Ikuti Kami:

[REVIEW] Lihat Telatah Kelakar Ejen Perisik Hebat Menyorok Sebagai Pelukis Komik Dalam ‘Hitman: Agent Jun’!

[REVIEW] Lihat Telatah Kelakar Ejen Perisik Hebat Menyorok Sebagai Pelukis Komik Dalam ‘Hitman: Agent Jun’!

Semakin lama, dah semakin banyak filem daripada Korea Selatan yang terjah masuk ke panggung wayang Malaysia. Mungkin kerana ramai rakyat tempatan yang mula sedar bahawa jalan cerita kebanyakan naskhah daripada sana boleh tahan hebat dan mengagumkan!

Selepas filem komedi “Secret Zoo” mula ditayangkan di panggung serata Malaysia bermula minggu lepas, kini terdapat satu lagi filem baru daripada Korea yang sudah mula dimainkan di sini iaitu sebuah filem komedi aksi iaitu “Hitman: Agent Jun”.

hitman: agent jun

Ejen perisik hebat yang mahukan kehidupan biasa

Kisah bermula apabila Kim Bokjun yang manjadi anak yatim piatu selepas kedua ibu bapanya yang merupakan atlet kebanggaan negara telah mati akibat kemalangan ngeri. Tiada arah, Jun dikenali sebagai seorang kanak-kanak yang mempunyai kehebatan berlawan apabila berjaya mengalahkan senior di sekolah yang mempunyai fizikal yang jauh lebih besar daripadanya. Hal ini menarik perhatian Cheon Deokkyu (Jeong Junho) yang diberikan misi untuk mencari anak yatim dan melatih mereka menjadi ‘senjata manusia’ dalam menangani keganasan yang menggugat negara. Kumpulan rahsia ini diberi nama Kumpulan Pertahanan National Intelligence Service (NIS).

Meskipun selalu diagungkan sebagai ejen terhebat yang dimiliki oleh kumpulan itu, Jun (Kwon Sangwoo) tidak menyukai kerja yang bermain dengan banyak nyawa itu dan menyimpan angan-angan agar dapat menjadi penulis komik yang popular suatu hari nanti. Tidak mempunyai pilihan lain untuk lari dan tinggalkan pasukan perisik rahsia itu, lelaki tersebut mengambil keputusan untuk memalsukan kematiannya semasa berada dalam misi penting.

Angan-angan tak seindah realiti apabila Jun hidup miskin kerana komiknya yang tidak mendapat sambutan langsung bahkan hanya menerima cacian setiap kali dia memuat naik episod baru. 15 tahun meninggalkan identiti sebagai Jun, dia menjalani hidup sebagai Kim Soohyuk yang sudah pun berkahwin dengan Mina (Hwang Woo Seul Hye) dan mempunyai anak perempuan, Gayoung (Lee Jiwon) yang gilakan rap. Berbeza sungguh imejnya sebagai Joohyuk kalau nak dibandingkan dengan Jun. Ejen Jun merupakan seorang yang sangat gagah dan tampan manakala Soohyuk kelihatan selekeh sepanjang masa dan makan minumnya ditanggung penuh oleh si isteri.

hitman: agent jun

Penat kerana komiknya menerima makian selain hampir dibuang kerja, Jun tanpa sengaja telah melukis komik kehidupannya sebagai ejen NIS semasa sedang mabuk. Bangun sahaja daripada tidur, dia terkejut kerana komik baru itu tular dan mendapat pujian melambung. Meskipun cuba menurunkan komik itu daripada laman web, lelaki tersebut gagal dan tak mampu nak marah isterinya yang memandai menghantar fail komik itu semasa dia sedang lena tidur.

Malang tidak berbau kerana komiknya itu membangkitkan kemarahan ejen NIS lain yang menyangkakan bahawa dia sudah mati. Kebetulan pula, beberapa ejen mereka ramai yang dibunuh baru-baru ini lantas mereka menebak Jun adalah dalang disebalik pembunuhan kejam itu. Bukan sahaja NIS, tetapi musuh ketat ejen itu iaitu taikun pengedar dadah besar Jason yang hampir mati semasa dikejar Jun dahulu pun mula menyusun strategi bagi melunaskan dendamnya yang dah lama tersimpan.

hitman: agent jun

[Amaran SPOILER]

Bagi memberkas Jun, geng Jason berjaya menangkap Mina dan menjadikannnya sebagai tebusan untuk menarik bekas ejen itu untuk tunduk kepada mereka. Dalam usaha menyelamatkan isterinya itu, dia terlibat kembali dengan pelatih daripada neraka iaitu Cheon Deokkyu dan ejen muda, Chul (Lee Yikyung) yang mengaguminya sejak daripada kecil lagi.

hitman: agent jun

Tak cukup dengan itu, anak perempuannya iaitu Gayoung pula telah diculik oleh pihak NIS supaya Jun kembali memulangkan Deokkyu yang dijadikan tebusan untuk menyelamatkan isterinya atas arahan Jason. Semakin serabut apabila Jun terpaksa membuat keputusan sama ada untuk menyelamatkan isteri atau pun anaknya dahulu.

hitman: agent jun

Semuanya menjadi kalut apabila Jun dituduh sebagai pembelot negara oleh NIS dan Jason yang bersungguh-sungguh mahu menghapuskan semua ejen Pasukan Pertahanan NIS suatu ketika dahulu yang pernah merosakkan misi jahatnya. Bagaimanakah Jun menyelesaikan masalah itu?

Komedi lama dan babak pincang

“Hitman: Agent Jun” sama sahaja seperti filem komedi aksi yang lain, sesiapa yang mudah terhibur pasti akan gelak sakan apabila menonton beberapa telatah kelakar yang ditunjukkan oleh beberapa pelakon terutamanya Kwon Sangwoo dan Jeong Junho. Selain itu, babak kelakarnya oleh dikatakan agak murah kerana banyak menunjukkan lawak perkataan kasar, meludah dan sedikit tidak senonoh.

hitman: agent jun

Sesetengah babak di dalam filem ini sedikit tak masuk akal. Apabila Mina yang mabuk tiba-tiba hebat berlawan dan bejaya mengalahkan semua lawan walhal ia adalah imaginasi yang liar olehnya yang pening lalat. Babak itu nyata sedikit pincang dan menyebabkan penonton keliru apabila ia kembali ke dunia sebenar.

Selain itu, susunan babak agak memeningkan kerana daripada sedih tiba-tiba kelakar dan masuk pula babak aksi. Transisi di antara semua emosi ini adalah kurang licin dan nampak seperti ia dipotong dan disusun begitu sahaja. Orang cakap tangkap muat!

hitman: agent jun

Walaubagaimanapun, sesiapa yang sukakan filem ringan dan tak memeningkan, bolehlah singgah ke panggung wayang terdekat untuk menonton sendiri “Hitman: Agent Jun”. Ianya sudah pun memulakan tayangan di panggung tempatan sejak 20 Februari lepas!

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...