Ikuti Kami:

[REVIEW] Filem ‘Intruder’ Serlahkan Bakat Song Jihyo Dalam Genre Thriller Tipikal, Tonton Di Pawagam Kini

[REVIEW] Filem ‘Intruder’ Serlahkan Bakat Song Jihyo Dalam Genre Thriller Tipikal, Tonton Di Pawagam Kini

Excitednya bila panggung wayang tempatan mengumumkan tayangan rasmi kepada filem thriller Korea terbaru iaitu “Intruder”. Rasanya semua tak sabar nak tengok lakonan Song Ji-hyo yang membawa watak misteri kan?

[Amaran SPOILER]

Sinopsis “Intruder”

Seo-jin (Kim Moo-yeol) ialah seorang arkitek hebat yang baru sahaja kehilangan isteri kesayangan dek kemalangan langgar lari dan meninggalkannya dengan seorang anak kecil bernama Ye-na. Belum lagi habis dengan kesedihan tersebut, lelaki itu menerima perkhabaran bahawa adik perempuannya yang sudah 25 tahun hilang kini sudah ditemui semula.

Walaupun Seo-jin berterusan mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dan aneh dengan Yoo-jin (Song Ji-hyo), namun ahli keluarganya yang lain sepertinya gembira dan mengalu-alukan kepulangan wanita tersebut. Pun begitu, Seo-jin kian berasa sangsi apabila kesemua ahli keluarganya mula berkelakuan pelik sejak kemunculan Yoo-jin yang baru sangat itu.

review intruder

Disebabkan oleh itu, arkitek tersebut sanggup meninggalkan tugasnya bagi mengorek dengan lebih dalam mengenai identiti sebenar ‘adik’nya itu dan dia dikejutkan dengan penemuan bahawa Yoo-jin sebenarnya ada di tempat kejadian kemalangan langgar lari yang melibatkan mendiang isterinya itu.

Semakin Seo-jin menyelongkar dengan lebih mendalam, semakin dia terperangkap dalam kenyataan yang mengelirukan dan berbelit.

Kisah yang buat penonton berfikir

Rasanya semua sedia maklum bahawa industri perfileman Korea memang hebat dalam penghasilan naskhah dengan genre thriller dan misteri. Penonton pasti tak senang duduk sepanjang tayangannya!

Yang bagusnya mengenai “Intruder” ini, anda berada di hujung tempat duduk sehingga ke pendedahan sebenar mengenai siapakah yang benar di antara Yoo-jin dan Seo-jin. Bahkan ketika khusyuk menonton, anda akan mendapati bahawa secara diam, otak anda mula membuat kira-kira siapakah yang menceritakan perkara yang benar di antara kedua watak ini.

review intruder

Bagi watak Yoo-jin, dia adalah terlalu sempurna sehinggakan penonton timbul hairan bagaimana setiap ahli keluarga tersebut boleh terus menerimanya sebagai anak yang hilang pada 25 tahun lalu dengan begitu sahaja. Walaubagaimanapun, Seo-jin pula seperti terumbang-ambing dek tidak boleh melupakan kematian isterinya begitu sahaja selain sedang melalui rawatan hipnosis yang memerlukan dia mengambil ubatan dalam kadar yang banyak.

Tipikal buat filem thriller

Pun begitu, adegan yang diselitkan di dalam “Intruder” ini sebenarnya hanyalah tipikal sahaja dan boleh dilihat dalam mana-mana naskhah dengan genre yang sama sebelum ini. Muzik yang mendebarkan ketika beberapa babak saspens sepertinya membuatkan penonton berasa terpaksa untuk merasai debaran tersebut.

Bahkan plot yang didukung oleh filem ini sebenarnya sudah boleh dijangka pengakhirannya, sehingga penonton daripada awal lagi boleh menjangka Yoo-jin sepertinya mempunyai kaitan dengan kematian isteri Seo-jin dek babak di antara kematian wanita itu dan kemunculan semula Yoo-jin yang disunting silih berganti.

review intruder

Namun “Intruder” berjaya membuatkan penonton kekal berasa ingin tahu mengenai punca sebenar di sebalik tindakan watak berkenaan sehingga ke akhirnya. Mungkin juga ada penonton yang boleh mengagak motif sebenar, tapi mungkin juga ada penonton yang terkejut apabila mengetahui helah sebenar watak berkenaan.

“Intruder” diselamatkan oleh lakonan Song Ji-hyo

Sesiapa yang biasa mengikuti perkembangan aktiviti lakonan Song Ji-hyo dan bukannya mengenai “Running Man” sahaja, pasti biasa mendengar beberapa kritikan mengenai lakonan wanita ini. Antara teguran yang sering diterimanya ialah mengenai sebutan yang tidak beberapa jelas dan ekspresi muka yang tidak berapa meyakinkan.

Pun begitu, anda semua patut berikan tepukan yang gemuruh kepada pelakon ini dek persembahannya yang hebat dalam “Intruder”. Kesemua emosi yang ditunjukkan daripada senyuman yang menggembirakan dan tiba-tiba menangis merayu memang nampak ‘real’ habis. Malahan setiap kali Song Ji-hyo memberikan lirikan tajam yang penuh makna, ia pasti membuatkan penonton naik bulu roma kerana tidak mengetahui apa yang difikirkan olehnya.

review intruder

Kim Moo-yeol juga menunjukkan mutu lakonan yang hebat sebagai Seo-jin yang serabut kerana kemunculan adiknya secara tiba-tiba selepas kematian isterinya. Mungkin ada sedikit ‘over’ sebesar kuman sahaja, namun persembahan mantapnya membuatkan para penonton memahami keadaannya yang tidak terurus.

Sejujurnya, filem “Intruder” tidaklah begitu mengagumkan, namun ramuan yang diharmonikan di dalam naskhah ini pasti akan membuat penonton berasa ingin tahu mengenai rahsia watak Yoo-jin dan Seo-jin. Penonton mungkin akan mempunyai sedikit persoalan mengenai beberapa plot, namun ia tidak akan menjejaskan langsung pengalaman menonton filem ini.

review intruder

Apa lagi, cepat serbu panggung wayang berdekatan bermula hari ini (23 Julai) untuk menyaksikan filem ini!

Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ FacebookTwitter dan Instagram KimchiDaily untuk mendapatkan berita Korea paling latest yang sensasi.

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...