Dahsyat gila penangan drama “Crash Landing On You” ini rupanya ya! Sampaikan rating yang direkodkan oleh naskhah ini kian meningkat tinggi pada saban episodnya. Dahlah sekarang dah nak sampai klimaks, semua penonton mesti tak senang duduk lihat masalah hubungan Seri dan Junghyuk yang tiada kesudahannya.
Episod terbaru yang ditayangkan pada 12 Januari (episod 8) baru-baru ini meninggalkan penonton dalam keadaan teka-teki mengenai kemelut hubungan Seri dan Junghyuk di mana mereka sekali lagi dipisahkan kerana takdir yang tidak mengizinkan. Watak Yoon Seri (Son Yejin) yang berada dalam tahanan telah menitipkan pesanan terakhir kepada Ri Junghyuk (Hyunbin). Jo Cheolkang (Oh Manseok) menculik Yoon Seri kerana mahu membuktikan bahawa Ri Junghyuk sudah melakukan kesalahan undang-undang. Lelaki itu terpempan dengan pesanan tersebut dan hiba kerana wanita kesayangannya pergi tanpa bersua muka buat kali terakhir.
Episod itu telah merekodkan rating tertinggi yang pernah dicapai oleh drama tersebut sepanjang tayangannya. Catatan ratingnya ialah 11.35% bagi purata di keseluruhan negara dan purata rating di Seoul pula ialah 12.03%. Ini adalah kali pertama “Crash Landing On You” berjaya melepasi dua digit dalam catatan ratingnya, hebat!
Para penonton setia drama ini pasti stress nak menantikan episod yang akan datang kan? Mesti semua berharap agar Seri dapat diselamatkan dan wanita itu serta Junghyuk bakal bersama juga akhirnya. Sama-sama kita nantikan episod seterusnya pada Sabtu nanti!
Sumber: KStarLive