Korang tahu tak tentang penari cilik terkenal Na Ha-eun, yang dikenali dek tariannya yang hebat meskipun baru berumur 13 tahun kini.
Bagi yang belum tahu, Na Ha-eun kerap memuat naik video tarian lagu K-pop di akaun YouTube dan Instagram miliknya. Dengan kemahiran tariannya yang mantap dan penampilannya yang comel, Na Ha-eun telah meraih perhatian peminat K-pop seluruh dunia, dan kini saluran YouTube miliknya telah pun mencecah 5.2 juta pengikut.
Setelah popularitinya kian meningkat, dia telah dijemput ke acara anugerah muzik berprestij seperti “Melon Music Awards”, bagi memperkenalkan pencalonan anugerah bagi kategori ‘Tarian Wanita Terbaik’ dan ‘Tarian Lelaki Terbaik’. Bukan itu sahaja, Na Ha-eun juga telah membuat penampilan sulungnya pada 2018 dengan single “So Special”.
Terbaru pada 18 April, K-Star News melaporkan temu bual dengan Goofy Park Seong-ho dan Young Tux Club Choi Seung-min, yang telah menubuhkan agensi hiburan On One Entertainment, juga merupakan bekas agensi bagi Na Ha-eun.
Menurut laporan, Na Ha-eun baru-baru ini telah menjadi pelatih di bawah agensi SM Entertainment, menambah keterujaan peminat yang ingin menyaksikan si cilik itu debut dalam kumpulan gadis. Tambahan, dia juga sudah 3 bulan tidak memuat naik video baharu di saluran YouTubenya, memperjelas tentang keberadaannya kini.
Mesti Na Ha-eun jadi penari utama kumpulan ni!