Ikuti Kami:

Analisis Karakter Utama ‘The World Of The Married’ Daripada Pandangan Doktor Psikologi

Analisis Karakter Utama ‘The World Of The Married’ Daripada Pandangan Doktor Psikologi

Drama ‘The World Of The Married’ kini menjadi sebutan ramai kerana jalan ceritanya yang menyeksakan dan membuatkan semua tak senang duduk apabila menontonnya.

Rata-rata penonton sepertinya tidak memahami motif dan muslihat di sebalik setiap watak, jadi seorang doktor psikologi daripada Korea telah memuat naik satu video dan menganalisi setiap wataknya. Menarik!

[*Analisis ini adalah daripada pemerhatian beberapa episod awal sahaja]

Ji Sun-woo

Seorang doktor keluarga dan juga timbalan pengarah di hospital yang dia bertugas sekarang bahkan kehidupannya yang tiada cela membuatkan wanita tersebut nampak sempurna di mata semua orang. Bahkan Sun-woo juga mempunyai pelbagai kebolehan bukan sahaja daripada sudut kerjayanya bahkan juga sebagai seorang ibu dan isteri yang serba boleh.

Kelebihan yang ada padanya itu bagaimanapun menenggelamkan sinaran pada Tae-oh yang tidak mempunyai pencapaian sehebat dirinya. Bahkan Lee Tae-oh nampak gah dan berjaya hanyalah disebabkan oleh Sun-woo yang menutup kekurangan yang ada pada diri lelaki itu.

Sun-woo juga digambarkan sebagai seorang yang matang kerana tidak teragak-agak untuk berdepan dengan suaminya apabila dia mula meragui kesetiaan Tae-oh. Malahan selepas berterus-terang, wanita itu menerima kesalahan dirinya kerana serkap jarang namun tidak sedikit pun menurunkan tembok kesangsian tersebut sebagai langkah berjaga-jaga.

doktor psikologi analisis karakter the world of the married

Paling menyakitkan apabila Sun-woo sedar bahawa dia dikhianati bukan sahaja suaminya bahkan rakan rapat dan juga anaknya sendiri. Tapi berbekalkan kewarasan dan personalitinya, wanita itu tidak terburu-buru dan menyelesaikannya secara fizikal. Malahan dia membalas dendam menggunakan cara yang tenang seperti pembawaan dirinya yang elegan.

Bahkan, Sun-woo beberapa kali memberi peluang supaya suaminya mengaku sahaja tetapi lelaki itu berterusan berdalih dan kononnya janji sumpah setia. Tetapi dalam masa yang sama tetap terus berhubungan dengan Da-kyung di belakang isterinya.

Perasaan dikhianati bukanlah sesuatu yang remeh, namun Sun-woo terus gagah berdiri bagi memastikan suaminya itu menerima balasan yang setimpal terhadap pengkhianatannya. Jadinya, karakter Sun-woo sebenarnya sedang dalam keresahan dan penat yang teruk.

Meskipun perkara ini nampak tidak benar tetapi sesetengah doktor tidak mahu sebenarnya apabila mereka sebenarnya sakit. Menurut pakar psikologi Oh Jin-seung, ini adalah perkara yang biasa dilihat dalam kalangan kakitangan profesional ini.

Lee Tae-oh

Walaupun dikenali sebagai seorang pengarah filem tetapi Tae-oh hanya berjaya mencapai ke tahap seperti itu disebabkan oleh sokongan Sun-woo. Semua penonton sedar bahawa lelaki itu bukanlah sesiapa pun sebenarnya tanpa isterinya di sisi.

Bukannya mahu berusaha berada sama level dengan isterinya tersebut malahan tanpa segan dia membalikkan kesalahan tersebut kepada Sun-woo dan menyatakan bahawa kehebatan wanita itu membuatkan dia berasa kecil dan lemah.

Menurut pakar kesihatan mental ini lagi, watak Tae-oh sebenarnya adalah seorang yang narsistik di mana individu dengan personaliti sebegini ini obses terhadap kesempurnaan, kejayaan, kecantikan, kemudaan, kekuasaan yang ada pada dirinya. Salah satu kesan buruknya ialah sekiranya tidak mempunyai keupayaan untuk mencapai semua ini, dia akan berasa geram dan kecewa dengan hidupnya.

Sama seperti Tae-oh yang berasa ada jurang dengan isterinya apabila dia sedar yang dia tidak mempunyai apa-apa kalau nak dibandingkan dengan isterinya yang serba sempurna. Walaupun isterinya membantu melengkapi apa yang kurang, lelaki itu malah berasa malu dan mula membenci wanita itu dan bukannya mahu berterima kasih.

doktor psikologi analisis karakter the world of the married

Jadi Tae-oh mengambil jalan untuk curang di belakang isterinya sebagai salah satu cara untuk balas dendam. Perbuatan menjalinkan hubungan tanpa pengetahuan Sun-woo ini membuatkan dia berasa berkuasa dan berjaya mengalahkan isterinya dalam satu perkara.

Seseorang yang mempunyai sifat narsistik yang tebal dalam dirinya tidak mempunyai rasa empati langsung. Malahan mereka juga akan cuba merasionalkan segala tindakan mereka walaupun ia adalah sesuatu yang tidak baik. Sebab itulah Tae-oh tidak berasa bersalah terhadap perbuatannya mengkhianati isteri sendiri. Sama seperti apabila lelaki ini cuba membenarkan perasaannya mencintai dua orang dalam satu masa.

Sebenarnya situasi seorang lelaki sudah berkahwin mempunyai hubungan sulit dengan wanita yang lebih muda dan cantik bukanlah sesuatu yang luar biasa tetapi tidak bagi orang yang narsistik. Individu seperti ini biasanya mungkin mengambil kira latar belakang wanita itu juga.

Sama seperti kes Tae-oh yang bercinta dengan Da-kyung yang merupakan anak tunggal kepada keluarga berpengaruh. Mungkin perasaan cinta itu wujud tetapi ianya bukanlah hanya dipandu kerana rasa suka sahaja tetapi berselindung dengan motif lain juga.

Yeo Da-kyung

Kalau dilihatkan, wanita ini tiada kekurangan langsung! Lahir dalam keluarga yang kaya dan mempunyai susuk tubuh dan rupa yang menarik tetapi dia tetap memilih untuk bercinta dengan suami orang.

Sebenarnya, Da-kyung tertipu dengan imej Tae-oh yang nampak stabil kerana lelaki ini yang kelihatan matang dan bertanggungjawab daripada cara dia bersama keluarganya. Tetapi secara realitinya, hanya Sun-woo sahaja mengetahui perangai sebenar lelaki itu

Da-kyung sebenarnya adalah seorang yang sentiasa resah dan tidak matang sebab itulah dia jatuh cinta dengan Tae-oh yang kelihatan seperti seorang ketua keluarga dan ahli perniagaan yang berjaya, sesuatu yang tidak dimiliki oleh lelaki yang sebaya dengannya.

Wanita ini juga mempunyai kecenderungan kepada histeri dan dramatik lantas sentiasa memerlukan perhatian. Individu dengan personaliti sebegini mempunyai mood yang cepat berubah selain menggunakan kelebihan (wajah cantik) yang ada pada dirinya untuk mendapatkan perhatian yang diperlukan tersebut.

doktor psikologi analisis karakter the world of the married

Dalam hubungan antara manusia, dia juga cenderung untuk bergantung secara melampau di mana dapat dilihat apabila Da-kyung akan menggunakan kelebihannya menggoda untuk mengawal seseorang itu supaya mengikut kemahuannya

Seseorang yang mempunyai kecenderungan histeri tak boleh tahan bosan walaupun sekejap. Hidupnya wajib dipenuhi dengan sesuatu yang baru, menyeronokkan dan merangsangkan. Itulah adalah perkara yang membuatkan dia terus ‘hidup’.

Da-kyung sentiasa berasa resah kerana mahukan Tae-oh untuk dirinya sendiri sehingga sanggup berdepan dengan Sun-woo dan membuka cerita dengan beraninya mengenai hubungannya dengan suami orang.

Jelas wanita ini adalah kurang matang kerana walaupun dia seperti mahu membongkarkannya kepada Sun-woo tetapi dia sendiri takut jika kebenaran itu diketahui oleh ibu bapanya. “Haraplah terbongkar, tapi kalau orang tahu, nak buat macam mana nanti?”

Daripada analisis yang dibuat, jelas kelihatan bahawa kedua pelakon wanita utama ini mempunyai watak yang berbeza. Ji Sun-woo merupakan seseorang yang bergerak mengikut pelan yang tersusun tetapi Yeo Da-kyung hanya ikutkan hati tanpa mempunyai rencana yang kukuh.

Macam-macam betul perangai yang ada dalam drama ini kan? Fuhhh!

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...