Utama Drama Korea Perhatian Pencinta K-Drama! 8 Seleksi Naskhah Terbaru Bakal Menemui Anda April Ini

Perhatian Pencinta K-Drama! 8 Seleksi Naskhah Terbaru Bakal Menemui Anda April Ini

drama korea bulan april

Masuk bulan baru, makin banyaklah lagi seleksi K-Drama yang ditawarkan kepada penonton. Disebabkan itu, di sini ada senarai naskhah baru yang bakal bertemu peminat drama Korea pada April ini!

1. Further Investigation

OCN | 4 APRIL

drama further investigation

Jin Kangho (Cha Taehyun) ialah seorang detektif yang sangat bersemangat dan berdedikasi. Dia akan memastikan kesemua penjenayah jatuh ke tangannya dalam apa jua cara sekalipun sehingga membuatkan ramai detektif lain menyampah dengannya.

Kang Mooyoung (Lee Sunbin) pula ialah seorang produser TV yang menghasilkan program penyiasatan. Misi utama rancangan ini ialah untuk menangkap penjahat yang tidak mampu diberkas oleh pihak polis. Wanita ini adalah sangat tulus tetapi sanggup mengambil risiko supaya dapat membongkarkan keadilan. Tanpa sengaja, kedua mereka bertemu dan mula bekerjasama untuk menyelesaikan pelbagai kes jenayah yang menemui jalan buntu.

2. How To Buy A Friend

KBS | 6 APRIL

drama how to buy a friend

Park Chanhong (Lee Sinyoung) adalah seorang pelajar sekolah menengah yang biasa. Dia mempunyai bakat menulis namun sering dibebankan dengan tekanan daripada kedua orang tuanya mengenai pelajaran. Meskipun sudah memasuki peringkat akhir sekolah, dia masih tidak mempunyai impian yang jelas. Dalam masa yang sama, dia mempunyai rakan baik bernama Eom Seyoon (Kim Sohye) yang mencintainya dalam diam.

Manakala, Heo Donhyeok (Shin Seungho) merupakan seorang yang terkenal di sekolah kerana kemahiran berlawannya dan pada suatu hari, dia telah menyelamatkan Chanhong daripada sekumpulan geng buli. Daripada situ, Donhyeok telah meminjam wang daripada lelaki yang diselamatkannya bagi membayar sewa bulanan namun sebenarnya wang tersebut adalah untuk membayar yuran kelas tambahan Chanhong. Oleh kerana itu, dia tidak dapat ke kelas tersebut dan mula melepak bersama Donhyeok selepas habis sahaja waktu sekolah.

3. The King: Eternal Monarch

SBS & Netflix | 17 APRIL

drama the kong: eternal monarch

Sebuah drama romantik fantasi yang membawa genre itu ke dimensi yang lain. Ia mengisahkan hubungan di antara dua dunia selari yang sangatlah berbeza hakikatnya. Raja Lee Gon (Lee Minho) mencari cara untuk menutup pintu gerbang di antara dua dimensi ini manakala pegawai polis iaitu Jung Taeeul (Kim Goeun) hanya mahu menyelamatkan orang lain dan melindungi nyawa orang yang disayanginya.

4. When My Love Blooms

tvN | 18 APRIL

drama when my love blooms

Han Jaehyun (Yoo Jitae) merupakan seorang lelaki yang berusia 40-an dan dia adalah seorang ahli perniagaan yang kacak, bercita-cita tinggi dan kaya. Walaupun nampak gah, dia sebenarnya merupakan seorang yang sering melakukan protes semasa masih lagi pelajar pada usia 20-an. Pada ketika itu, hatinya dipunyai oleh seorang wanita bernama Yoon Jisoo (Lee Boyoung) dan selepas beberapa dekad, lelaki itu berjumpa kembali dengan cinta pertamanya itu.

Yoo Jisoo ialah seorang wanita yang berusia 40-an dan merupakan seorang ibu tunggal yang hanya bekerja kontrak. Wanita ini mula hidup susah selepas kehilangan keluarga dek satu kemalangan ngeri. Selepas hampir 20 tahun, bekas pasangan kekasih ini bertemu kembali dan cinta mula berputik di antara mereka. Namun isteri Jaehyun iaitu Jang Seokyung (Park Siyeon) mula menjadi obses dengan suaminya apabila mendapat tahu hati lelaki tersebut sentiasa dimiliki oleh orang lain.

5. Born Again

KBS | 20 APRIL

drama born again

Kisah dua lelaki dan seorang wanita yang berkaitan pada tahun 1980 dan bertemu kembali selepas kelahiran semula pada zaman sekarang. Pada zaman lampau tersebut, Kong Jicheol (Jang Kiyong) menolak nasibnya supaya tidak mewarisi sifat jahat seperti ayahnya dan dilahirkan pada tahun sekarang di mana dia bernama Jeon Jongbeom, seorang pelajar perubatan.

Jung Haeun (Jin Seyeon) pula merupakan penghidap penyakit dilated cardiomyopathy (jantung tidak boleh mengepam darah secara efektif) dan merupakan pemilik kepada kedai buku. Pada zaman sekarang, wanita itu ialah Jung Sabin, seorang pengarah kepada pusat arkeologi dan setiap daripada artifak dan barangan lama yang ada mula terbongkar rahsianya satu persatu.

Cha Hyeongbin (Lee Soohyuk) ialah detektif pada tahun 1980 dan hanya mencintai seorang wanita. Tetapi pada masa sekarang, Kim Soohyeok adalah seorang pendakwa raya yang percaya bahawa jenayah adalah genetik yang diwarisi.

6. Good Casting

SBS | 27 APRIL

drama good casting

Baek Chanmi (Choi Kanghee) adalah seorang agen ‘lejen’ dalam NIS satu ketika dahulu tetapi kerana dedikasi kerjanya yang melampau, rakan sekerjanya telah meninggal dan dia juga terlepas daripada menangkap targetnya. Disebabkan oleh itu, wanita tersebut dipindahkan jabatan dan bekerja untuk pasukan pelindungan siber. Pun begitu, setelah sekian lama, dia dipilih untuk melakukan penyamaran bagi satu kes pencurian kekayaan intelektual yang melibatkan syarikat terbesar di Korea. Sama-sama saksikan telatah serius dan kelakar detektif ini dalam masa yang sama dia cuba merungkai misteri kes tersebut.

7. Model Detective

JTBC | 28 APRIL

drama model detective

Kang Dochang (Son Hyunjoo) telah bekerja sebagai detektif selama 18 tahun. Lelaki ini melakukan siasatan menggunakan pengalamannya dan juga kenalan rapat tanpa menghiraukan teknik saintifik atau pun kuasa pertimbangan.

Oh Jihyeok (Jang Seungjo) adalah seorang detektif elit dan mempunyai pengalaman selama 9 tahun. Tak seperti Dochang, dia menyiasat menggunakan bukti selain memerhatikan emosi penjenayah. Disebabkan oleh trauma semasa kecil, dia langsung tidak berkongsi perasaannya. Lelaki ini juga adalah seorang yang sangat kaya kerana mendiang pak ciknya telah meninggalkan sejumlah harta pewarisan.

Jin Seokyung (Lee Elijah) pula merupakan seorang wartawan surat khabar. Sudah 5 tahun bekerja, dia merupakan seorang veteran yang sangat arif dengan kerjanya.

8. Extracurricular

Netflix | 29 APRIL

Extracurricular

Drama ini membawa kisah sekumpulan pelajar sekolah menengah yang memilih jalan jenayah untuk mendapatkan duit sehingga mengancam ramai orang kerana pilihan mereka itu. Oh Jisoo (Kim Donghee) telah melakukan kesalahan yang sangat teruk hanya kerana mahu membuat duit bagi menampung pelajarannya secara sendiri.

Seo Minhee (Jung Dabin) seorang pembuli juga turut terlibat dengan jenayah Jisoo, begitu juga dengan rakan sekolah lelaki itu iaitu Bae Gyuri (Park Joohyun). Keputusan yang salah ini membawa mereka semua kepada kancah kesan yang tidak membolehkan mereka untuk berpatah balik. Hanya kehidupan jenayah dan penuh keganasan yang menanti mereka.

Jangan lupa untuk susun jadual K-Drama anda dan pastikan tak terlepas satu pun drama baru ini.

Selamat menonton!

Loading...