Banyak drama Korea hebat yang sedang ditayangkan sekarang, sampaikan semua penonton K-Drama tak menang tangan nak tengok cerita yang mana dulu! Antara naskhah yang sedang mendapat perhatian penonton ialah “When The Camellia Blooms”, “Vagabond”, “Catch The Ghost” dan banyak lagi. “Melting Me Softly” juga mempunyai jumlah penonton yang ramai pada awal tayangannya kerana plot cerita yang nampak menarik tetapi ratingnya kini dikhabarkan kian merosot. Apa?!
Kalau anda nak tahu naskhah ini menceritakan tentang hubungan romantik di antara seorang lelaki dan perempuan yang menyertai satu projek pembekuan manusia selama 24 jam. Tapi yang misterinya apabila mereka sedarkan diri, keduanya sudah berada 20 tahun kehadapan. Kesan sampingan daripada projek itu, suhu badan mereka berdua tidak boleh melebihi 33°C dan mereka mesti mengawal kondisi tubuh badan mereka untuk kekal hidup. Berlangar dengan dunia realiti, Dongchan dan Miran terpaksa menghadapi kehidupan di mana orang lain sudah tua 20 tahun daripada mereka.
Menurut Nielsen Korea, episod ke-9 “Melting Me Softly” telah meraih purata rating sebanyak 1.16% seluruh negara di mana ia jatuh merudum daripada episod ke-8 yang mendapat rating 2.4%. Sebelum ini, episod ke-7 drama ini mencipta rekod rating terendah yang pernah direkodkan oleh naskhah ini iaitu 1.8% tetapi nampaknya ratingnya semakin merudum dengan rekod terbaru yang dicatatkan oleh episod ke-9.
Walaupun pada awal tayangannya, penonton berasa seronok dengan penceritaannya tetapi rata-rata mereka merasakan bahawa plotnya kini kian mengarut. Ada juga yang merasakan bahawa penceritaan drama ini agak lambat dan tidak menarik perhatian langsung. Skrip “Melting Me Softly” juga sebenarnya best tetapi ia terlampau ‘boring’ sehingga penonton tidak faham arah tuju kisah watak utama yang dilakonkan oleh Ji Changwook dan Won Jinah.
Penonton juga merasakan bahawa penulis skrip “Melting Me Softly” semakin menjadi malas dengan hala tujunya. Tak kurang juga, mereka terlampau ‘berharap’ pada status Ji Changwook sebagai pelakon hebat untuk melariskan lagi drama ini. Tapi nampaknya, penonton yang mula menonton kerana lelaki itu kini mula ‘melarikan diri’ kerana jalan ceritanya yang tak tentu arah.
Sumber: JazmineMedia, KDramaNews.id