Seperti yang semua ketahui, ahli “Running Man” iaitu Lee Kwangsoo kini sedang berehat buat sementara waktu kerana baru sahaja menjalani pembedahan kecil. Kejadian malang tak berbau itu menyebabkan pelakon tersebut retak pergelangan kaki dan memerlukan rehat yang secukupnya sebelum kembali aktif dalam dunia seni.
Rata-rata peminat melahirkan rasa sedih kerana tidak dapat melihat telatah kelakar Kwangsoo untuk beberapa minggu ini dan berasa risau sekiranya ahli yang lain tidak dapat menceriakan episod tersebut. Memanglah penonton berasa sedih, tetapi rasanya ahli “Running Man” yang akan merasa kehilangan yang lebih apabila terpaksa menjalankan penggambaran tanpa zirafah itu kerana mereka sudah 10 tahun bersama.
Kim Jongkook langsung tidak menyorokkan rasa kehilangannya itu dan memuat naik gambarnya bersama Kwangsoo selain diiringi kapsyen yang meminta dia cepat sembuh.
Lagi sedih kerana Lee Kwangsoo tidak dapat bersama-sama dengan penggambaran terakhir yang diarahkan oleh PD Jung Chulmin pada 18 Februari lepas. Namun pengarah yang sudah 7 tahun bersama rancangan itu menenangkan peminat dan memberitahu bahawa dia ada bersembang dengan pelakon tersebut selepas kemalangan itu.
Saya ada bercakap dengan Lee Kwangsoo menerusi telefon sebelum penggambaran berlangsung. Saya rasakan adalah lebih baik dia memberi fokus kepada rawatannya daripada menyusahkan diri menyertai penggambaran sedangkan kakinya tidak berada dalam kondisi yang baik.
Jung Chulmin juga menyatakan bahawa dia akan melawat Kwangsoo selepas tamat penggambaran “Running Man” dan selepas dia sedikit sihat.
Nantikan kemunculan semula Lee Kwangsoo bersama pengarah baru tak lama lagi. Harapnya lelaki itu cepat sembuh seperti sedia kala.
Sumber: Soompi