Kalau anda peminat Song Jihyo, pasti anda tahu dia mula mencipta nama sebagai pelakon K-Drama menerusi penampilannya dengan watak antagonis dalam “Princess Hour”. Bayangkan ramai gila yang membencinya kerana lakonan wanita ini sebagai Min Hyorin nampak begitu jahat sekali! Pun begitu, peminat rata-ratanya terkejut apabila mengetahui bahawa Song Jihyo adalah seorang yang sangat polos dalam dunia sebenar. Diri sebenarnya yang agak lucu itu mula dikenali ramai menerusi kemunculannya dalam rancangan “Running Man”.
Meskipun kebanyakan peminat daripada luar Korea seperti Malaysia lebih mengenali pelakon wanita itu kerana partisipasinya dalam rancangan hiburan tersebut, tapi jangan dilupa bahawa dia masih lagi seorang pelakon yang berbakat. Selain daripada “Princess Hours”, Song Jihyo juga dikenali ramai menerusi lakonannya dalam drama lain seperti “Emergency Love”, “The Fugitive Of Joseon”, “Ex-Girlfriends’ Club”, “Lovely Horribly”, “My Wife’s Having An Affair This Week” dan banyak lagi!
Sinopsis “Did We Love”
Sekalipun sudah duduk selesa sebagai seorang pelakon, Song Jihyo masih tidak berputus asa bagi mengasah lagi bakat lakonannya. Terbaru, pihak produksi untuk sebuah naskhah baru bertajuk “Did We Love?” garapan saluran jTBC telah mengumumkan barisan pelakon yang bakal menjayakan drama itu dan wanita cantik itu telah dipilih sebagai teraju utamanya!
“Did We Love?” membawa kisah seorang ibu tunggal yang sudah selesa hidup bersendirian selama hampir 14 tahun sebelum 4 lelaki hadir menggoncang dunianya: lelaki jahat tapi menggoda, lelaki kasihan tetapi kaya-raya, lelaki yang menakutkan tetapi seksi dan lelaki muda tetapi menarik perhatian.
Song Jihyo menggalas tanggungjawab sebagai ibu tunggal bernama No Aejung dan juga seorang produser filem. Walaupun dia merupakan seorang yang berbakat besar tetapi dia lebih senang mengalihkan fokusnya dalam menjaga anaknya yang seorang itu selama hampir 14 tahun. Selepas 4 lelaki mula menceroboh dalam kehidupannya yang tenang, dia mula sedar tentang kekosongan dalam dirinya selama ini.
4 lelaki dengan perwatakan berbeza
Mesti ramai yang nak tahu, siapakah yang bakal menjayakan watak-watak hero dalam drama ini kan? Pihak produksi juga mengumumkan bahawa kesemua watak itu akan dijayakan oleh pelakon hebat iaitu Kim Minjoon, Son Hojun, Song Jongho dan Koo Jasung!
Son Hojun bakal menghidupkan watak Oh Daeoh itu seorang penulis yang ‘jahat tetapi menggoda’. Dia merupakan seorang penulis novel yang terkenal dengan buku-bukunya yang sentiasa laris terjual selain turut menghasilkan skrip untuk filem Hollywood. Walaubagaimanapun, dia menyembunyikan diri sebenarnya daripada semua orang. Dia juga merupakan bekas teman lelaki No Aejung suatu ketika dahulu.
Song Jongho pula akan membawa watak ‘kasihan tetapi kaya-raya’ iaitu seorang pelakon bernama Ryu Jin. Semasa dia masih di universiti, dia telah digelar sebagai ‘Bae Yongjoon kedua’ dan kini merupakan seorang pelakon yang sedang meningkat naik dan turut mendapat nama timangan sebagai ‘teman lelaki kebangsaan terbaik’! No Aejung merupakan cinta pertamanya dan dia mula mempunyai perasaan pada wanita itu selepas berjumpa dengannya kembali.
Kim Minjoon disahkan untuk watak Goo Pado, seorang CEO syarikat kewangan iaitu Nine Capital yang ‘menakutkan tetapi seksi’. Kisah lampaunya tidaklah begitu bersih kerana dia pernah menjadi seorang gangster. Namun dia telah membuka lembaran hidup yang baru dan diberi gelaran sebagai ‘Robin Hood kepada industri pinjaman wang peribadi’.
Koo Jasung pula diberi tugas untuk melakonkan watak Oh Yeonwoo, lelaki ‘muda tetapi menarik perhatian’. Dia ialah seorang pelatih pendidikan fizikal dan rupanya yang tampan dan senyumannya yang mempersonakan itu menyebabkan dia menjadi guru paling popular di sekolah itu.
Tak sabar betul nak saksikan drama terbaru Song Jihyo ini! Dengar cerita “Did We Love?” mungkin akan memulakan tayangan pada separuh pertama tahun 2020. Yes!
Sumber: Soompi