Kalau anda nak tahu, ahli ‘Running Man’ paling popular iaitu Song Ji-hyo kini bakal mengasah bakatnya dalam drama terbaru bertajuk “Did We Love?”. Tak sabar nak tengok wanita itu membawa watak ibu tunggal dan menjadi rebutan 4 lelaki kacak.
Baru sahaja nak sedia tonton drama romantik tersebut, dengar khabar wanita rupawan itu telah pun dilamar oleh satu projek lain iaitu drama fantasi manusia “Come To The Witch’s Restaurant”. Naskhah itu menceritakan kisah pelanggan di sebuah kedai makan yang sanggup menjual jiwa mereka asalkan dapat menjalani kehidupan yang lain daripada asalnya.
Song Ji-hyo ditawarkan untuk memainkan watak Cho Hee-ra, seorang ahli sihir yang memiliki kecantikan luar biasa tetapi tidak mengetahui usia sebenarnya. Meskipun sedar bahawa dia tua daripada usia manusia yang lain tetapi wanita itu terus dibelenggu dengan persoalan tersebut.
Hee-ra juga adalah pemilik kepada kedai makan yang juga merupakan tempat dia merealisasikan impian pelanggannya. Mula menjadi ahli sihir pada awal 20-an, dia juga mempunyai pembantu wanita bernama Jin.
Meskipun tidak dapat dipastikan lagi sama ada Song Ji-hyo bakal menerima tawaran ini atau pun tidak, tetapi peminat pelakon ini sudah meluahkan rasa teruja dapat menontonnya menerajui drama fantasi. Sesuatu yang jarang berlaku!
Nantikan pengesahan daripada tuan punya badan sendiri!