Walaupun nampak baik di hadapan kaca televisyen, jangan terkejut kalau ada di antara pelakon kegemaran anda yang sebenarnya mempunyai sisi buruk di belakang tabir. Sama juga dengan pelakon lelaki Kang Jihwan yang popular dengan drama seperti “Incarnation Of Money”, “Lie To Me” dan beberapa lagi naskhah lain. Kelihatan naif di luar tapi kenyataannya, lelaki ini telah didakwa merogol dan melakukan perbuatan tak senonoh semasa mangsa berada dalam keadaan luar sedar.
Pada 5 Disember, hakim daripada cawangan Mahkamah Daerah Suwon telah menjatuhkan hukuman penjara selama 2 tahun dan 6 bulan dengan tempoh percubaan selama 3 tahun. Bermakna sekiranya pelakon itu melakukan kesalahan dalam tempoh percubaan tersebut, dia akan terus memulakan hukuman penjaranya. Selain itu, mahkamah mengarahkan dia supaya menjalani khidmat komuniti selama 120 jam dan mengikuti program rawatan rogol selama 40 jam. Dia juga tidak dibenarkan bekerja di mana-mana organisasi yang melibatkan kanak-kanak atau orang kurang upaya selama tiga tahun.
Sebelum ini, Kang Jihwan telah ditahan oleh pihak polis di kediamannya pada 9 Julai di Gwangju atas laporan dia telah menyerang dua kakitangan semasa mereka sedang tidur. Pada mulanya dia menafikan tuduhan itu dengan alasan tidak mengingati kejadian tersebut kerana berada di bawah pengaruh alkohol. Kemudiannya, dia mengakui hampir kesemua dakwaan itu di dalam sebuah kenyataan yang dibuat pada 15 Julai. Namun, Kang Jihwan terus mempertikaikan bukti yang dikemukan semasa perbicaraan kes itu untuk kali ketiga.
Semasa perbicaraan terakhirnya, peguam belanya telah meminta untuk meringankan hukuman tiga tahun penjara kerana pelakon itu sudah menyesal dengan perbuatannya dan mengaku bersalah. Semasa pembentangan terakhir, Kang Jihwan telah menitiskan air mata dan mengeluarkan kenyataannya sendiri.
“Saya ingin membesarkan sebuah keluarga yang cantik dan menjadi seorang ayah yang terbaik dalam dunia ini sebelum terlambat. Saya menyesal kerana berkelakuan demikian, terutamanya terhadap orang yang saya kenal. Saya membenci diri sendiri dan tiada alasan yang boleh saya berikan, saya tidak akan memaafkan diri sendiri. Saya minta maaf. Saya juga sangat menyesal.”
Selepas tamat perbicaraan itu, dia bakal dilepaskan daripada pusat tahanan yang didudukinya dan memulakan tempoh percubaannya.
Sumber: Soompi