Ikuti Kami:

Rare Tapi Unik, 8 Lokasi Rahsia WAJIB Dikunjungi Di Seoul

Rare Tapi Unik, 8 Lokasi Rahsia WAJIB Dikunjungi Di Seoul

Seoul adalah sebuah bandar yang indah. Ia dikelilingi oleh gunung berbatu serta membangun pesat dengan bangunan pencakar langit yang memberikan pemandangan metropolis yang luas. Secara tidak langsung, bandar Seoul telah menawarkan tarikan luar biasa kepada para pelancong dari seluruh pelosok dunia.

Berikut ialah 8 tempat di Seoul yang perlu korang sertakan dalam jadual perjalanan ke Korea.

Pasar Gwangjang 

Pasar Gwangjang merupakan salah satu pasar tertua di Korea dan mempunyai pelbagai jenis makanan tradisional yang popular. Pasar tradisional ini dibuka 7 hari seminggu jam 9 pagi sehingga 5 petang. Terdapat beberapa gerai makanan yang menarik antaranya kedai bibimbap di mana korang boleh masak sendiri juadah berkenaan. Selain itu, Pasar Gwangjang juga mempunyai gerai jus buah-buahan segar, makanan jalanan Korea, herba kering dan banyak lagi barangan tradisional Korea yang lain. Ia pasti memberi pengalaman yang menyeronokkan semasa berjalan di pasar yang sesak!

Istana Gyeongbokgung  

Istana ini dibina pada tahun 1395 dijadikan istana utama untuk King Taejo, pengasas Dinasti Joseon sehingga 1592. Gyeongbokgung bermaksud kecemerlangan dan kekayaan di mana ia mencerminkan niat mengapa Raja Taejo mengarah penciptaan istana ini. Untuk pelancong yang ingin mencuba pakaian tradisional Korea iaitu hanbok, terdapat beberapa kedai menyediakan servis sewa hanbok yang boleh didapati di sekitar pintu masuk istana. Nanti bolehlah tangkap gambar berlatar belakangkan Istana Gyeongbokgung dan disimpan sebagai kenangan.

Berbasikal di Sungai Han

Sungai Han merupakan salah satu sungai yang terbesar di negara ini. Terdapat laluan pejalan kaki dan trek berbasikal yang cantik di tepi sungai. Ramai penduduk tempatan serta pelancong suka menyewa basikal untuk melihat suasana bandar yang kurang sibuk itu. Tambahan pula, terdapat banyak taman di sepanjang laluannya. Sewa basikal agak murah di Korea. Kebiasaannya bermula pada sekitar RM3.36 untuk 2 jam pertama, tambahan RM3.36 untuk setiap 30 minit selepas itu. Jangan risau sekiranya bilangan basikal tidak mencukupi kerana terdapat banyak kiosk di sekitar sungai tersebut yang menawarkan servis sewa basikal. Jalan sahaja pasti jumpa!

Muzium Seni Leeum Samsung

Muzium Seni Leeum Samsung terletak agak jauh dari bandar Itaewon. Bangunan ini terbahagi kepada dua bahagian yang mempamerkan karya seni tradisional dan kuno serta paparan yang lebih moden. Muzium pertama menempatkan karya seni seperti kaligrafi, lukisan, seni seramik dan kraf logam manakala muzium kedua memaparkan seni moden dan kontemporari oleh artis Korea serta artis antarabangsa. Tempat ini sangat sesuai untuk korang yang meminati karya seni kerana ianya sangat unik.

Jjimjilbang (Spa dan Sauna) 

Jika korang mempunyai masa terluang, cuba sauna di Korea! Jjimjilbang merupakan rumah mandi awam Korea yang dilengkapi dengan sauna, jakuzi, tab mandi panas serta tempat urut badan. Malahan ianya juga merupakan tempat berehat dan untuk mencari ketenangan. Kebanyakan rumah mandi Korea akan menyediakan peralatan mandian percuma seperti sabun badan, losyen dan fon telinga. Walau bagaimanapun, lebih baik korang bawa sendiri daripada rumah sebagai langkah berjaga-jaga jika rumah mandi tidak menyediakannya.

Jalan Buku Terpakai Cheonggyecheon

Jalan Buku Terpakai Cheonggyecheon ialah kedai kecil untuk peminat buku yang mencari khazanah lama seperti buku edisi terhad, komik dan majalah. Ianya terletak di jalan kecil dan mudah untuk dikunjungi. Korang boleh menghabiskan masa berjam-jam menilik buku dekat sini. Ianya bukan sahaja dari Korea, malahan ada juga buku dari negara lain. Senang kata kedai ini menjual buku dari pelbagai jenis negara. Jalan Buku Terpakai Cheonggyecheon merupakan destinasi terbaik untuk peminat buku edisi terhad serta buku “rare” yang susah untuk dijumpai.

Dewan Sejarah Penjara Seodaemun

Untuk korang yang suka belajar tentang sejarah dunia, bolehlah melawat Dewan Sejarah Penjara Seodaemun ini. Penjara Seodaemun dibina oleh Empayar Jepun untuk menempatkan tahanan politik dan aktivis kemerdekaan semasa penjajahan Jepun. Korang boleh belajar tentang sejarah dan pengorbanan yang dilakukan oleh orang Korea terhadap demokrasi serta kebebasan. Selain dijadikan tempat pelancongan, Dewan Sejarah Penjara Seodaemun juga merupakan lokasi penggambaran yang popular untuk kebanyakan drama Korea contohnya “Goblin”, dan “Hide and Seek”, untuk adegan apabila watak dibebaskan dari penjara.

Kampung Hanok Namsangol

Ingin merasai kehidupan di kampung tradisional Korea? Korang boleh kunjungi Perkampungan Hanok Namsangol yang sangat tenang. Perkampungan ini berhampiran dengan stesen Myeongdong, 15 minit tempoh berjalan kaki. Ia adalah tempat percutian yang terkenal semasa Dinasti Joseon dan dipanggil Cheonghak-dong, tempat tinggal para dewa kerana mempunyai pemandangan yang indah. Korang yang nak ke kampung ini boleh menyertai pelbagai aktiviti tradisional seperti pengalaman hanbok (pakaian trasisional Korea), permainan hanji (kertas tradisional Korea), upacara minum teh tradisional serta belajar tentang perubatan herba. Selain itu, terdapat juga persembahan taekwando dan persembahan lain di Kampung Hanok Namsangol.

Wah, bestnya kalau dapat bercuti dekat Seoul!

Korang banyak topik ‘hot’ lain tentang dunia hiburan Korea yang nak dibincangkan? Kongsi lah ‘teh’ dengan kami di forum KimchiDaily 😉

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...