Ikuti Kami:

Bukan Hanya ‘Parasite’, Ini Senarai Filem Buktikan Hubungan ‘Soulmate’ Pengarah Bong Joonho & Pelakon Song Kangho!

Bukan Hanya ‘Parasite’, Ini Senarai Filem Buktikan Hubungan ‘Soulmate’ Pengarah Bong Joonho & Pelakon Song Kangho!

Kejayaan filem “Parasite” nyata membuka mata ramai peminat fanatik filem dengan kehebatan pengarahan Bong Joonho. Meskipun namanya sudah cukup terkenal di dalam industri perfileman Korea tetapi namanya masih samar-samar lagi dalam pentas antarabangsa. Kalau anda perasan, kebanyakan filem yang diarahkan oleh pengarah hebat itu sering diterajui oleh Song Kangho.

Kedua figura hebat itu sebenarnya merupakan sahabat baik dalam dunia sebenar dan di luar set penggambaran. Kisah bermula apabila Song Kangho gagal dalam uji bakat untuk sebuah naskhah di mana Bong Joonho merupakan pembantu pengarahnya pada ketika itu. Walaubagaimanapun, lelaki itu telah memberikan kata-kata semangat menerusi mesej dan meminta agar Song Kangho bekerja dengannya pada suatu hari nanti.

song kangho dan bong joonho

Selepas bergelar sebagai seorang pengarah, ramai yang meragui bakat Bong Joonho kerana filem pertamanya iaitu “Barking Dogs Never Die” gagal mendapat respons yang baik. Semasa dalam persiapan untuk filem terbarunya, pengarah itu benar-benar mahu mengambil Song Kangho sebagai teraju utamanya. Walaupun pelakon hebat itu merupakan bintang paling ‘laku keras’ pada ketika itu, dia terus menerima pelawaan Bong Joonho kerana teringatkan mesej pengarah tersebut dahulu.

Persahabatan mereka berdua ini semakin utuh selepas mereka bekerjasama dalam filem kisah benar iaitu “Memories Of Murder” yang diriliskan pada tahun 2003. Filem ini mendapat reaksi yang sangat baik sehingga berjaya mengangkat nama Bong Joonho sebagai pengarah hebat selain terus membuktikan kehebatan lakonan Song Kangho.

song kangho dan bong joonho

Melalui hubungan yang terjalin itu, mereka telah merakamkan pelbagai filem hebat sehinggalah kepada kejayaan “Parasite” baru-baru ini.

Lihatlah sahaja senarai hebat beberapa filem yang menggandingkan kehebatan mereka berdua sebagai pengarah dan pelakon. Kiranya Song Kangho dan Bong Joonho merupakan soulmate yang paling popular dalam industri perfileman Korea.

Sinopsis “Memories Of Murder”

memories of murder

Pada tahun 1986 di Daerah Gyeonggi, satu mayat perempuan telah ditemui dalam keadaan yang menyedihkan. Dia didapati telah dirogol dan dibunuh dengan kejam dan kejadian itu tidak berhenti di situ sahaja selepas banyak lagi kes yang sama berlaku dua bulan selepas kejadian pertama itu.

Satu pasukan khas telah mendirikan markas di sana bagi menyiasat kes pembunuhan bersiri ini dan diterajui oleh Park Dooman (Song Kangho) dan Jo Younggoo (Kim Roeha) selain turut dibantu oleh seorang detektif daripada Seoul iaitu Seo Taeyoon (Kim Sangkyung). Dooman lebih senang mencari bahan bukti dengan menggunakan kekerasan dan mengugut untuk mencari saksi manakala Taeyoon pula lebih percayakan klu daripada kes-kes lepas sehingga membuatkan mereka tidak sehaluan dengan satu sama lain.

Mereka semua menemui jalan buntu kerana pembunuh tersebut langsung tak tinggalkan walaupun sehelai rambut di tempat kejadian. Oleh sebab itu, Dooman terus selongkar kawasan tokong dan sauna bagi mencari sesiapa yang ada penyakit folikel. Taeyoon pula mengenal pasti satu bentuk yang sama dalam setiap kes di mana mangsa akan berpakaian warna merah pada hari hujan. Dengan secebis klu ini, mereka telah memasang perangkap pada hari hujan bagi menumpaskan pembunuh ini tetapi tebakan mereka akhirnya gagal kerana seorang wanita dijumpai dibunuh pada hari yang sama. Lantas mereka terus buntu dan menemui jalan mati bagi menyelesaikan kes ini.

Sinopsis “The Host”

the host

Filem ini membawa kisah Park Heebong yang menguruskan sebuah kedai kecil di tepi Sungai Han dan tinggal bersama dua anak lelaki, seorang anak perempuan dan cucu perempuan. Gangdoo (Song Kangho) merupakan anak sulung dalam keluarga itu dan ialah seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab sehingga isterinya lari tinggalkan rumah lama dahulu. Namil ialah anak bongsu yang menganggur manakala Namjoo ialah atlet memanah hebat selain merupakan ahli dalam pasukan kebangsaan. Tidak semena-mena, pada suatu hari seekor raksasa telah muncul daripada Sungai Han sehingga menyebabkan panik di seluruh Seoul. Sungai yang sering menjadi tempat rekreasi keluarga dan kekasih kini bermandi darah selepas amukan makhluk pelik itu.

Lagi menyedihkan apabila Hyunseo anak kepada Gangdoo telah dibawa lari oleh makhluk itu dan dalam hiba kehilangan orang tersayang, keluarga itu mendapat tahu yang kanak-kanak itu masih lagi hidup dan memulakan misi untuk menyelamatkannya.

Sinopsis “Snowpiercer”

snowpiercer

Berdasarkan daripada novel grafik Perancis “La Transperceneige”, filem ini membawa kisah bagaimana manusia cuba menghentikan kepanasan global. Walaupun berniat baik tetapi pelan itu mendatangkan binasa apabila cuaca menjadi sejuk teramat sehingga kesemua kehidupan mula mati. Tapi nasib baik seorang lelaki kaya telah membina kereta api mewah yang tidak diganggu dengam suhu luar selain ia juga boleh mengelilingi seluruh dunia tanpa berhenti. Kelas sosial dapat dilihat dengan jelas apabila yang kaya hidup bahagia di koc utama manakala yang miskin duduk berhimpit di dalam koc enjin.

Bukan setakat “Parasite” bahkan banyak lagi filem popular lain yang perlu ditonton oleh anda semua!

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...