Dengar cerita, ramai betul sedang ikuti drama “VIP” yang kini sedang ditayangkan di slauran SBS? Cerita melodrama tetapi misteri ini sepertinya berjaya membuatkan penonton jadi tak senang duduk kerana ingin tahu perkembangan plotnya.
Bagi yang tak tahu, “VIP” mengisahkan tentang rahsia tersembunyi oleh sebuah pasukan yang menguruskan klien VIP di sebuah pusat membeli-belah terkenal. Na Jungsun (Jang Nara) merupakan seorang ahli pasukan itu dan mempunyai bakat bercakap yang baik selain sangat cekap dalam melakukan kerjanya. Dia juga hidup bahagia dengan suaminya iaitu Park Sungjoon (Lee Sangyoon) yang juga merupakan ketua pasukannya.
Tapi tidak disangka apabila satu mesej misteri yang diterimanya mendakwa bahawa suami tercintanya itu mempunyai hubungan sulit bersama salah seorang ahli lain pasukan itu. Na Jungsun mula mengesyaki suaminya dan cuba membongkarkan rahsia kecurangannya itu. Dalam usahanya mencari keadilan, dia turut tanpa sengaja membongkar rahsia lain mengenai tiap-tiap rakan sekerjanya.
Rating drama ini nampaknya kian meningkat dengan stabilnya sejak daripada awal tayangan lagi. Walaupun “VIP” tidak dapat ditayangkan pada minggu lepas kerana memberi laluan kepada liputan sukan tetapi nampaknya, rating naskhah ini tidak terusik langsung!
Menerusi Nielsen Korea, drama ini telah melihat sedikit peningkatan pada hari Selasa walaupun slot tayangannya dianjak sedikit kerana siaran langsung “2019 WBSC Premier12”. Episod yang ditayangkan pada 19 November telah mengaut rating sebanyak 6.1% dan 9%. Sedikit tinggi daripada rating episod tayangan hari Isnin yang hanya meraih 5.9% dan 7.8%.
Rata-rata penonton juga sangat menyukai jalan cerita ini yang penuh dengan saspens dan persoalan yang memeningkan. Ramai yang teruja dan sentiasa tak sabar menunggu episod seterusnya kerana ingin tahu tentang segala rahsia yang disorokkan oleh setiap watak dalam kisah ini.
Sumber: Soompi