Disebabkan oleh penularan COVID-19 yang kian berleluasa di Korea, semua penduduk disarankan agar mengurangkan aktiviti di luar dan habiskan masa di rumah sahaja sebagai langkah berjaga-jaga. Tambahan pula, kerajaan juga telah mengisytiharkan penangguhan kemasukan semester baru selama dua minggu bagi pelajar universiti dan sekolah.
Hal ini menyebabkan semakin kurang orang di jalanan dan menyebabkan kedai-kedai terbiar kosong. Kafe dan restoran yang penuh dengan makanan tetapi tiada pelanggan, peniaga kedai baju yang duduk sahaja kerana tiada pelanggan yang perlu dilayan.
Kalau anda nak tahu juga, kebanyakan selebriti terkenal di Korea sering melaburkan pendapatan mereka dalam bidang hartanah. Jadi tak hairanlah sekiranya mereka merupakan tuan kepada bangunan besar di Seoul dan sekitarnya yang disewa oleh pelbagai premis kedai.
Oleh kerana perniagaan penyewa di bangunan mereka kian menurun kerana masalah COVID-19 ini, penyanyi Rain dan pelakon Kim Taehee serta beberapa selebriti lain telah memberi diskaun sehingga 50% pada bulan ini kerana memahami masalah yang dialami oleh mereka.
Rain mengurangkan sewa di sebuah bangunan di kejiranan Cheongdam terletak di Seoul untuk bulan Mac ini. Kim Taehee yang memiliki bangunan di kejiranan Yeoksam, Gangnam juga telah mengurangkan bayaran sewanya sebanyak 50% bagi bulan ini juga.
Tindakan mulia ini nyata membuatkan para netizen terharu lantas memberikan pujian melambung kepada pasangan selebriti tersebut. Keputusan mereka untuk mengurangkan sewa sehingga separuh daripada harga asal membuktikan bahawa dalam banyak wang yang diterima, mereka tidak lokek untuk memberikannya semula kepada masyarakat.
Sumber: Asia Kyungje