Ikuti Kami:

5 Drama Wajib Tonton Lakonan ‘Ratu Romantik Komedi’, Gong Hyojin!

5 Drama Wajib Tonton Lakonan ‘Ratu Romantik Komedi’, Gong Hyojin!

Siapa yang menonton drama Korea sejak daripada tahun 2000 dan ke atas pasti mengenali ramai pelakon hebat yang masih berlakon sehingga sekarang. Antara yang masih menyerlah dan menjadi rebutan pengarah drama ialah pelakon wanita, Gong Hyojin. Sering berlakon drama yang ringan dan membuai hati, pelakon wanita ini turut digelar sebagai ‘Ratu Romantik Komedi’ kerana watak yang sering dibawanya. Antara nama gelarannya yang lain ialah Gongvly, gabungan antara namanya dan perkataan ‘lovely’. Hebat betul penangan Gong Hyojin!

Kalau ada antara korang yang pernah tonton beberapa drama lakonannya tapi masih ingin menonton lagi muka comelnya di kaca televisyen mahupun kaca komputer riba, nah admin sediakan senarai dramanya yang wajib ditonton oleh korang semua!

1. Pasta (2010)

pasta

Watak dibawa oleh Gong Hyojin ialah Seo Yookyung yang merupakan seorang chef di restoran makanan Itali iaitu La Sfera. Apabila seorang chef berpengalaman Choi Hyunwook (Lee Sanggyun) mula bekerja di restoran itu, habis semua chef perempuan telah dibuangnya dan hanya tinggal Yookyung yang masih bertahan. Walaupun telah beberapa kali dibuang, wanita itu pasti berjaya bekerja kembali di restoran itu. Sepanjang pertelingkahan anjing dan kucing antara Yookyung dan Hyunwook, tanpa sengaja wanita itu telah mula jatuh cinta dengan chef lelaki itu. Walau bagaimanapun, kekasih lama Hyunwook iaitu Saeyoung (Lee Honey) telah kembali dan mengusutkan lagi keadaan.  Pemilik restoran itu, Kim San (Alex) pula mula menyukai Yookyung kerana perangai kalut wanita itu dan kecomelannya.

Kisah ini memang seronok ditonton kerana setiap karakter mempunyai tarikan tersendiri selain gelagat lucu Yookyung dalam usahanya menambat hati Hyunwook.

2. The Greatest Love (2011)

the greatest love

Watak Gong Hyojin iaitu Ae Jung merupakan bekas anggota kumpulan ‘The National Treasure Girls’. Namun selepas 10 tahun, kumpulan itu telah berpecah dan semua peminat menyalahkannya seorang atas insiden itu. Walaupun personalitinya yang baik, dia susah mendapat tempat dalam industri seni dan terpaksa bersusah payah untuk memunculkan diri dalam apa-apa rancangan hiburan. Dokko Jin (Cha Seungwon) pula merupakan seorang pelakon terkenal dan tanpa sengaja mereka telah berjumpa dan mula terlibat dalam kehidupan masing-masing. Yoon Piljoo (Yoon Kyesang) ialah seorang doktor perubatan tradisional yang tidak mempunyai pengetahuan langsung mengenai dunia hiburan tapi bersetuju untuk turut serta dalam rancangan pencarian jodoh iaitu ‘Couple Making’ selepas mengetahui Ae Jung merupakan antara peserta rancangan itu. Kedua-dua lelaki mula jatuh cinta pada wanita itu dan berusaha untuk mendapatkannya.

Seperti biasa, watak Gong Hyojin yang baik dan lembut berjaya meruntun hati penonton dan membuatkan mereka menyokongnya supaya mendapat kesudahan yang bahagia!

3. Master’s Sun (2013)

master's sun

Joo Joongwon (Seo Jiseob) adalah seorang CEO kepada syarikat besar yang memiliki rangkaian hotel mewah dan pusat membeli belah. Sikapnya yang kedekut dan sombong memang diketahui oleh seluruh rakyat Korea. Gong Hyojin membawa watak Tae Gongshil dan merupakan seseorang yang boleh melihat hantu dan jelmaan yang masih berkeliaran di dunia. Menghairankan apabila setiap kali wanita itu menyentuh Joongwon, pasti jelmaan yang cuba mengganggunya akan ghaib. Apabila terlihat satu jelmaan yang menghantui Joongwon, Gongshil nekad membantu lelaki itu mencari kebenaran dengan syarat CEO kaya itu membantunya apabila diganggu mana-mana hantu. Semasa sibuk dalam misi membantu hantu untuk pulang ke tempat asal mereka, Tae Gongshil dan Joongwon tanpa sengaja telah jatuh cinta.

Walaupun Gong Hyojin kelihatan kusam dalam cerita ini, perkara itu tidak menghalang penonton untuk jatuh suka dengan wataknya yang kasihan itu.

4. It’s Okay, It’s Love (2014)

it's okay that's love

Jang Jaeyeol (Jo Insung) ialah seorang penulis novel misteri dan DJ radio yang terkenal dengan perangainya yang cerewet. Dia dan seorang pakar psikiatri, Ji Haesoo (Gong Hyojin) telah menjadi ahli panel dalam satu rancangan bual bicara mengenai isu minda penjenayah. Selepas mempunyai pendapat yang bercanggah, mereka mula tidak menyukai antara satu sama lain. Namun selepas satu insiden yang menyebabkan Jaeyeol terpaksa menyorok daripada pihak media, dia tanpa sengaja tinggal serumah dengan wanita itu. Rumah itu turut diduduki oleh pakar psikiatri iaitu Jo Dongmin (Sung Dongil) dan seorang lagi pemuda bernama Park Sookwang (Lee Kwangsoo) yang mengalami sindrom Tourette. Walaupun tidak sebulu, bersama-sama mereka telah membantu untuk menyembuhkan luka dalaman yang dialami oleh mereka. Salah seorang peminat Jaeyeol iaitu Han Kangwoo (Do Kyungsoo) turut membantu memainkan peranan dalam kekacauan emosi yang dialami oleh Jaeyeol. Dalam usaha membantu Jaeyeol, Haesoo juga terpaksa menempuh trauma lamanya.

Kisah ini yang bermula dengan babak komedi mula menuju ke arah sedih pada akhirnya. Gong Hyojin membuktikan bahawa dia mampu membawa watak gembira dan juga seorang yang sedih dalam drama yang sama.

5. Jealousy Incarnate (2016)

jealousy incarnate

Watak Lee Hwasin (Jo Jungsuk) merupakan seorang yang mempunyai bakat dalam bidang kewartawanan, juga daripada keluarga yang kaya dan mempunyai latar belakang pendidikan yang membanggakan. Sentiasa mencari berita untuk dilaporkan, dia bertemu dengan seorang pencabar iaitu pakar meteorologi, Pyo Nari yang dilakonkan oleh Gong Hyojin. Latar belakang wanita itu berbeza sungguh dengan Hwasin namun dengan semangat yang jitu, dia bekerja keras untuk mencapai ke kedudukannya yang sekarang. Kedua-dua mereka bertanding agar dapat menjadi penyampai yang paling top di stesen penyiaran itu. Tapi apa yang jadi apabila mereka mula jatuh cinta?

Watak Gong Hyojin yang nampak sahaja lembut tapi sebenarnya sangat bersungguh-sungguh itu menawan hati para penonton. Penonton juga memahami situasinya yang sering ditindas kerana tidak secantik wartawan lain di stesen penyiaran tempat dia bekerja. Lagilah mereka mahukan kebahagiaan kepada wataknya itu!

Banyak betul drama best yang dilakonkan oleh ratu romantik komedi ini! Kesemua drama yang diterajui oleh Gong Hyojin tidak pernah mengecewakan penonton. Apabila drama itu mempunyai Gongvly sebagai heroin, rata-rata netizen akan menontonnya kerana percaya dengan pilihan drama wanita itu.

Terbaru, dia bakal muncul dengan satu lagi drama baru bertajuk ‘When The Camellia Blooms’. Drama ini mengisahkan tentang Dong Baek (Gong Hyojin) yang memiliki sebuah bar dan kehidupannya mula berubah apabila dia dipertemukan dengan tiga lelaki yang mempunyai personaliti yang berbeza iaitu lelaki yang baik, lelaki yang jahat dan lelaki yang kasar.

when the camellia blooms

Penonton sudah tidak sabar ingin menonton drama ini kerana mereka sangat merindui lakonan Gong Hyojin. Jangan lupa saksikan drama ini yang akan mula ditayangkan pada 18 September ini menerusi saluran KBS!

Sumber: MyDramaList, AsianWiki

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...