Ikuti Kami:

[REVIEW] Ha Jungwoo Bermain Dengan Syaitan Untuk Cari Anak Hilang, Tonton ‘The Closet’ Di Pawagam!

[REVIEW] Ha Jungwoo Bermain Dengan Syaitan Untuk Cari Anak Hilang, Tonton ‘The Closet’ Di Pawagam!

Pelakon Ha Jungwoo sememangnya dikenali dan dihormati ramai. Saban tahun ada sahaja filem yang diterajuinya tetapi lelaki ini lebih suka mengemudi naskhah yang penuh dengan aksi. Baru sahaja berlakon dengan Lee Byunghun dalam drama bencana alam iaitu “Ashfall”, kini dia kembali dengan naskhah misteri dan seram iaitu “The Closet”.

Pengenalan “The Closet”

Semasa kecil, pasti anda takut untuk tidur berseorangan kan? Apabila tutup mata sahaja, mesti akan ada satu rasa seperti diperhatikan oleh entiti asing. Itulah latar belakang kepada filem ini di mana ada semangat kanak-kanak yang menghantui almari baju di rumah. Sangwon (Ha Jungwoo) bapa tunggal yang terpaksa menjaga anak perempuannya (Ina) seorang diri selepas isterinya meninggal dalam kemalangan ngeri. Lebih menyedihkan apabila anaknya mengalami kemurungan dan dia juga mula bergantung kepada ubat-ubatan untuk mengawal serangan paniknya. Pernah menjadi arkitek ulung di Korea, tetapi semuanya musnah selepas insiden tersebut lantas dia membawa diri ke sebuah rumah terpencil dalam hutan untuk memulihkan anaknya atas saranan doktor pakar.

the closet review

Ina yang sentiasa mengunci mulutnya kini kian gembira apabila dia mula mengenali dengan ‘kawan imaginasi’ yang muncul daripada almari baju dalam biliknya. Sentiasa terdengar bunyi suara asing di rumah itu, Sangwon keliru melihat perubahan anaknya yang drastik selain suasana rumah itu yang pelik. ‘Kawan’ Ina itu bukanlah yang seperti dijangka kerana jelmaan itu semua adalah roh kanak-kanak yang mati dengan tidak tenang semasa hayat mereka. Disebabkan Ina yang mempunyai masalah dengan ayahnya yang lebih pentingkan kerjaya, kanak-kanak itu berasa keseorangan dan tidak betah hanya dilimpahkan dengan perkara materialistik seperti patung yang diimport daripada luar negara.

the closet review

Sangwon pula kian resah apabila kerjayanya sebagai arkitek mula tergugat kerana masanya banyak dihabiskan untuk menjaga anaknya yang bermasalah itu. Hampir dihantar ke sekolah seni berasrama penuh, lelaki itu menggelabah apabila anaknya itu telah menghilangkan diri dengan tiba-tiba dan polis tidak mampu menjejakinya sehingga sebulan lamanya. Lebih teruk, apabila stesen televisyen menggunakan peluang itu untuk mengeluarkan episod berita tentang kecuaian si ayah dan menuduh dia yang membunuh anaknya. Kian runsing, seorang penghalau roh iaitu Kyunghoon tampil menawarkan perkhidmatannya. Menurut lelaki yang mempunyai ilmu mistik itu, kes Ina bukanlah kes pertama mengenai kanak-kanak yang hilang secara tiba-tiba. Dia menebak bahawa terdapat satu roh jahat yang muncul dan ‘menculik’ kanak-kanak ini kerana disisihkan oleh keluarga mereka.

the closet review

Mulanya skeptikal tetapi Sangwon akhirnya menerima pertolongan Kyunghoon kerana dia tahu hanya lelaki itu yang mempercayainya pada ketika ini. Pelbagai cara yang dilakukan oleh mereka untuk mendapatkan kembali Ina yang kononnya telah memasuki alam ghaib dan sekiranya mereka tidak dapat menyelamatkannya dalam masa 3 hari, anak perempuan Sangwon itu akan menjadi roh buat selama-lamanya. Ayah tunggal itu mula menyedari sayangnya kepada anaknya itu lantas dia tidak kisah bergadai nyawa untuk mengembalikan Ina ke dunia asal.

[Amaran SPOILER]

Semuanya masuk akal apabila Sangwon dan Kyunghoon menjejaki seorang kanak-kanak perempuan bernama Myungjin yang telah menghilangkan diri 20 tahun yang lalu. Disebabkan oleh kematian yang disebabkan oleh ayahnya sendiri, kanak-kanak itu menyimpan dendam sehingga dia membawa kanak-kanak lain yang mengalami nasib yang sama dengannya ke dalam dunia lain.

the closet review

Dapatkah Sangwon menebus kesalahannya terhadap Ina? Adakah dendam kesumat Myungjin akan terlerai akhirnya? Siapakah Kyunghoon sebenarnya? Persoalan demi persoalan ini membuatkan penonton akan melekat di hadapan skrin besar bagi menantikan kesudahannya.

Lebih kepada cerita kekeluargaan daripada aspek seramnya

Meskipun disajikan dengan beberapa babak ngeri grafik seperti bomoh yang mengelar lehernya sendiri sehingga darah terpercik ke merata tempat dan paku yang tertusuk pada leher ayah Myungjin, ianya tidaklah terlampau seram sehingga membuatkan penonton tak senang duduk.

Dipasarkan sebagai filem seram tetapi “The Closet” lebih terarah kepada tema kekeluargaan. Naskhah ini membawa penonton menelusuri perjalanan seorang ayah yang berusaha keras untuk menyelamatkan anak perempuannya daripada menjadi mangsa ketamakan syaitan.

the closet review

Rata-rata penonton tertarik untuk menonton filem ini kerana nama besar yang mewarnainya iaitu Ha Jungwoo dan Kim Namgil. Selepas menonton “The Closet” sehingga habis, lakonan kedua mereka memang tidak dinafikan sebagai hebat. Tetapi plot cerita filem ini telah merosakkan sedikit pengalaman menonton. Ada antara kesinambungan di antara babak yang agak mengelirukan sehingga membuatkan penonton terpinga-pinga. Ramai yang keluar daripada panggung dengan persoalan yang menebal tentang insiden sebenar disebalik kematian Myungjin.

Apapun sesiapa yang ingin menonton lakonan hebat Ha Jungwoo dan Kim Namgil, anda disarankan menonton filem ini. Sudah mula tayangan di Malaysia sejak 27 Februari lepas, serbu panggung wayang berdekatan sekarang bagi tak melepaskan naskhah menarik ini.

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...