Ikuti Kami:

Dituduh Keluar Dating, Pelakon Go Eunah Dedah Pernah Dipukul Ketua Agensi Dengan Kayu Besbol!

Dituduh Keluar Dating, Pelakon Go Eunah Dedah Pernah Dipukul Ketua Agensi Dengan Kayu Besbol!

Walaupun kehidupan selebriti Korea nampak glamor dan mewah, tiada siapa tahu mengenai seksa sebenarnya di belakang tabir. Banyak juga cerita di mana syarikat naungan selebriti yang memberikan layanan buruk terhadap artis mereka terutama sekali pada artis baru atau pun pelatih yang sedang dalam latihan menjadi pelakon mahupun penyanyi.

Terbaru, pelakon Go Eunah telah berkongsi pengalaman buruknya bersama bekas syarikat naungannya. Wanita itu telah duduk bersama adiknya, Mir yang merupakan idola daripada bekas kumpulan K-Pop MBLAQ dan berkongsi kisah menyedihkan itu menerusi satu video di Youtube.

Go Eunah mendedahkan bahawa ketua di agensi lamanya pernah memukul kepala dan belakang badannya dengan kayu besbol selepas mengesyaki bahawa dia keluar menonton wayang dengan seorang lelaki.

“Terdapat khabar angin berterbangan di agensi pada ketika itu mengatakan bahawa saya sedang bercinta dengan seorang pelakon senior. Selepas penggambaran, saya bersama seorang juru tatarias telah pergi menonton wayang. Walaubagaimanapun, ada individu yang telah memberikan informasi salah kepada agensi saya dan mereka menyangka saya ke panggung wayang dengan seorang lelaki.”

Tambahnya, dia telah diserbu oleh staf agensi tersebut dan mereka mengambil telefon bimbitnya. Juru tatarias yang bersama dengannya itu lari dan meninggalkannya berseorangan. Bukan itu sahaja, mereka turut menyelongkar begnya untuk mencari tiket wayangnya itu. Siap hubungi pihak panggung tersebut untuk menanyakan berapa tiket yang dibeli oleh wanita itu.

Go Eunah yang pada ketika itu sedang duduk di sebuah meja terkejut apabila ketua agensi tersebut telah mengambil kayu besbol dan menghayunkan ke kepalanya. “Saya rasa seperti tengkorak saya retak. Rasa macam saya separuh sedar sambil mata masih terbuka.”

Meskipun menerima layanan teruk itu, dia tidak menangis langsung dan hanya mengetap giginya dengan kuat. Ingatkan dah tamat seksaan itu, tetapi ketua agensi itu meminta dia meniarap sebelum mula memukul belakangnya pula dengan kayu besbol itu. Adiknya yang mendengar cerita itu nyata terkejut kerana ketua tersebut terus menghukum tanpa mendengar dahulu cerita daripada pihak kakaknya.

Ketua agensi itu turut menghubungi ibunya dan meminta dia melutut di dalam pejabat mereka. Tak cukup dengan itu, lelaki durjana itu hubungi pula ayahnya dan meminta lelaki tua itu membayar wang penalti kerana konon anaknya melanggar kontrak mereka. Selepas kejadian itu, setiap gerak geri Go Eunah sentiasa diperhatikan dengan rapat oleh agensinya. Dia perlu mengemaskini semua pergerakannya seperti makan, mandi dan tidur supaya mereka mengetahui setiap langkahnya. Sampaikan pengurusnya akan datang tekan loceng rumah pada tengah malam untuk memastikan dia benar-benar berada di rumah dan bukannya tempat lain.

Tidak mahu peminat terkejut dengan insiden dahsyat itu, kedua-dua Go Eunah dan Mir menenangkan semua dan memberitahu bahawa kejadian sedemikian tidak berlaku lagi dalam industri seni sekarang ini. Ini adalah perkara yang telah berlaku lama dahulu dan wanita itu mengakui bahawa dia sudah melupakannya.

Dahsyat gila layanan sebegitu! Ingat Go Eunah binatang ke nak pukul sebegitu sekali. Pakai kayu besbol pula, geramnya!

Sumber: Soompi

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...