Ikuti Kami:

Selongkar Sisi Gelap Pelajar Sekolah Bekerja Dalam Bisnes Kotor, Tonton ‘Extracurricular’ Di Netflix Sekarang!

Selongkar Sisi Gelap Pelajar Sekolah Bekerja Dalam Bisnes Kotor, Tonton ‘Extracurricular’ Di Netflix Sekarang!

Laman penstriman popular iaitu Netflix kini kembali lagi dengan siri asal terbaru! Sering menyediakan kandungan Korea terbaik untuk peminat K-Drama, kini semua penonton disajikan pula dengan drama berlatar belakangkan kehidupan gelap para pelajar sekolah iaitu “Extracurricular”.

Kisah remaja hidup ‘kotor’ demi wang

Ji-soo (Kim Dong-hee) adalah seorang pelajar sekolah menengah tinggi yang hidup penuh kesusahan sejak daripada kecil lagi dek kerana ibunya yang melarikan diri dan meninggalkan keluarga mereka. Hidup dengan ayah yang gila berjudi, anak muda ini terpaksa meneruskan hidup atas kudratnya sendiri. Atas sebab itu, Ji-soo berusaha keras untuk mengubah nasibnya dan mengimpikan masa depan yang cerah termasuklah belajar di kolej pilihannya.

Bagi merealisasikan impian tersebut, dia telah memikul tanggungjawab bekerja separuh masa yang tidak mengganggu masa belajarnya dan dalam masa yang sama memberikan pendapatan yang lumayan. Namun pekerjaan itu menyebabkan Ji-soo terpaksa mempunyai dua kehidupan asing dan tidak boleh didedahkan kepada orang lain walaupun teman rapatnya. Secara ringkas, dia bekerja sebagai pembantu untuk pekerja seks.

netflix extracurricular

Dengan kebijaksanaan yang dimiliknya, lelaki ini telah membangunkan satu aplikasi yang membolehkan wanita mendaftar untuk temu janji yang ada ‘balasan’ lainnya. Dalam kata nama lain, perkhidmatannya adalah seperti gadis pengiring. Sebagai sebahagian daripada bisnes tersebut, Ji-soo bertanggungjawab untuk menyediakan perlindungan kepada para gadis yang terlibat.

Lelaki ini turut dibantu oleh Mr Lee (Choi Min-soo), seorang perekrut dan sentiasa berada berhampiran bagi memastikan para gadis yang mendaftar di bawah aplikasi tersebut boleh mencapai mereka sekiranya memerlukan bantuan. Dek kerana operasi bisnes itu yang berjalan dengan lancar, Ji-soo berjaya mengumpul wang simpanan sebanyak 60 million won (RM210,000) iaitu satu angka yang besar untuk pelajar sekolah menengah.

Meskipun lumayan tetapi dia sepertinya tidak mengambil kira kesalahan perkhidmatan tersebut daripada sudut pandang moral. Bahkan Ji-soo hanya pandang sebelah mata apabila mendapat tahu salah seorang gadis yang berdaftar di bawah bisnes itu hanyalah seorang pelajar sekolah. Walhal lelaki itu sedar bahawa pekerjaannya itu boleh diambil kira sebagai perdagangan seks melibatkan gadis bawah umur, tetapi perkara itu tidak menggoyahkan misinya kerana dikaburkan dengan pulangan yang menguntungkan.

netflix extracurricular

[Amaran SPOILER]

Panas tidak sampai ke petang apabila bisnes rahsia tersebut mula bermasalah selepas Ji-soo jatuh cinta pandang pertama dengan rakan sekelasnya iaitu Gyu-ri (Park Joo-hyun). Punyalah kemaruk dengan gadis itu, sampaikan dia sanggup memperjudikan perniagaannya dengan pelbagai tindakan yang tidak masuk akal seperti menghentikan operasi seharian supaya dia dapat keluar bertemu janji dengan gadis tersebut.

Nampak cantik dan naif, tetapi Gyu-ri merupakan seorang yang sangat pandai dan licik sehingga dia berjaya membongkar rahsia gelap Ji-soo itu. Bukan itu sahaja, dia telah mencuri telefon bimbit yang digunakan untuk perkhidmatan tersebut dan menjadikannya sebagai umpan untuk memeras ugut lelaki yang gilakannya itu.

Malahan Gyu-ri turut menjumpai tempat persembunyian duit Ji-soo dan cuba mencurinya supaya dia dapat membina kehidupan yang baru, jauh daripada keluarga kayanya yang asyik mengongkong kehidupannya.

netflix extracurricular

Malang tidak berbau, duit berkepuk itu telah dibawa lari dahulu oleh ayah Ji-soo dan semua harapan dan hasil usaha lelaki itu diragut dalam sekelip mata sahaja. Sedar bahawa Gyu-ri adalah dalang di sebalik kehilangan telefon bimbitnya, Ji-soo sedar daripada jampi gadis itu dan mula melawan. Namun, semuanya kian menjadi huru-hara daripada insiden itu.

Mimpi ngeri Ji-soo bermula apabila Mr Lee mati dalam usahanya untuk menyelamatkan pelajar sekolah menengah itu dan Gyu-ri selepas diserang oleh sekumpulan gangster jalanan. Dalam masa yang sama, lelaki tua itu ada menjaga seorang gadis di bawah perkhidmatan tersebut bernama Min-hee (Jung Da-bin) yang juga merupakan rakan sekelas Ji-soo. Selepas kematian Mr Lee, gadis ini menjadi tak tentu arah kerana lelaki tua itu adalah penyelamat yang melindunginya selepas dia diserang oleh seorang klien yang psiko.

Cuba mengharapkan belas kasihan Ji-soo, tetapi Min-hee akhirnya ditinggalkan terkontang-kanting oleh rakannya itu selepas dia lebih berpihak kepada Gyu-ri. Hal ini menyebabkan Min-hee tidak mampu berdiam diri dan mula berdepan dengan kekalutan tersebut selepas diprovokasi.

netflix extracurricular

Netflix sahut cabaran penulis baru

Semakin penonton mendalami setiap episod “Extracurricular”, semakin gelap tema yang diketengahkan oleh naskhah itu. Semua insiden hitam yang berlaku adalah disebabkan oleh sikap pentingkan diri Ji-soo dan Gyu-ri yang hanya mahu menggunakan lelaki itu untuk kepentingannya.

Hebat sungguh perkembangan dan penceritaannya kan? Jangan terkejut kerana drama ini telah ditulis oleh seorang penulis skrip baru dan bakal menggegarkan dunia drama Korea dengan idea hebatnya menerusi naskhah ini. Bahkan Timbalan Presiden Kandungan Korea di Netflix iaitu Minyoung Kim turut meluahkan rasa teruja dengan percubaan baru ini!

Drama asal garapan Netflix ini nyata menyelongkar kehidupan gelap di sebalik pelajar sekolah yang nampak seperti dongeng tapi berkemungkinan berlaku dalam dunia realiti dek kerana desakan hidup. Sesiapa yang menyukai naskhah dengan mesej berat seperti ini, cepat tonton “Extracurricular” yang mempunyai 10 episod dan kesemuanya boleh diakses menerusi laman penstriman tersebut bermula 29 April lepas!

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...