata Nam Joo-hyuk,

Ia adalah satu konsep yang sangat baru dan raksasa jeli telah menarik perhatian saya. Watak Hong In-pyo adalah sangat menarik dan segala masalah yang dapat selesaikan bersama Ahn Eun-young turut mempesonakan saya.

netflix the school nurse files

Uniknya konsep jeli ini ialah penulis Chung Se-rang mula mendapat idea mengenainya apabila melihat siput babi yang meninggalkan kesan melekit setiap kali mengesot daripada satu tempat ke tempat yang lain. Daripada situ, wanita kreatif tersebut mengolah idea tersebut sehingga berjaya melahirkan latar belakang cerita “The School Nurse Files”.

Pendekatan lain daripada yang lain

Pekerjaan ‘rare’

Kalau anda perasan, drama ini mengetengahkan pekerjaan yang jarang disebut dalam mana-mana naskhah lain iaitu jururawat di sekolah dan juga guru sastera Cina. Ini membuatkan “The School Nurse Files” adalah lain daripada yang lain dan memberikan nafas yang unik kepada penonton K-Drama.

Kata penulis Chung Se-rang,

Dalam kehidupan normal, watak ini nampak biasa sahaja tetapi mereka sebenarnya adalah individu yang penting. Seperti jururawat sekolah, dia bukanlah seseorang yang ada pada setiap masa namun dia pasti orang yang anda akan cari apabila mempunyai masalah ataupun cedera. Jururawat sekolah adalah simbol kepada keselamatan dan kesihatan.

Bagi guru sastera Cina pula, dia adalah simbol kepada kelas dan pengetahuan. Walaupun ia bukanlah subjek utama yang perlu diketahui oleh pelajar tetapi ia adalah sesuatu yang diperlukan dalam kehidupan mereka.

netflix the school nurse files

Elemen Korea bangkit rasa ingin tahu

Antara persona menarik drama ini ialah elemen Korea yang diterapkan di dalamnya seperti klinik akupuntur Hwa-su (Moon So-ri) dan Ahn Eun-young yang mewarnakan kukunya dengan bunga keembung (balsam) untuk menghalau roh jahat. Babak ini ternyata membuatkan penonton daripada luar negara menanam rasa ingin tahu mengenai petua tradisional tersebut.

Menurut pengarah Lee Kyoung-mi, babak sedemikian diselitkan di dalam drama ini bagi membangkitkan rasa ingin tahu penonton luar mengenai budaya Korea. Secara tak langsung, mereka dapat mempelajari sesuatu yang unik semasa menonton drama tersebut.

6 episod digabung jadi plot besar

Kalau anda nak tahu, drama ini sebenarnya telah diadaptasi daripada novel dengan tajuk “School Nurse Ahn Eun-young”. Malahan penulis yang menulis buku tersebut adalah orang yang sama menggarap skrip untuk drama ini.

Chung Se-rang menjelaskan bahawa agak mustahil untuk memasukkan kesemua kandungan novel tersebut menjadi drama, oleh sebab itu mereka hanya memilih plot yang penting dan bersesuaian untuk dipendekkan menjadi drama bersiri yang mempunyai 6 episod dengan tempoh hampir 50 minit bagi setiap tayangan.

netflix the school nurse files

Keserasian menakjubkan di antara Jung Yu-mi dan Nam Joo-hyuk

Pertama kali bergandingan bersama, penonton sesungguhnya teruja untuk melihat keserasian kedua pelakon tersebut. Tambahan pula, watak yang dibawa oleh mereka adalah unik. Mulanya sedikit kekok, namun ianya semakin akrab apabila Hong In-pyo mula berjabat tangan dengan Ahn Eun-young sebagai ‘pengecas’ peribadinya semasa melawan jeli jahat.

Apabila ditanya mengenai keserasian di antara mereka, Jung Yu-mi dengan pantas menyoal Nam Joo-hyuk,

Keserasian kita adalah sangat luar biasa kan?

Kenyataan itu turut dipersetujui oleh lelaki tersebut dan dia menjelaskan bahawa mereka sangat selasa dengan satu sama lain sehingga ketika sedang berehat pun, keduanya pasti akan bersembang mengenai pelbagai perkara.

netflix the school nurse files

Jelas Jung Yu-mi, Nam Joo-hyuk merupakan seorang pelakon yang sangat pantas di mana reaksinya membantu dirinya untuk membalas dengan reaksi yang sama.

Walaubagaimanapun, kenyataan itu dibangkang oleh Nam Joo-hyuk di mana dia mengatakan sinergi di antara mereka berjaya dibina kerana dia mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh Jung Yu-mi.

Seperti dia mengendong saya dibelakangnya.

Bukan sahaja Nam Joo-hyuk dan Jung Yu-mi, tetapi drama ini turut dihiasi dengan ramai lagi pelakon berbakat seperti Yoo Tae-oh (watak Mackenzie), Moon Soo-ri (watak Hwa-su) dan Lee Ju-yeong (watak Han A-reum ). Lagi best kerana kebayakan pelajar sekolah yang menjadi tonggak utama kepada “The School Nurse Files” terdiri daripada pelakon baru, jadinya drama ini merupakan peluang kepada mereka untuk menonjolkan bakat yang sudah lama terpendam.

netflix the school nurse files

Mesti excited kan? Jangan lupa untuk tonton “The School Nure Files” di Netflix bermula 25 September!

Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ FacebookTwitter dan Instagram KimchiDaily untuk mendapatkan berita Korea paling latest yang sensasi.

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...