[Review] Letusan Gunung Baekdu Yang Serius Tapi Sedikit Kelakar, Tonton ‘Ashfall’ Di Pawagam Sekarang!

filem korea ashfall

Korea Selatan sememangnya tidak asing lagi dengan penerokaan filem bencana alam. Antara naskhah yang mengangkat tema ini dan mendapat pujian seluruh dunia ialah penyebaran gas toksik di sekitar Seoul dalam “Exit”, masalah nuklear dalam “Busan Pandora” dan tragedi Tsunami dalam “Haeundae”.

Jadi apabila pengarah terkenal iaitu Lee Haejun and Kim Byungseo mengumumkan bahawa mereka bakal membawa kisah letusan gunung yang paling besar di sekitar semenanjung Korea iaitu Baekdu, sudah ramai yang tak senang duduk kerana tak sabar menantikannya buka pintu di panggung wayang tempatan. Ternyata percaturan kedua genius itu menjadi apabila ianya sudah membawa lebih 7 juta penonton meskipun baru 16 hari memulakan tayangan. Hebat!

filem korea ashfall

Sinopsis

Pelakon yang dijamin box-office iaitu Ha Jungwoo memainkan watak Kapten Jo Inchang, seorang juruteknik di Pembuangan Kelengkapan Bahan Letupan Korea Selatan (EOD). Sementara menunggu kelahiran anak sulungnya bersama isteri tercinta iaitu Jiyoung (Suzy), suatu perkara buruk telah berlaku di mana Gunung Baekdu di Korea Utara telah meletus. Gempa bumi menggegarkan kedua-dua tanah Korea dan asap tebal mula memenuhi serata udara. Semua rakyat dan kepimpinan tertinggi berada dalam ketakutan kerana jikalau gunung tersebut terus meletus sehingga ke peringkat akhirnya, keseluruhan semenanjung Korea akan menjadi padang jarak padang terkukur.

Hasil tindakan pantas pembantu kepada Presiden Korea iaitu Jeon Yookyung (Jeon Hyejin), dia berjaya menemui seorang saintis dan geologi iaitu Robert Kang Bongrae (Ma Dongseok) sebelum dia membawa diri ke Amerika bagi menyelamatkan diri daripada bencana tersebut. Atas permintaan khas daripada kerajaan Korea Selatan sendiri, profesor itu telah memerah otak bagi menghentikan letusan gunung tersebut yang kian mengganas. Lelaki bijak itu mencadangkan mereka meletupkan 600 kiloton nuklear di bawah gunung Baekdu bagi menghentikan bencana ini secara serta-merta. Tetapi masalahnya Korea Selatan tidak memilik setan pun nuklear namun semua tahu bahawa Korea Utara mempunyai jumlah bekalan yang cukup bagi memenuhi keperluan mereka.

filem korea ashfall

Mengambil risiko yang besar, Presiden Korea Selatan membuat keputusan supaya mereka mencuri sahaja nuklear tersebut daripada Korea Utara. Dia kemudiannya telah mengarahkan dua kumpulan untuk bergegas ke negara tersebut bagi berjumpa dengan seorang ejen Korea Utara iaitu Ri Junpyung (Lee Byunghun) dan seterusnya membantu pelan gila mereka itu. Ejen ini mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai lokasi nuklear tersebut, jadi nak tak nak, mereka memerlukan bantuannya. Namun begitu, malang tidak berbau apabila semasa kedua kumpulan tentera itu dalam perjalanan ke Korea Utara melalui kapal terbang jet, salah satu daripada kapal tersebut telah terbakar dan tidak dapat diselamatkan. Kumpulan yang diketuai oleh Kapten Jo juga terpaksa mendarat secara tiba-tiba dengan payung terjun sebelum kapal mereka pula yang hangus terbakar.

filem korea ashfall

Kapten Jo mula serabut kerana dia sepatutnya hanya ke sana sebagai juruteknik dan bukannya sebagai petugas utama untuk memindahkan nuklear tersebut ke tempat penyimpanan yang disediakan. Turut tidak membantu, apabila kesemua ahli pasukannya tidak mempunyai pengalaman yang banyak dalam arena ini. Namun disebabkan hanya mereka yang tinggal, Kapten Jo terpaksa memerah otak bagi mencari Ri Junpyung dan menjayakan misi besar ini. Keselamatan kedua-dua Korea terletak di tangannya!

[Amaran SPOILER]

Meskipun berjaya menjumpai Ri Junpyung akhirnya tetapi ejen Korea Utara itu adalah sangat licik dan mempunyai misinya tersendiri. Dia juga senyap-senyap ingin mendapatkan pakej nuklear itu dan memberikannya ke satu geng di China dengan syarat dia dan anak perempuannya akan menjalani kehidupan yang selamat selepas itu. Kerana pasukan Kapten Jo yang sedikit kelam-kabut, mereka beberapa kali telah ditipu oleh Ri Junpyung. Walaubagaimanapun, keadaan kian menyesakkan apabila tentera Amerika dapat menghidu pelan Korea Selatan yang dalam misi untuk menggunakan nuklear Korea Utara tersebut. Markas komunikasi tentera Korea Selatan telah diserbu dan mereka diminta untuk menghentikan misi tersebut kerana perjanjian untuk tidak menggunakan nuklear yang telah dipersetujui oleh Korea Selatan dan Korea Utara sebelum itu. Mereka tidak mahu pelan gila ini merosakkan kejayaan perjanjian tersebut.

filem korea ashfallPun begitu, sekiranya nuklear tersebut tidak diletupkan di bawah Gunung Baekdu, seluruh penduduk semenanjung Korea akan mati! Selain itu, profesor Robert mulai sedar bahawa lokasi awal yang sedang dituju oleh pasukan Kapten Jo adalah salah dan dia telah menjumpai lokasi yang sebenarnya bagi memastikan misi letupan nuklear itu berhasil menghentikan letusan Gunung Baekdu. Dengan kegigihan pasukan yang diketuai oleh Kapten Jo dengan bantuan Ri Junpyung, mereka berjaya mencuri 600 kiloton nuklear daripada bilik simpanan rahsia Korea Utara. Semasa dalam perjalanan untuk ke lokasi letupan, mereka telah diserang oleh tentera Amerika Syarikat dan Ri Junpyung mengambil kesempatan ini untuk membawa lari bekalan nuklear itu dan turut menculik Kapten Jo.

Dalam perjalanan tersebut mereka mula bergaduh kerana mempunyai destinasi yang berbeza yang ingin dituju. Kapten Jo mahu ke lombong di Gunung Baekdu manakala Ri Junpyung mahu membawa nuklear tersebut ke Bucheon untuk berjumpa dengan geng China tersebut. Bukan itu sahaja, mereka telah dikejar oleh tentera Amerika Syarikat semasa kekalutan itu. Dengan beberapa jam sahaja yang masih tinggal sebelum letupan paling dahsyat berlaku, adakah mereka berjaya menghentikan malapetaka itu atau pun nyawa semua orang bakal melayang?

filem korea ashfall

Sungguhpun membawa tema bencana iaitu suatu topik yang berat tetapi filem ini menjadi sedikit ringan kerana bait-bait komedi yang dituturkan oleh kedua teraju utama iaitu Kapten Jo dan Ri Junpyung. Sikap Kapten Jo yang kalut membuatkan aksi naifnya senang digunakan oleh ejen Korea Utara itu untuk menipunya. Dan walaupun Ri Junpyung adalah penyiasat licik, dia juga sering membuat lawak ringkas.

Bukan sahaja penuh dengan aksi dan ketawa, “Ashfall” turut diselitkan sedikit elemen kekeluargaan yang sedih. Kisah isteri Kapten Jo yang tidak tahu sama ada suaminya akan hidup atau mati dan kandungannya yang sudah sarat. Bahkan Ri Junpyung juga menunjukkan naluri seorang bapa apabila sanggup melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan anak perempuannya.

Temui penonton Malaysia

Filem bencana ini sudah mula ditayangkan di pawagam tempatan sejak daripada 2 Januari lalu dan sudah ramai yang pergi menontonnya! Jangan risau kerana bukan sahaja sari kata bahasa Inggeris malahan naskhah itu turut menyediakan sari kata bahasa Melayu. Nssib baik!

Filem ini berjaya bermain dengan emosi penonton sepanjang tayangannya. Cemas pun ya, sedih pun ya, lawak pulak lagi! Korea Selatan sememangnya ke hadapan dalam filem bencananya, setaraf dengan filem Hollywood! Anda semua patut menontonnya, yakin tak menyesal!

Leave a Reply