Ikuti Kami:

Tak Sangka! 10 K-Drama Popular Ini Sudah Genap Berusia 10 Tahun Pada Tahun 2020

Tak Sangka! 10 K-Drama Popular Ini Sudah Genap Berusia 10 Tahun Pada Tahun 2020

Kalau anda kira balik, rasanya mesti dah lama mula tengok K-Drama kan? Nescaya kalau anda tengok senarai drama yang dah berusia genap 10 tahun ini, pasti anda akan tergamam kerana tak sangka dah lama rupanya anda berkecimpung dalam dunia kandungan Korea ini!

1. My Girlfriend Is A Gumiho

my girlfriend is a gumiho

Mengisahkan Cha Dae-woong (Lee Seung-gi) yang merupakan seorang pelajar universiti kaya yang langsung tidak kisahkan mengenai kehidupannya. Ketika melarikan diri daripada bebelan datuknya, dia tanpa sengaja melepaskan seekor gumiho (musang berekor sembilan) di sebuah tokong dan ianya bertukar menjadi seorang wanita cantik. Cuba membantu gumiho itu berlagak seperti manusia biasa, kedua mereka akhirnya mula rapat dan jatuh cinta antara satu sama lain.

2. Secret Garden

secret garden

Secara ringkasnya, ia adalah kisah Cinderella di antara seorang pelakon lagak ngeri iaitu Gil Ra-im (Ha Ji-won) dan seorang CEO pusat beli-belah iaitu Kim Joo-won (Hyun Bin). Cerita ini menjadi semakin berbelit apabila ibu Joo-won tidak merestui perhubungan mereka dan tanpa disangka kedua mereka bertukar badan lantas membuatkan semuanya semakin huru-hara.

3. Pasta

pasta

Seo Yoo-kyung (Gong Hyo-jin) yang bekerja keras untuk bertapak sebagai seorang pembantu chef, mula menghadapi masalah apabila seorang chef baru, Choi Hyun-wook (Lee Sun-kyun) telah bertindak memecat seorang demi seorang staf wanita dan meninggalkannya sebagai orang yang terakhir. Walaubagaimanapun, berkat kejituannya, dia berjaya menyelamatkan diri sehingga diambil bekerja sebagai chef tetap. Dalam diam, hubungan antara kedua chef itu mula bercambah menjadi cinta namun banyak lagi halangan yang terpaksa ditempuhi.

4. Cinderella’s Stepsister

cinderella's stepsister

Selepas ibunya berkahwin baru, Eun-joo (Moon Geun-young) terpaksa hidup dengan keluarga barunya bersama seorang adik tiri yang terlalu ceria buatnya iaitu Hyo-seon (Seo Woo). Hubungan adik-beradik tiri itu terus berubah benci apabila kedua mereka rupanya menyukai lelaki yang sama iaitu salah seorang pekerja di kilang pembikinan wain iaitu Ki-hoon (Chun Jung-myung).

5. Sungkyunkwan Scandal

sungkyunkwan scandal

Kim Yoon-hee (Park Min-young) menyamar menjadi abangnya, Kim Yoon-shik dengan harapan untuk menampung keluarga mereka. Meskipun cuba mengambil peperiksaan universiti Sungkyunkwan secara haram atas upah orang lain, dia kemudiannya berjaya menyorokkan diri di tempat itu atas bantuan Lee Sun-joon (Park Yoo-chun) yang berjanji mendiamkan diri. Saksikan bagaimana Kim Yoon-hee terpaksa menyorokkan identitinya sebagai wanita daripada dibongkarkan oleh rakan sekelas dan rakan sebiliknya sementelah dia cuba mengawal perasaan yang semakin mendalam terhadap Lee Sun-joon.

6. Master Of Study

master of study

Saksikan seorang peguam tegas iaitu Kang Suk-ho (Kim Su-ro) mula mengajar di sekolah dan cuba membantu pelajarnya yang tiada impian dan cita-cita langsung. Lelaki itu berjanji akan memastikan 5 orang daripada pelajar tersebut bakal diterima masuk ke universiti berprestij di negara tersebut atas hasil ajarannya.

7. Personal Taste

personal taste

Jeon Jin-ho (Lee Min-ho) merupakan seorang arkitek yang sangat menyayangi dirinya sendiri dan terlalu mementingkan kebersihan. Demi memenangi projeknya yang akan datang, dia perlu masuk dan tinggal di rumah tradisional milik Kae-in (Son Ye-jin). Wanita itu menerima lelaki itu sebagai teman serumahnya kerana menganggap bahawa dia adalah seorang homoseksual. Semakin hari meluangkan masa bersama, kedua mereka mula menyukai antara satu sama lain.

8. Playful Kiss

playful kiss

Membawa kisah dua pelajar di mana si gadisnya yang mencintai si lelaki separuh mati namun cintanya itu tak berbalas. Dalam situasi yang tak dijangka, Oh Ha-ni (Jung So-min) mula tinggal bersama keluarga Baek Seung-jo (Kim Hyun-joong). Sekian lama mengejar, akhirnya gadis itu mula putus asa dan si lelaki yang baru sedar dia bakal terlepas gadis disukainya itu, kini mula mengejarnya.

9. Bread, Love and Dreams

bread, love and dreams

Membawa kisah hidup Kim Tak-gu (Yoon Shi-yoon) yang menjadi pembuat roti paling berjaya di Korea pada awal 1970-an sehingga lewat 1980-an. Saksikan pelbagai konflik seperti identiti ayah yang disembunyikan, cinta hati yang dirampas kerana wang dan banyak lagi. Hebatnya drama ini kerana ia mampu meraih rating sehingga 50% pada ketika itu.

10. Marry Me, Mary!

marry me, mary!

Wi Mae-ri (Moon Geun-young) yang berusaha sedaya upaya untuk menampung keluarganya mula jadi tak tentu arah apabila terpaksa menanggung hutang beban ayahnya. Bagi membayar hutang tersebut, ayahnya mencadangkan dia berkahwin. Cuba melarikan diri, dia berlakon dengan mengatakan sudah berkahwin dengan Mu-gyul (Jang Geun-sook) yang baru beberapa hari dikenalinya. Walaubagaimanapun, ayahnya sudah pun menandatangani perjanjian perkahwinan tersebut dengan Jung-in (Kim Jae-wook) lantas membuatkan Mae-ri tersepit di antara dua lelaki. Atas cadangan orang tuanya, dia perlu meluangkan masa selama 100 hari dengan mereka sebelum memilih untuk meneruskan hidup dengan lelaki yang mana.

Rasanya macam menelusuri memori lama tak?

Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ FacebookTwitter dan Instagram KimchiDaily untuk mendapatkan berita Korea paling latest yang sensasi.

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...