BTS merupakan antara kumpulan K-Pop yang berjaya menembusi pasaran muzik Amerika sehingga mendapat pengiktirafan daripada ramai artis terkenal dunia seperti Ariana Grande, Lizzo, Halsey dan ramai lagi. Oleh sebab itu, ada peminat mereka (ARMY) yang mengharapkan agar kumpulan ini dikecualikan daripada menjalani latihan khidmat tentera yang diwajibkan bagi setiap lelaki di Korea Selatan kerana sumbangan budaya mereka terhadap negara itu.
Namun begitu, menurut Yonhap News, cadangan itu tidak mungkin akan terjadi. Menteri Pertahanan serta Menteri Kebudayaan memutuskan bahawa kriteria untuk pengecualian daripada latihan khidmat ketenteraan tidak akan diubah.
“Perkembangan sistem kita adalah urusan perbincangan kerajaan,” jelas seorang wakil rasmi.
Hal ini membantutkan niat untuk melepaskan kumpulan BTS daripada menjalani perkhidmatan tentera wajib itu. Jadi, mereka berkemungkinan besar akan berkhidmat tanpa sebarang layanan istimewa.
Peminat mereka rata-ratanya kecewa dengan keputusan ini kerana bagi mereka, BTS telah berjaya memberi sumbangan yang banyak dalam menyebarkan hal kebudayaan Korea dan sepatutnya diberi pelepasan daripada berkhidmat. Ada juga peminat yang berasa lebih berbangga sekiranya artis kesayangan mereka itu menjalani latihan dan diberi layanan sama seperti lelaki Korea yang lain.
Apa salahnya menjalani latihan khidmat ketenteraan ini? Ramai artis K-Pop yang lain sebelum mereka berjaya menghabiskan latihan tanpa sebarang masalah, jadi tentunya mereka juga mampu melaluinya. Rakyat Korea juga rata-ratanya lebih menghormati artis lelaki yang berjaya menamatkan latihan ketenteraan ini dengan lancarnya.
Sumber: Koreaboo