Ikuti Kami:

Tayangan Awal ‘Memorist’ Raih Rating Biasa, Penonton Samakan Plot Dengan ‘He Is Psychometric’

Tayangan Awal ‘Memorist’ Raih Rating Biasa, Penonton Samakan Plot Dengan ‘He Is Psychometric’

Arena drama Korea sekarang semakin menjadi-jadi dengan naskhah bertemakan thriller dan misteri. Kalau dulu genre sebegini banyak dipelopori oleh saluran kabel seperti tvN, OCN dan JTBC, tetapi kini saluran perdana yang merangkumi SBS, MBC dan KBS juga dah ikut trend ini.

Antara drama yang mempunyai tema yang sama dan baru sahaja ke udara beberapa hari lepas ialah “Memorist”. Membawa dukungan hebat seperti Yoo Seungho dan Lee Seyoung, penonton menyatakan rasa tidak sabar untuk melihatkan keserasian antara mereka. Bagi yang tidak tahu, kedua-dua pelakon ini pernah bertemu dalam drama “I Miss You” pada tahun 2012, jadi gandingan semula selepas 8 tahun ini nyata membuatkan mereka teruja.

Sinopsis pendek “Memorist”

Berkisarkan daripada webtoon dengan tajuk yang sama, ia membawa kisah Dong Baek (Yoo Seungho) iaitu seorang detektif yang boleh membaca fikiran seseorang. Selepas mengenali dengan seorang profiler hebat iaitu Han Sunmi (Lee Seyoung), mereka mula bergabung tenaga untuk memburu seorang pembunuh bersiri.

memorist

Kandungan episod pertama

Menerusi episod pertama, dapat dilihat Dongbaek ialah seorang detektif yang sangat hebat dan disayangi oleh ketuanya. Bayangkan sejak masuk kerja, dia berjaya menyelesaikan 26 kes rumit seorang diri. Walaupunbegitu, lelaki ini suka menggunakan kekerasan dan bertindak ganas apabila ingin mendapatkan bukti daripada suspeknya. Disebabkan oleh mukanya yang kacak, rata-rata pegawai polis menyampah dengan kehebatan siasatannya selain terpaksa menguruskan semua hadiah yang diberi oleh peminat Dongbaek.

Lain daripada drama kuasa luar biasa yang lain, Dongbaek tidak segan langsung untuk mengumumkan kepada seluruh dunia mengenai kelebihannya itu selain menggunakannya untuk menakutkan penjenayah. Oleh kerana dia boleh melihat kejadian yang berlaku kepada mangsa apabila menyentuhnya, lelaki itu mempunyai masalah untuk mengawal kemarahannya apabila melihat penderitaan mereka tambahan pula sekiranya mereka pernah melalui keganasan seksual. Mempunyai masalah kemarahan yang melampau, dia sering terlibat dengan pergaduhan kerana tak mampu mengawal diri.

drama memorist

Han Sunmi pula ialah seorang profiler hebat yang sangat teliti dengan siasatannya. Kalau nak dibandingkan dengan Dongbaek, mereka berdua adalah pegawai yang mempunyai personaliti yang berbeza ketika bekerja. Pegawai yang paling muda itu berhadapan dengan suspek secara tenang, dingin dan berkarisma. Meskipun baru sahaja kenal, Sunmi sudah dapat membaca perubahan suhu Dongbaek. Ganas apabila bersama dengan penjenayah, lembut apabila bersama mangsa.

Dengan personaliti yang berlainan itu, mereka berdua memulakan penyiasatan terhadap satu kes penculikan yang melibatkan anak kepada tukang cuci di balai polis tempat kerja Dongbaek. Daripada situ, kedua pegawai ini dapat mengenal pasti kes lain yang serupa dengan kes ini lantas mereka memulakan misi untuk menyelamatkan kesemua mangsa.

Sama dengan drama “He Is Psychometric”

Selepas dua episod ditayangkan, kebanyakan penonton meluahkan pendapat tentang persamaan plot “Memorist” dengan drama yang ditayangkan pada 2019 iaitu “He Is Psychometric”. Diterajui oleh Jinyoung dan Shin Yeeun, ia membawa kisah Lee An yang mempunyai kemampuan psikometri dan dia dapat membaca fikirang seseorang apabila dia menyentuhnya. Dengan kelebihannya itu, dia bersungguh-sungguh dalam menumpaskan jenayah.

he is psychometric

Disebabkan kedua-dua watak Dongbaek dan Lee An mempunyai kelebihan yang sama iaitu kemampuan membaca fikiran orang lain, ramai yang mula menyamakan jalan cerita kedua-dua drama tersebut. Tambahan pula, drama ini turut berlatar belakangkan balai polis dan usaha memberkas penjenayah misteri.

Mungkin disebabkan itu juga, rating yang dicatatkan pada episod kedua sedikit jatuh daripada episod perdananya. Episod pertamanya merekodkan 3.272% namun ia menurun kepada 2.762% semasa episod seterusnya.

Mungkin plotnya akan kian mendebarkan jadi sama-sama kita saksikan drama “Memorist” di bawah saluran tvN pada setiap Rabu dan Khamis!

Sumber: YTN

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...