Drama “The King: Eternal Monarch” sekali lagi menjadi perbualan hangat netizen apabila dituduh menonjolkan sejarah yang silap kepada penontonnya. Disebabkan naskhah ini menampilkan banyak elemen sejarah, sudah pasti pihak produksi perlu mengkaji dengan mendalam supaya tidak merosakkan sejarah yang sedia ada.
Artikel pakaian daripada dua dinasti berbeza
Dalam episod ke-6 yang baru-baru ini, watak Lee Gon yang dilakonkan oleh Lee Min-ho merupakan raja di dalam dunia selari Kerajaan Corea telah memakai pakaian tradisional lengkap semasa beliau sedang dipotretkan oleh seorang pelukis.
Walaubagaimanapun, penonton perasan bahawa set pakaian yang disarungkan dalam babak tersebut memberikan gambaran yang salah kepada sejarah asal Korea. Mahkota yang dipakainya melambangkan dinasti Shilla manakala gaun tradisional bersulam naga tersebut pulak dijejaki kepada dinasti Joseon. Justeru menampakkan kesilapan padanan dua artikel pakaian itu!
Banyak elemen Jepun bagi drama bertemakan Korea
Kalau anda nak tahu, pada awal tayangannya juga, “The King: Eternal Monarch” turut terpalit dengan kontroversi melibatkan hal sejarah yang sensitif. Pada sedutan pembukaan drama ini, terdapat satu monumen serupa dengan Tōdai-ji iaitu salah satu tokong berpengaruh di Nara, Jepun. Para penonton telah meluahkan rasa kurang senang mereka kerana naskhah ini membawa cerita kerajaan Korea, jadi kenapa perlu menggunakan tokong yang terkenal di Jepun pula
Tak cukup dengan itu, ada yang perasan bahawa lambang yang digunakan di Kerajaan Corea sedikit mirip dengan Imperial Seal of Japan lantas membuatkan semua mempersoalkan sama ada pihak produksi benar-benar mengkaji sejarah semasa menggarap “The King: Eternal Monarch”.
Selain itu, kontroversi lain yang terpalit pada drama ini yang melibatkan babak peperangan di antara tentera laut diraja Corea dengan dunia selarinya iaitu Jepun. Selepas tayangan, penonton menunding jari dan mengatakan bahawa ‘kapal Jepun’ yang digunakan dalam babak itu menyerupai kapal kegunaan tentera laut Korea yang boleh dilihat dalam sejarah lama tetapi dilayarkan dengan bendera matahari terbit itu pula.
Lokasi luka dan parut yang lain
Bukan itu sahaja, beberapa penonton juga mempersoalkan lokasi parut pada leher Lee Gon yang sepertinya berlainan semasa dia dicederakan ketika kecil. Sepatutnya kecederaan itu berada di sebelah kiri leher Lee Min-ho tetapi parutnya ketika sudah dewasa terletak sebelah kanan lehernya pula. Pelik!
Walaubagaimanapun, pihak produksi “The King: Eternal Monarch” telah memohon maaf atas kecuaian mereka buat beberapa kesilapan yang disebut terutamanya melibatkan elemen Jepun. Selain berjanji untuk lebih teliti dan tidak mengulangi kesalahan yang sama.
Satu demi satu kontroversi, mesti penat pihak produksi “The King: Eternal Monarch” nak jawab setiap persoalan.