Ikuti Kami:

[REVIEW] Episod Pertama ‘Hospital Playlist’ Memuaskan! Penuh Dengan Gelak, Tangisan & Kemarahan

[REVIEW] Episod Pertama ‘Hospital Playlist’ Memuaskan! Penuh Dengan Gelak, Tangisan & Kemarahan

Selepas berminggu-minggu tidak betah menanti, akhirnya drama hebat iaitu “Hospital Playlist” memulakan tayangannya. Mananya peminat K-Drama tak tunggu, kesemua karakter penting digalas oleh nama-nama hebat seperti Jung Kyungho, Yoo Yeonseok, Jo Jungsuk, Jeon Mido dan Kim Daemyung.

Daripada episod pertamanya, dapat dilihat ia adalah episod pengenalan kepada kehidupan setiap daripada lima sekawan itu. Berbeza personaliti dan perangai, setiap watak mempunyai persona dan tarikan tersendiri.

[Amaran SPOILER]
Junwan (Jung Kyungho), pakar toraks yang bengis

Doktor lelaki ini sememangnya sangat bengis dengan doktor di bawahnya, jangan haraplah dapat terlepas sekiranya ada buat kesilapan walaupun sekelumit pun. Namun begitu, Junwan hanya menonjolkan sifat akrabnya dengan empat orang rakan baiknya sahaja. Meskipun tegas ketika bertugas, dia cuba sedaya upaya untuk membantu pesakitnya termasuklah membantu mencari dana di bawah program yang sesuai supaya pesakitnya yang tidak berkemampuan dapat menjalani pembedahan dalam kadar segera. Mulanya menyuruh seorang doktor residen untuk mendpatkan bantuan, akhirnya Junwan sendiri yang dapat mencarinya. Walaupun menggunakan cara yang kasar untuk mengajar doktor baru, secara tersirat dia tetap memberikan informasi untuk digunakan untuk masa depan.

episod pertama hospital playlist

Dah berusia hampir 40 tahun pun, lelaki ini masih lagi mempunyai masalah dalam hal cinta. Menurut Jeongwon, Junwan sudah beberapa kali gagal dalam percintaan. Nampaknya teman wanitanya yang kali ini juga bukanlah jodoh seumur hidupnya. Dapat dilihat bahawa kekasihnya adalah seorang peminum yang tegar namun masih berkeras untuk memandu ketika mabuk. Apabila sudah berkali-kali ditangkap oleh Junwan kerana perangai tidak bertanggungjawabnya itu, lelaki itu terus sahaja meninggalkan wanita itu di tepi jalan dengan keretanya. Sebelum berlalu, doktor toraks itu tetap bersifat macho kerana menyerahkan kad kredit supaya kekasihnya tidur dahulu di sauna namun mukanya mula berubah apabila dia memberitahu bahawa hubungan mereka hanya sampai di situ sahaja.

Seohwa (Jeon Mido), doktor saraf yang sempurna

Bermuka tegas tetapi dia sangat baik dengan pesakit. Hanya satu-satunya wanita di dalam kumpulan sekawan itu, dia merupakan seorang yang sangat berkarisma dan serius degan tugasnya. Walaubagaimanapun, Seohwa tetap mempunyai hati yang lembut dan prihatin dengan masalah pesakitnya. Salah seorang penjaga kepada pesakitnya meraung tanpa berhenti apabila mendapat tahu ibunya yang berusia 90-an berkemungkinan mempunyai barah otak. Dia cuba menenangkannya dan memberitahu bahawa keputusan tersebut masih belum pasti dan mereka akan terus melakukan ujian lain. Tanpa disangka wanita yang menangis itu sebenarnya mempunyai seorang anak lelaki yang sudah berbulan-bulan keluar masuk hospital yang sama kerana memerlukan pembedahan pemindahan hati secepat yang mungkin.

episod pertama hospital playlist

Semasa sedang bersembang, wanita tersebut menerima mesej daripada suaminya yang mempersoalkan kenapa dia belum pulang dan menyediakan makanan untuk keluarga dan ibu mertuanya. Tak dapat menahan penat, dia terus terduduk menangis dan memberitahu Seohwa bahawa dia adalah wanita paling malang sekali dalam dunia ini. Doktor wanita itu berterusan memujuk, namun keadaan jadi semakin merunsingkan apabila doktor yang bertugas untuk melakukan pemindahan hati untuk anak lelaki wanita itu mengalami kemalangan pula. Tidak mampu duduk diam, Seohwa telah meminta bantuan rakannya daripada hospital lain supaya melakukan pembedahan tersebut dan ianya nyata berjaya. Seohwa juga menyampaikan ujian lanjut mengenai ibu wanita itu dan barahnya masih pada tahap satu dan ianya boleh sembuh dengan bantuan kemoterapi. Wanita tersebut tak berhenti mengucapkan terima kasih kepada doktor tersebut dan dia juga gembira kerana dapat menyampaikan berita baik kepada wanita tua itu.

Seokhyung (Kim Daemyung), doktor ginekologi yang pemalu

Daripada awal episod, Seokhyung telah pun memunculkan diri dalam sebuah rumah usang yang sudah ditinggalkan selama 4 tahun. Ditemani oleh Seohwa, mereka kelihatan duduk menantikan juruelektrik untuk membaiki lampu yang sudah tidak berfungsi lagi. Punyalah pemalu, sehinggakan lelaki itu terpaksa menghubungi ibunya supaya wanita itu yang mencari orang untuk membaiki masalah elektrik tersebut. Tapi tak disangka, juruelektrik itu rebah terkena renjatan kerana memegang wayar ketika basah akibat terkena hujan yang lebat di luar. Semasa dalam ambulans pun, Seokhyung kelihatan kekok apabila duduk dengan ramai orang yang tak dikenalinya walhal dia adalah seorang doktor.

episod pertama hospital playlist

Sepanjang episod pertama berlangsung, personaliti Seokhyung tidak didedahkan sangat lagi melainkan yang dia adalah seorang yang susah bergaul dan sudah dua bulan bercuti selepas pulang daripada program di luar negara. Lelaki ini juga sangat obses dengan idea menubuhkan band dengan rakan-rakan baiknya.

Ikjun (Jo Jungsuk), doktor yang huru-hara

Sayangnya dalam episod awal ini, watak Ikjun tidak mempunyai banyak sangat bahagiannya. Walaupun begitu, kemunculannya nyata membuat penonton terhibur. Semasa hospital sedang mengalami waktu genting, terdapat seorang lelaki pelik yang datang ke wad kecemasan kerana kepalanya tersangkut dalam topeng Darth Vader kerana anaknya telah meletakkan gam ke dalam permainan tersebut di luar pengetahuannya. Tak disangka kerana lelaki itu sebenarnya adalah Ikjun dan kerana Seohwa meminta bantuan untuk melakukan pembedahan pemindahan hati secara tiba-tiba, doktor tersebut terpaksa jadi ‘bidan terjun’ dan melakukan prosedur tersebut sambil berterusan memakai topeng itu. Kelakar habis!

episod pertama hospital playlist

Jeongwon (Yoo Yeonseok), pakar kanak-kanak yang terlampau sensitif

Tak dinafikan bahawa Jeongwon adalah seorang doktor yang tenang dan sabar menjaga pesakitnya. Sikapnya yang mesra dan pandai memikat hati kanak-kanak ternyata membuatkan bidang perubatan itu sesuai sangat dengannya. Nampak seperti miskin kerana suka meminta orang lain belanja makan, tak disangka bahawa sebenarnya dia adalah pewaris kepada hospital itu. Bahkan rakan-rakannya yang lain tidak mengetahui langsung hal ini selama lebih 20 tahun meskipun sering menghabiskan masa bersama, cuma Seokhyung sahaja yang tahu tetapi dia merasakan tiada keperluan untuk memberitahu mereka. Paling kelakar kerana abang dan kakaknya merupakan paderi dan biarawati dan menjalani hidup mereka ke jalan agama, berlainan dengan Jeongwon yang menjadi doktor.

Keadaan menjadi hiba apabila selepas berusaha selama tiga tahun untuk memulihkan seorang kanak-kanak daripada sakit tetapi gagal akhirnya. Ibu kanak-kanak itu memang dikenali oleh staf di situ sebagai seorang yang garang kerana sering memarahi mereka apabila ada yang tak kena dengan anaknya. Ibu tersebut menangis teresak-esak kerana sedar anaknya iaitu Minyoung tidak mampu diselamatkan lagi dan melepaskan dia pergi walaupun dalam keadaan terpaksa. Risau dimarahi oleh wanita tersebut kerana tidak berdaya menyelamatkan anak kecilnya, Jeongwon meminta semua staf pergi dan biar dia sahaja yang menguruskan kemarahan wanita itu. Namun sebaliknya berlaku kerana si ibu terus tunduk memohon maaf dan mengucapkan terima kasih kerana menjaga anaknya selama tiga tahun dan menyayanginya seperti anak sendiri. Tak mampu menahan sebak, Jeongwon menangis teresak-esak dan dia turut menangis di pangkuan abang sulungnya dan memberitahu bahawa dia mahu berhenti sebagai doktor. Imbas kembali ke masa lampau, doktor kanak-kanak itu setiap tahun menyatakan benda yang sama dan nasihat abangnya itu kekal sama iaitu sabar untuk setahun sahaja lagi.

episod pertama hospital playlist

Penutup episod satu

Penonton disajikan dengan lima sekawan itu yang menandatangani kontrak eksklusif sebagai doktor di wad VIP atas permintaan Jeongwon yang menolak jawatan sebagai pengarah hospital itu dan meminta wad tersebut dijaga di bawahnya. Kesemuanya terus tak fikir panjang apabila mereka ditawarkan gaji dua lipat kali ganda daripada sekarang. Pun begitu, Seokhyung menolak dan hanya akan sertai mereka sekiranya rakan-rakannya itu berjanji untuk tubuhkan band bersamanya. Atas muslihat Jeongwon dan Seokhyung, kedua-dua Junwan dan Seohwa yang menolak akhirnya bersetuju untuk bermain muzik bersama.

Mendebarkan apabila babak akhir epsiod satu menunjukkan Jungwan menangkap kekasih Seohwa bercium dengan wanita lain di sebuah hotel. Berdebarnya!

episod pertama hospital playlist

“Hospital Playlist” bermula dengan rentak yang baik apabila ia berjaya meraih rating 6% untuk tayangan episod pertamanya. Drama perubatan ini cukup ramuannya pabila dilihat daripada babak kelakar, sedih, gembira dan juga kemarahan. Lain betul dengan drama perubatan yang lain!

Nantikan episod baru “Hospital Playlist” pada setiap hari Khamis di bawah saluran tvN dan Netflix!

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...