Ikuti Kami:

[REVIEW] Filem ‘Secret Zoo’ Buat Penonton Ketawa Besar Dengan Telatah Manusia ‘Berkostumkan’ Haiwan!

[REVIEW] Filem ‘Secret Zoo’ Buat Penonton Ketawa Besar Dengan Telatah Manusia ‘Berkostumkan’ Haiwan!

Industri perfileman Korea bukan sahaja hebat dalam pembikinan naskhah genre aksi dan misteri bahkan filem komedi juga tak pernah gagal menarik penonton daripada seluruh dunia untuk menontonnya. Sama juga dengan filem “Secret Zoo” yang baru sahaja diriliskan di panggung sekitar Malaysia pada 13 Februari lepas!

Taman haiwan yang tiada hidupan langsung

Kisah bermula apabila Taesoo (Ahn Jaehong), seorang peguam kontrak di syarikat guaman JH yang berusaha keras bagi menjaminkan posisi tetap di firma itu pada suatu hari nanti. Disebabkan oleh tindakan berani matinya menghalang penunjuk perasaan daripada mengapa-apakan bosnya, lelaki itu telah diberi kepercayaan untuk menjadi pengarah Zoo Dongsan yang baru sahaja dimiliki oleh tempat kerjanya itu. Dengan janji jawatan tetap dan kereta mewah baru, Taesoo memulakan kehidupan barunya dan berusaha mendapatkan pulangan untung yang lumayan di taman haiwan itu.

Indah khabar daripada rupa, setibanya di zoo tersebut, peguam itu dikejutkan dengan puluhan kandang haiwan yang tidak dihuni oleh seekor haiwan pun. Pelik! Rupanya disebabkan oleh masalah kewangan, kesemua haiwan dalam Zoo Dongsan telah dipindahkan ke tempat baru. Lagi parah kerana hanya tinggal 2 penjaga zoo iaitu Gunwook (Kim Sungoh) dan Haekyung (Jeon Yeobin), seorang doktor haiwan iaitu Sowon (Kang Sora) serta pengarah lama iaitu Pengarah Seo (Park Younggyu) sahaja yang menguruskan taman tersebut.

filem secret zoo

Macam mana nak pelawat datang kalau seekor haiwan pun tak ada kan? Jadinya, selepas mendapat inspirasi ‘liar’ setelah ‘terperanjat beruk’ apabila terserempak dengan replika harimau pada malam buta, Taesoo nekad untuk menempah kostum haiwan yang realistik bagi menghidupkan kembali zoo itu. Meskipun menolak idea gila tersebut pada awalnya namun akhirnya kesemua staf yang ada tunduk juga dengan cadangan tersebut bagi menyelamatkan rumah kedua mereka itu. Watak haiwan yang dibawa mereka ialah Sowon (singa), Pengarah Seo (beruang kutub), Gunwook (gorilla) dan Haekyung (sloth).

filem secret zoo

[Amaran SPOILER]

Insiden beruang kutub palsu yang dimainkan oleh Taesoo pada ketika itu tular di serata media sosial apabila haiwan itu ditangkap minum air Coke di khalayak ramai. Nampak macam masalah besar tetapi disebabkan oleh kesilapan itu, semakin ramai pelawat yang mula membanjiri Zoo Dongsan bagi melihat dengan mata kepala sendiri kejadian luar biasa tersebut!

Ingatkan panas sampai ke petang tapi hujan ditengah hari! Taesoo yang mula sayangkan kerja baru ini tersepit apabila dia dipanggil pulang untuk berkhidmat di firma impiannya secara tetap. Penipuan mereka ini akhirnya dapat dihidu oleh CEO Hwang di Syarikat JH dan dia sendiri datang untuk membongkarkan muslihat ini kepada orang ramai.

filem secret zoo

Jadi apakah kesudahannya? Adakah Taesoo akan belot keluarga zoonya ini dan kembali ke bandar sebagai peguam tetap atau pun dia akan bergadai nyawa untuk selamatkan Zoo Dongsan?

Lawak murahan dan plot longgar

Selepas menonton “Secret Zoo”, dapat dilihat pengarah filem ini cuba menerapkan banyak elemen lawak picisan. Sesiapa yang mudah terhibur pasti akan tergelak besar apabila melihat gorilla membawa bugi golf atau pun si sloth yang gigih menaip mesej pada telefon bimbitnya. Sepertinya pihak produksi menganggap bahawa para penonton merupakan target yang mudah dan tidak berfikir dengan lebih mendalam untuk membuat lawak yang lebih bermakna.

filem secret zoo

Selain itu, latar belakang Taesoo tidak dijelaskan dengan lebih mendalam lantas membuatkan penonton tertanya-tanya kenapa dia benar-benar mahu menjadi peguam tetap di JH dan bagaimana lelaki itu jatuh suka dengan keluarga barunya di Zoo Dongsan.

Bertambah keliru apabila penulis skrip cuba menjadikan plot ini lebih serius dengan melibatkan masalah jenayah seperti penyelewengan duit dan isu syarikat besar mahu dapatkan tanah bagi membina resort mewah. Klise sangat!

Kalau mahukan jalan cerita ringan, mungkin “Secret Zoo” boleh hiburkan anda dengan mudah!

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...